ANWAR Ibrahim menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada Nor Azah Mohd Ali yang mewakili ayahnya, Mohd Ali Majid. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


KERAJAAN Madani menerusi Tabung Kasih @ HAWANA terus menyantuni pengamal media apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada sepuluh veteran media pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, Kuala Lumpurpada Selasa, 11 Mac, 2025.

Sumbangan itu adalah bagi meringankan beban mereka yang sedang berdepan masalah kesihatan dan kewangan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri pada hujung bulan Mac 2025 ini.

Salah seorang penerima, Hariyati Ariffin dari portal KitaReporters ternyata sangat bersyukur dengan sumbangan itu yang pada beliau bukan sekadar ‘duit Raya’ tapi meringgankan bebanan kewangan yang sedang dihadapinya sekarang.

“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Kerajaan Madani. Pada ketika saya sedang buntu memikirkan bebanan kewangan yang dihadapi, HAWANA datang membantu saya dan suami.


HARIYATI ARIFFIN


“Saya sentiasa berdoa agar Allah menghadirkan pertolongan dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan-Nya. Bagi saya, sumbangan ini walaupun hanya secara one off namun banyak membantu meringankan masalah kewangan kami.

“Sumbangan ini bukan sekadar duit Raya tapi lebih daripada itu kerana ia akan digunakan untuk menampung kos rawatan suami yang diserang strok serta anak sulung saya yang menghidap skizofrenia,” ujar Hariyati.

Suaminya, Mohd Zaini Sayuti yang merupakan bekas petugas media di akhbar NST, dan turut menerima bantuan HAWANA pada majlis sama, menghidap strok sejak lapan tahun lalu. Keadaannya semakin serius sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menyebabkan beliau hanya mampu berbaring.

Menurut Hariyati, beliau memerlukan kira-kira RM7,000 sebulan untuk kos rawatan suami dan anaknya dengan bergantung kepada pencennya sebagai pensyarah serta anak perempuannya.


MOHD Zaini Sayuti yang menghidap strok sejak lapan tahun lalu kini hanya terbaring di atas katil.


Selain kos ubat-ubatan serta lampin pakai buang, beliau perlu membayar khidmat seorang jururawat lelaki dan seorang fisioterapis untuk menyantuni serta merawat suaminya.

Hariyati juga perlu mendapatkan khidmat seorang pembantu untuk menjaga anaknya yang menghidap skizofrenia sejak 19 tahun lalu apabila beliau ada urusan di luar atau sibuk menguruskan keluarga.

“Justeru, saya sangat bersyukur menerima sumbangan ini dan sangat menghargai usaha kerajaan membantu bekas pengamal media. Saya yakin, selain saya, ramai lagi dalam kalangan kami yang sedang berdepan pelbagai masalah,” kata Hariyati yang diwakili oleh dua anaknya, Khairulnisa dan Ili Syairah Mohd Zaini untuk menerima sumbangan itu.


PERDANA Menteri menyampaikan sumbangan kepada Akmal Abdullah. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


Sementara itu, seorang lagi penerima, bekas Editor Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah turut bersyukur apabila menerima bantuan itu untuk tiga tahun berturut-turut.

“Saya sebenarnya terkejut apabila dihubungi sekretariat HAWANA, meminta hadir untuk menerima sumbangan daripada Perdana Menteri pada majlis itu. Tak sangka dapat lagi bagi kali ketiga kerana pada tahun 2023 dan 2024, saya juga menerima bantuan HAWANA.

Akmal berkata, beliau akan menggunakan sumbangan itu untuk menampung kos rawatan dialisis yang perlu dijalani sebanyak tiga kali seminggu serta membeli ubat-ubatan.

“Untuk satu sesi dialisis, saya perlu membayar RM230. Ada kalanya, dalam rawatan itu, saya perlu menambah ubat tertentu yang kosnya RM800 satu set untuk kegunaan sepuluh sesi.

“Keseluruhannya, saya memerlukan kira-kira RM4,000 sebulan untuk rawatan buah pinggang yang saya alami sejak beberapa tahun lalu. Bagi orang yang tak ada pencen macam saya, ia sesuatu yang menyulitkan.

“Bantuan HAWANA ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan saya apatah lagi dalam menjalani rawatan. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin nasib kami orang media,” katanya.


BEKAS wartawan sambilan, Mohd Ali Majid terharu menerima sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA. 


Bekas wartawan sukan sambilan Berita Harian, Mohd Ali Majid, 83, pula sangat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan oleh kerajaan yang menyenaraikan dirinya sebagai salah seorang penerima Tabung Kasih @ HAWANA.

“Saya tak sangka dipilih untuk menerima sumbangan ini kerana saya sekadar wartawan sambilan,” kata Mohd Ali.

Beliau yang kini agak uzur dan sukar bergerak selepas menjalani pembedahan paha akibat terjatuh serta turut dipotong satu jari di kaki kiri ekoran komplikasi diabetes tidak dapat hadir sebaliknya mewakilkan anak sulungnya, Nor Azah Mohd Ali untuk menerima bantuan itu.

“Sumbangan ini sangat bermakna kepada ayah, sedikit sebanyak ia meringankan beban dan dapat diguna sebagai persiapan menyambut Hari Raya nanti,” kata Azah.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni warga media pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri pada Selasa, 11 Mac, 2025. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


Azah berpendapat, Tabung Kasih @ HAWANA adalah satu inisiatif yang sangat baik dalam membantu serta menghargai sumbangan pengamal media terutama mereka yang memerlukan.

“Ini adalah satu usaha Kerajaan yang perlu diberi sokongan. Saya harap syarikat-syarikat korporat turut membantu kerajaan menjayakan program ini dengan menjadikan ia sebagai salah satu CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) mereka,” kata Azah lagi.

Turut menerima sumbangan pada majlis itu adalah Salmah Mohsien, Dzulkifli Mustapha, Fadzlon Ahmad, Nik Mohamed Omar, Hajrahbi Muhammad dan Mohd Ifqdar Abdul Rahman.

Sejak diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023 atas inisiatif Kementerian Komunikasi, Tabung Kasih HAWANA sudah memberi manfaat kepada 315 pengamal media di seluruh negara.

HAWANA disambut pada setiap 29 Mei setiap tahun sebagai hari memperingati sumbangan semua pengamal media - wartawan, jurugambar, penyunting, pereka grafik, dan petugas-tugas lain - dulu dan sekarang, kepada kemerdekaan, pembangunan dan kemakmuran negara serta rakyat. - KitaReporters

16
4
0
20
0

Copy Link: