Wajah comel Muhammad Andra Al-Iman ketika masih kecil yang gemar dipakaikan jubah dan serban oleh ibu bapanya. - Kredit Foto: Koleksi Peribadi Siti Fatimah Nadiyasita


SEJAK kecil saya telah melihatnya setia mengikut kedua-dua ibu bapanya menghadiri kuliah-kuliah agama. Adakala dia bermain-main di luar kawasan pengajian. Adakala dia duduk diam di sebelah ibunya. Sesekali terdengar suaranya mengikut alunan zikir atau qasidah yang disampaikan ketika majlis pengajian berlangsung.

Wajahnya yang putih melepak dengan rambut sedikit ikal dihiasi dengan senyuman yang terukir pada bibir menyebabkan ramai ahli pengajian jatuh kasih padanya.

Muhammad Andra Al-Iman Mohd Zebby. Inilah nama anak yang pasti membahagiakan kedua-dua orang tuanya lantaran berjaya menjadi hafiz Quran pada usia 9 tahun. Masya-Allah. Tabarakallah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan As Sofa


Muhammad Andra Al-Iman bersama kedua-dua ibu bapanya ketika menerima anugerah bergelar hafiz cilik As Sofa di atas kejayaannya menghafaz 30 juzuk Al-Quran pada usia sembilan tahun.


Menelusuri kehidupan Muhammad Andra Al-Iman yang kini berusia 13 tahun, banyak sisi kebaikan yang boleh dicontohi para ibu bapa di luar sana dalam mendidik anak-anak.

Paling utama sudah tentu tanggungjawab daripada kita sendiri sebagai ibu bapa bagaimana untuk mencorak kehidupan anak-anak di atas jalan yang Allah redai.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi."


Sejuk perut ibu yang mengandungkan Muhammad Andra Al-Iman lantaran melahirkan zuriat soleh yang menjadi dambaan para ibu bapa di luar sana.


Menurut Siti Fatimah Nadiyasita, dia dan suaminya, Mohd Zebby Mohd Bahrin sama juga seperti ibu bapa lain yang sentiasa mahukan anak-anak cemerlang dunia dan akhirat. Justeru, mereka berusaha menjaga amanah anak yang Allah kurniakan dengan sebaik mungkin.

"Sebenarnya kami mula mengikuti pengajian bersama Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin selaku pengasas Yayasan Sofa pada tahun 2009. Ketika itu, Andra baru berusia setahun. Mungkin berkat membawanya bersama ke majlis-majlis ilmu, dia menjadi minat mendalami bidang tahfiz Al-Quran.

"Alhamdulillah, memandangkan Yayasan Sofa mempunyai pelbagai institusi pendidikan termasuk prasekolah, jadi kami telah menghantar Muhammad Andra seawal usia lima tahun. Apa yang kami lihat, didikan yang diterapkan di Darul Quran Wal Hadith (Daqwah) di Ampang sangat memberangsangkan.


Kejayaan Muhammad Andra Al-Iman berkat didikan kedua-dua ibu bapa selain berpeluang menimba ilmu di institusi pendidikan As Sofa yang terbukti melahirkan ramai hafiz Quran.


"Muhammad Andra mula menunjukkan kelebihannya dalam menghafaz doa-doa dan ayat-ayat Quran termasuk matan-matan hadis yang diajar oleh guru-guru di sana. Syukur pada Allah, kerana dalam tempoh beberapa tahun, dia berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran, sekali gus bergelar hafiz cilik As Sofa.

"Ia satu nikmat yang sukar diungkap dengan kata-kata, namun saya percaya semuanya adalah kurniaan daripada Allah buat kita hamba-Nya," ujar beliau yang mesra disapa Nadiyasita ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Tambah beliau, As Sofa merupakan sebuah institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipercayai dan telah banyak melahirkan para pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam aspek akademik bahkan juga sahsiah yang terpuji. 

"Disebabkan itulah kami tidak bimbang untuk menghantar Muhammad Andra belajar di sekolah tersebut. Dan ternyata pilihan kami tidak sia-sia," ungkapnya.


Pasangan suami isteri ini sangat bersyukur kerana dikurniakan anak seperti Muhammad Andra dan mereka percaya ia satu kurniaan Allah yang sangat indah.


Sementara itu, suaminya memberitahu, para pelajar di institusi pendidikan kelolaan Yayasan Sofa bukan sekadar belajar tetapi turut ditekankan dengan kepentingan adab buat penuntut ilmu. 

"Para pelajar dididik mengenai adab dan khidmat terhadap ilmu, guru-guru, ibu bapa, kitab-kitab dan majlis pengajian. Paling utama, di sana juga adanya murabbi, bukan hanya pada jasad tetapi juga pada ruh iaitu dalam membimbing kita mengenal cinta Allah dan Rasul," kata Mohd Zebby.

Bagaimanapun, Mohd Zebby mengakui untuk menjadikan anak mereka seorang hafiz Quran ia bukan satu perkara yang mudah dan boleh digapai dengan impian semata-mata tanpa usaha. Malah, banyak cabaran perlu dihadapi sebelum hasrat murni mereka menjadi realiti.


Pengorbanan kedua-dua ibu bapa Muhammad Andra Al-Iman yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk menghantarnya di sekolah tahfiz swasta semata-mata untuk memastikan anak mereka menerima didikan agama terbaik.


"Namun, saya tetap percaya bahawa niat yang baik sudah tentu Allah permudahkan. Sekadar berkongsi, pasti ramai yang tahu, pengajian di sekolah-sekolah tahfiz swasta mempunyai kos yang tersendiri. Jadi sebagai ketua keluarga, saya perlu bersedia untuk berkorban dalam aspek kewangan dalam memastikan anak menerima pendidikan terbaik dan diyakini.

"Jangan takut untuk mengeluarkan belanja jika kita benar-benar mahukan anak menjadi hafiz Al-Quran kerana setiap sesuatu perkara perlu ada tanda bukti dan cinta. Selebihnya selepas kita berusaha dalam aspek material, tawakal pada Allah agar membukakan pintu hati anak kita mendalami ilmu-Nya," tutur beliau lagi.


Para pelajar Maahad Tahfiz & Turath As Sofa di Rembau bertuah kerana berpeluang menuntut ilmu dalam suasana yang selesa dan persekitaran yang mendamaikan.


Dalam pada itu, Mohd Zebby dan Nadiyasita bersyukur kerana pihak pentadbiran sekolah sangat meraikan ahli ilmu, sekali gus menyebabkan mereka berusaha menyediakan prasarana yang terbaik buat para pelajar di sana (As Sofa).

Muhammad Andra kini merupakan pelajar Tahap 2 di Maahad Tahfiz & Turath As Sofa (MATTAS) yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Ustaz Mohd. Hanif Abd. Hamid memberitahu, pihaknya sentiasa mengutamakan keselesaan para pelajar dalam menuntut ilmu. 

"Istimewanya anak-anak yang belajar di As Sofa ini ialah layanan yang diberikan kepada mereka sesuai dengan status sebagai penghafal al-Quran. Kita angkat martabat anak-anak ini kerana ilmu yang mereka pelajari. 


Sebagai penuntut ilmu, para pelajar di institusi pendidikan As Sofa sentiasa dimuliakan dan diraikan dengan kemudahan serta prasarana yang terbaik oleh pihak pentadbiran.


"Oleh itu, kita menyediakan tempat terbaik dan eksklusif untuk mereka dari segi suasana pembelajaran dan kehidupan mereka di asrama. Mereka hidup dengan selesa, belajar dalam suasana tenang dan persekitaran yang menarik," ujar beliau dalam satu program temu bual rancangan Assalamualaikum di saluran TV Alhijrah baru-baru ini.

Sempena kedatangan bulan Rabi'ulawal 1443H ini, Mohd Hanif berkongsi, pihaknya telah melancarkan kempen Mencari 50,000 Pencinta Rasulullah untuk berinfaq dalam membangunkan sebuah lagi mercu tanda terbaharu As Sofa.

"Kempen ini mahu mengajak rakyat Malaysia bersama-sama Yayasan Sofa dalam menyokong usaha kami melahirkan pewaris Nabi SAW dengan cara berinfaq RM100 seorang, sekali gus meneruskan dakwah Baginda SAW.

"Infaq daripada 50,000 komuniti pencinta Rasulullah SAW  ini akan disalurkan kepada pembinaan Kompleks Islam As Sofa Mantau di Seremban, Negeri Sembilan yang bakal menempatkan kira-kira 3,000 pelajar aliran tahfiz dan turath.

"Insya-Allah, kompleks ini akan menjadi satu institusi terbesar yang diusahakan Yayasan Sofa dan ia terletak di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar dengan kos pembangunan kira-kira RM55 juta," ujarnya.


Ustaz Mohd Hanif berkongsi kepada khalayak tentang kempen Hadiah Cinta Buat Rasulullah SAW iaitu mencari 50,000 Komuniti yang mampu menyumbang RM100 seorang sebagai infaq dalam pembinaan Kompleks Islam As Sofa Mantau di Seremban, Negeri Sembilan.


Melalui pembinaan kompleks ini, ia akan menempatkan kampus tetap Kolej Islam As Sofa yang sebelum ini beroperasi di Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dibina surau yang mampu memuatkan 5,000 jemaah dalam satu masa, Canselori, bangunan pentadbiran, perpustakaan, dewan makan dan kafe serta penginapan untuk warga emas. 

"Jadi, inilah usaha kita sebagai pencinta Rasulullah SAW dalam menyangga perjuangan dakwah Baginda SAW agar ia kekal hingga ke hari kiamat.

"Semoga dengan infaq RM100 yang kita sumbangkan ia dapat menzahirkan rasa kecintaan dan kebersamaan dalam perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW, insan teragung yang dikurniakan sebagai rahmat buat seluruh alam," tuturnya lagi. 

Untuk mereka yang berminat, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Yayasan Sofa 8601881873 (CIMB) atau hubungi talian hotline 06-2230133 / 013-2412919. Maklumat lanjut, boleh layari laman web www.yayasansofa.com.my atau Facebook Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Moga-moga dengan sumbangan yang kita hulurkan mampu melahirkan lebih ramai hafiz Al-Quran seperti adik Muhammad Andra sekali gus meraih pahala yang berpanjangan dari Allah, bukan hanya di dunia bahkan juga di akhirat sana. Insya-Allah. - KitaReporters


Lakaran artis untuk projek pembinaan Kompleks Islam As Sofa di Mantau, Negeri Sembilan yang melibatkan tanah seluas 2.7 hektar.

16
10
0
21
0

Copy Link: