Walaupun OKU, Ahmad Farid tabah hadapi kehidupan! Tak dapat pekerjaan, kini nak berniaga pula
Published byAhmad Farid Abdul Aziz
SEKALIPUN tidak sempurna seperti orang lain tetapi dia mampu melakukan semua perkara tanpa bantuan sesiapa malah sering ke masjid bersolat jemaah.
Ahmad Farid Abdul Aziz, 31, dari Felda Calok Barat, Setiu yang mengalami penyakit saraf sejak bersekolah rendah itu seorang yang tabah dan dia mampu melakukan semua perkara walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan OKU
Ahmad Farid di sisi ibunya, Shamsiah Mohd Hassan
Farid terkena penyakit saraf sehingga sukar untuk dia bergerak ketika usianya 12 tahun selepas mengalami demam panas.
"Selepas kena demam panas, seluruh badan saya jadi terketar-ketar sehinggalah saya sukar untuk berjalan walaupun membuat beberapa rawatan.
"Lama kelamaan saya sudah biasa dengan penyakit saraf saya alami itu dan saya meneruskan pelajaran saya ke sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu," katanya.
Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, Farid menyambung pada peringkat sijil di sebuah kolej di Kuala Terengganu dalam bidang komputer.
"Saya berjaya memperolehi sijil bidang komputer selepas setahun setengah belajar, bagaimana pun saya tidak mendapat pekerjaan hingga kini kerana mungkin mereka tidak yakin dengan OKU macam saya," katanya yang ditemu ramah melalui aplikasi WhatsApp kerana Farid tidak dapat berkomunikasi secara normal tetapi boleh mendengar.
Ahmad Farid menggunakan motosikal untuk memudahkan pergerakannya.
Farid yang kini masih menjalani rawatan di HUKM Cheras masih mengharapkan akan pulih seperti biasa dan menjalani kehidupan sempurna seperti orang lain.
"Sejak
habis sekolah saya tidak jemu menerima rawatan di HUKM Cheras, saya akan pergi
seorang sekiranya ada temu janji, dan alhamdulillah saya rasa semakin baik sekarang
dan boleh melakukan kerja berat seperti bertukang dan berkebun.
Ahmad Farid tidak pernah meninggalkan solat sebagai benteng kehidupan
"Saya juga boleh ke masjid untuk berjemaah, tetapi sejak Covid-19 ni, saya solat di rumah dan insya-Allah, saya akan kembali bersolat di masjid sepanjang Ramadan ini," katanya yang boleh menunggang motosikal.
Farid berkata, dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan lesen motosikal roda tiga untuk OKU.
"Jika ada lesen dan motosikal nanti, saya mahu berniaga di kampung ini dan kampung berhampiran, ikutlah berniaga apa pun asalkan boleh membantu menambah pendapatan saya dan keluarga," katanya. - KitaReporters
Walaupun OKU Ahmad Farid tetap melakukan kerja-kerja harian