Tinggalkan konglomerat, Wan Aifaa Shafia jadi tauke bakeri! Kek Biscoff, cheese burnt jadi bukti!
Published byBIARPUN mempunyai segulung ijazah dalam bidang kewangan dan perbankan, wanita manis disapa Aifaa ini tekad memilih kerjaya sebagai usahawan kek dan pastri sejak tiga tahun lepas.
Bukan itu sahaja, kata pemilik nama penuh, Wan Aifaa Shafia Wan Mohd Sofi, 27, mengakui dia tidak ralat apabila menolak tawaran kerja di sebuah syarikat pelaburan konglomerat terkemuka usai menamatkan pengajiannya demi membangunkan perniagaan kek dan pastri dinamakan, Flour Crown.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang bakeri
WAN Aifaa Shafia Wan Mohd. Sofi dari dunia konglomerat ke bidang bakeri.
Apatah lagi, berkat kegigihannya itu, Aifaa boleh berbangga apabila dia mampu membuka sebuah studio untuk pembuatan kek dan pastri Flour Crown di Jitra, Kubang Pasu berbekal modal daripada wang simpanannya sendiri.
Lebih membanggakan produk kek dan pastri air tangan anak jati Kubang Pasu itu semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk negeri ini apabila keenakannya rasa kek premiumnya semakin meniti dari bibir ke bibir.
AIFAA boleh berbangga dengan titik peluhnya membangunkan Flour Crown.
Bercerita tentang pembabitan awalnya, siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) ini memberitahu minatnya dalam bidang itu bermula sejak di bangku sekolah.
“Ketika masih bersekolah saya ambil tempahan kek cawan daripada kawan-kawan dan cikgu sampailah ke universiti.
"Pada 2015 saya beranikan diri ambil tempahan kek sehinggalah Oktober tahun lepas (2021) bila ada duit simpanan sikit saya buka studio ini,” katanya ketika ditemui di studio Flour Crown baru-baru ini.
LAZAT… Pelbagai kek premium mendapat tempat di hati penduduk Kedah.
Bercerita lanjut, kata Aifaa, demi mengasah bakatnya berkenaan terutama dalam hiasan kek dia pernah berguru dengan studio kek dan pastri terkenal, Le Chef En Box di Paris, Perancis selama tiga bulan pada 2021.
Tidak mahu terhenti di situ, Aifaa juga turut mengikuti bengkel pastri di Seoul, Korea Selatan pada Februari 2022.
“Saya cuma ingin memberi nilai tambah kepada minat saya ini termasuk memberikan keyakinan untuk mengusahakan perniagaan ini, “ alasannya.
Barangkali Aifaa boleh berbangga kerana pelbagai jenis kek premium termasuk yang viral, kek keju Biscoff kini menjadi buruan pengemarnya.
Antara kek premium kegemaran ramai adalah siri kek Biscoff dan cheese burnt yang dijual pada harga RM120 hingga RM150 sebiji.
DEMI kek Aifaa sanggup merantau ke Paris dan Korea Selatan.
Aifaa berkongsi pengalaman bahawa langkahnya dalam bidang itu tidak semudah disangkakan apatah lagi apabila dia membuat keputusan untuk berniaga daripada bekerjaya di pejabat di ibu kota.
“Keluarga sendiri agak terkilan apabila saya memilih untuk berniaga tetapi saya berusaha membuktikan bahawa bidang ini juga mempunyai masa depan dan mereka semakin memahami,“ kata anak kedua daripada empat beradik ini.
Malah Flour Crown juga menerima tempahan kek daripada empat kafe di seluruh negeri ini.
“Selain itu saya juga mempunyai ejen untuk memasarkan kek tornado di Jitra, Changlun, Alor Setar dan Perlis,” ujarnya.
DUNIA bakeri menjanjikan pendapatan lumayan, kata Aifaa
Sesuatu yang menarik, studio berkenaan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda yang masih menganggur namun berminat dalam bidang kek dan pastri.
Flour Crown turut mengadakan kelas bakeri termasuk untuk kanak-kanak sebelum ini sebagai salah usaha Aifaa menyumbang kepakarannya kepada masyarakat.
Bengkel tersebut yang mendapat sambutan menggalakkan bagaimanapun terpaksa dihentikan sementara waktu sejak pandemik Covic-19 melanda.
Bercerita tentang masa depan, Aifaa memberitahu, memiliki sebuah kafe menjadi impiannya.
“Mungkin dalam masa lima tahun lagi saya berharap impian ini akan tercapai,” katanya. - KitaReporters
CERIA bersama pembantu di Flour Crown.