Semoga Kasmah Darus bertabah! Pemain bola wanita negara 70-an penghidap barah tulang tahap 4!
Published byLAPORAN akhbar tempatan mengenai Kasmah (bertanda bulatan merah) yang terpilih dalam skuad wanita Malaysia ke Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia Ketiga, 1980 di Calicut (Kozhikode), India. - Kredit foto Adam.
LEBIH empat dekad lalu, Kasmah Darus cukup terkenal sebagai sayap kanan bola sepak wanita Malaysia terutama pada pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang ibarat Piala Malaysia bagi kaum Hawa.
Kehebatannya bersama Selangor dan Perak dalam era 70-an dan 80-an, turut membawanya menyarung jersi Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia dari 1975 hingga 1980.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bola sepak wanita:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak+wanita
KASMAH (bertanda bulatan merah) bersama rakan sepasukan bola sepak wanita Malaysia dalam era 70-an. - Kredit foto Adam.
Anak jati Tambun, Perak ini juga merupakan antara tonggak skuad wanita negara yang menduduki tempat keempat Kejohanan Wanita Asia edisi sulung anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Hong Kong pada 1975.
Mereka bangkit menewaskan tuan rumah 2-0 menerusi jaringan Raja Nor Ashikin dan Fadzilah Mohd. Noor selepas tumpas kepada New Zealand 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B.
Dua lagi aksi separuh akhir dan penentuan tempat ketiga turut menyaksikan kekalahan Malaysia, 3-0 dan 5-0 kepada Thailand dan Australia di hadapan lebih 6,000 hingga 11,000 penonton di Stadium Kerajaan, Hong Kong.
KASMAH Darus (dua dari kiri) menerima sumbangan bantuan prihatin FAM yang disampaikan Suraya Yaacob (kanan) di Damansara. - Kredit foto FAM.
Pada usia 63 tahun sekarang, Kasmah hanya mampu terlantar di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor akibat penyakit barah tulang tahap empat yang dihidapinya sejak Januari 2021 lalu.
Keadaan kesihatannya yang uzur itu mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob yang sempat meluangkan masa menziarahinya pada Sabtu 20 Februari 2021 lalu.
“Ibu saya juga pernah dikesan menghidap barah payudara, dua tahun lalu tetapi sudah dibuang dan disahkan negatif,” kata anak ketiganya, Adam Zubair Naharudin.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Suraya turut menyampaikan salam daripada Presiden, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan bekas-bekas pemain kebangsaan,” lapor laman sesawang FAM.
SURAYA (dua dari kanan) dan wakil PPBSWM berbual dengan Kasmah (tengah) dalam kunjungan mereka pada 20 Februari 2021. - Kredit foto FAM.
Turut menziarahi Kasmah ialah wakil Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM) yang diketuai Presidennya, Normala Rashid serta bekas rakan sepasukan mereka.
"Saya berterima kasih kepada Normala dan rakan-rakan PPBSWM yang sentiasa membantu Kasmah. Marilah kita mendoakan kesihatannya.
"Kasmah merupakan seorang pemain kebangsaan pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia 1975 (hingga 1980 di Calicut, Kerala, India),” katanya.
Suraya memberi jaminan FAM tidak akan sesekali melupakan jasa dan pengorbanan wira-wira silam bola sepak negara malah akan sentiasa prihatin dan cuba sedaya upaya menjaga kebajikan mereka.
“Ibu saya kini pesara Pos Malaysia setelah berkhidmat sebagai kerani dari 1981 hingga 2018. Saya anak ketiganya daripada lima beradik,” kata Adam.
C
CENDERAMATA daripada Jawatankuasa Wanita FAM ketika kunjungan ke rumah Kasmah. - Kredit foto FAM.
Sebuah akhbar harian tempatan pernah melaporkan, Kasmah juga menganggotai skuad negara yang meraih tempat kelima dalam liga pusingan awal Kejohanan Wanita Asia Ketiga di Calicut, Kerala, India pada 1980.
Mereka bermula dengan tewas kepada Taiwan 2-0 diikuti dikalahkan Australia Barat 1-0 dan Hong Kong 2-1, namun masih berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan India Utara 3-0 dan seri tanpa jaringan dengan India Selatan. - KitaReporters
KASMAH (bertanda bulatan merah), tonggak skuad bola sepak wanita negara yang meraih tempat kelima Kejohanan Wanita Asia Ketiga, 1980. - Kredit foto Adam.