JIKA bukan kerana The Road Warriors atau Legion Of Doom (LOD), mana mungkin muncul beregu gusti profesional handalan seperti Demolition dan Powers Of Pain mahupun jagoan solo, The Ultimate Warrior yang meminjam banyak ciri penampilan mereka, khususnya berkaitan mengecat muka, di gelanggang World Wrestling Federation (WWF) selepas itu. : KitaReporters

JUARA beregu dunia tiga organisasi besar, The Road Warriors atau Legion Of Doom (depan, Animal dan Hawk). - Kredit foto WWE.


LOD menggandingkan Animal dan Hawk atau nama sebenar masing-masing, Joseph Michael Laurinaitis dan Michael Hegstrand sejak 1983 hingga 2003.

Merekalah yang mencipta gimik mengecat muka yang menggerunkan ala wira perang Red Indian, berambut gaya Mohawk dan Mohican, mengenakan kostum berpaku, bertubuh sasa dan berotot pejal seperti ahli bina badan dan serba perkasa. 

Ada juga pemerhati gusti pro yang mendakwa, gimik The Road Warriors sebenarnya dicedok daripada siri filem aksi terkenal lakonan Mel Gibson, Mad Max yang turut pernah dikeluarkan di Amerika Syarikat dengan judul 'The Road Warrior' pada 1981. 

DEMOLITON (kiri, Ax dan Smash), bekas juara beregu dunia WWF tiga kali. - Kredit foto WWE.


The Road Warriors merupakan penyandang gelaran beregu dunia tiga pertubuhan gusti pro terbesar iaitu America Wrestling Association (AWA) pada 1984, National Wrestling Alliance (NWA), 1990 dan WWF (kemudian World Wrestling Entertainment - WWE), 1992 dan 1997.

Antara pencabar hebat yang ditewaskan gandingan mantap dan serasi di bawah pengurusan Paul Ellering ini malah pernah dijenamakan semula sebagai LOD 2000 untuk menjuarainya ialah The Midnight Express, The Nasty Boys dan The Godwinns. 

Di WWF dan World Championship Wrestling (WCW), mereka juga kerap bertarung hebat dengan lawan-lawan handalan seperti Demolition, Hart Foundation, Steiner Brothers, Doom, Samoan Swat Team, The Rockers, Powers Of Pain, Natural Disasters dan New Age Outlaws. 

Apabila bergandingan, Warriors kerap mengamalkan penangan penyudah yang dikenali sebagai Palang Lengan Berdukung malah sesekali Animal yang bertindak solo, akan menghadiahkan lawan dengan Bantingan Padu Berlari.

POWERS Of Pain (kiri, Warlord, pengurus Mr. Fuji dan Barbarian). - Kredit foto WWE.


Hari ini LOD cuma tinggal dalam kenangan duka para peminat setia mereka dengan kematian Hawk pada 19 Oktober 2003 dan yang terbaharu, Animal pada 22 September 2020 lalu. Kedua-duanya meninggal dunia pada usia 46 dan 60 tahun kerana serangan jantung.   

Hegstrand menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur selepas penat berkemas di rumahnya di Indian Rocks Beach, Florida, Amerika Syarikat untuk berpindah ke kondominium yang baru dibelinya.

ANIMAL melilit lengan sasanya ke leher Mark Henry dalam satu pertarungan beberapa tahun sebelum kematian Hawk (kanan). - Kredit foto WWE.


Laurinaitis pula menurut laporan polis yang diperoleh sebuah media atas talian TMZ Sports, mendapat serangan maut jantung setibanya di Margaritaville Lake Resorts, Osage Beach, Missouri ketika mahu meraikan ulang tahun perkahwinan dengan isterinya, Kimberly. 

Ahli gusti seberat 129 kilogram dan setinggi 1.85 meter ini mulanya dikatakan, merancang satu petang yang romantik buat mereka di bilik pusat peranginan itu yang dipenuhi bunga-bunga mawar dan bakul hadiah. 

“Laurinaitis tiba-tiba rebah di katil selepas mengalami kecemasan perubatan. Kimberly cuba menjalankan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) namun suaminya sudah tidak dapat diselamatkan,” lapor TMZ Sports pada 5 Oktober 2020 lalu.

PENANGAN penyudah LOD, Palang Lengan Berdukung yang dilaksanakan oleh Hawk (kanan) dari atas penjuru gelanggang. - Kredit foto WWE. 


Dua tahun selepas kematian Hawk, Animal cuba menghidupkan semula LOD dengan penggusti yang baru beralih karier bola rempuh, Jon Heidenreich yang berusia 36 tahun ketika itu.

Mereka berjaya merangkul kejuaraan beregu WWE dalam acara The Great American Bash selepas menewaskan MNM. “Kejayaan ini didedikasikan kepada mendiang Hawk,” kata Animal, kemudian.  

Pada 2011, The Road Warriors dianugerahkan kemasukan ke Dewan Terbilang WWE oleh Ellering sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada jasa dan perjuangan 'otai-otai' gusti pro. 

Tanggal 1 Mac 2011, Laurinaitis melahirkan sebuah buku autobiografi dengan William Andrew Wright yang bertajuk 'The Road Warriors: Danger, Death, and the Rush of Wrestling' (The Road Warriors: Bahaya, Maut dan Gesaan Gusti') terbitan Medallion Press, Inc.  

KULIT depan dan belakang 'The Road Warriors: Danger, Death, and the Rush of Wrestling' yang berkisar kisah lucu dan di balik tabir sukan hiburan, gusti pro. - Kredit foto Medallion Press.  


Joseph yang dilahirkan pada 12 September 1960 iaitu anak pasangan suami isteri yang berasal dari Lithuania dan pernah bekerja sebagai bouncer (kaki pukul) bar, turut mempunyai adik-beradik yang bergiat dalam gusti pro.

Mereka ialah John (menggunakan gimik Johnny Ace yang kemudian menjadi Naib Presiden Eksekutif Hal-ehwal Bakat WWE) dan Marcus (The Terminator). 

Anak Joseph, James Laurinaitis pula beraksi lapan musim dengan dua pasukan Liga Bola Rempuh Kebangsaan (NFL), St. Louis Rams dan New Orleans Saints sebelum bersara pada 2017. - KitaReporters

LOD 2005, Animal (depan) dan Heidenreich. - Kredit foto WWE.

0
0
0
0
0

Copy Link: