Video| Cerita Bollywood: Randhir Kapoor-Babita tinggal berasingan 32 tahun! Tapi tidak bercerai!
Published byMEREKA tinggal berasingan sejak 32 tahun lalu tetapi aktor Randhir Kapoor dan isterinya, aktres Babita Shivdasani, tidak bercerai. Sebaliknya hubungan mereka tetap akrab dan mesra serta sentiasa hadir bersama dalam dalam majlis-majlis tertentu, terutama majis keluarga. : KitaReporters
RANDHIR Kapoor dan Babita pada hari perkahwinan mereka pada November 1971. - Kredit foto: Times of India.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Bollywood:
https://kitareporters.com/search?search=bollywood
Bagi mereka walaupun sudah tidak tinggal sebumbung sejak 1988, bukan alasan untuk renggang atau bermasam muka, apatah lagi demi dua orang anak mereka, aktres terkenal Bollywood, Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor.
Randhir Kapoor ialah anak pelakon, pengarah dan produser unggul Bollywood, Raj Kapoor. Dia juga abang kepada pelakon Bobby, mendiang Rishi Kapoor.
Bagaimanapun dibandingkan dengan Rishi, Randhir tidak menonjol dan hanya membintangi beberapa buah filem sahaja. Dua antaranya berpasangan dengan Babita iaitu Kaal Aaj Aur Kaal (1971) dan Jeet (1972).
GAMBAR atas: Randhir Kapoor dan Babita bersama anak-anak, Karisma (kiri) dan Kareena (depan) ketika mereka masih kecil. Gambar bawah: Bersama Kareena (kiri) dan Karisma (kanan sekali) setelah dewasa. - Kredit foto: Twitter.
Filem Kaal Aaj Aur Kaal menggabungkan tiga generasi keluarga Kapoor, iaitu Prithviraj Kapoor, datuk kepada Randhir; bapanya, Raj Kapoor dan Randhir sendiri.
Ia juga merupakan filem pertama lakonan Randhir Kapoor yang memperkenalkannya ke layar perak. Selepas filem ini ditayangkan kepada umum, Randhir dan Babita berkahwin pada November 1971.
Babita pula merupakan antara aktres ternama Bollywood pada zaman kegemilangannya pada akhir 60-an dan awal 70-an. Dia membintangi banyak filem popular, antaranya Haseena Maan Jayegi, Farz, Ek Shriman Ek Shirimati, Tumsee Acha Kaun Hai, Pehchan, Kaab Kyoon Aur Kahan, Anmol Moti dan banyak lagi.
Dia berpasangan dengan hampir kesemua aktor ternama Bollywood seperti mendiang Shammi Kapoor dan mendiang Shashi Kapoor yang kedua-duanya bapa saudara Randhir; Jeetendara, Dharmendra dan Manoj Kumar.
Bakat lakonan Randhir dan Babita turun kepada anak-anaknya, Karishma dan Kareena Kapoor. Mereka meneruskan tradisi kegemilangan keluarga Kapoor dalam industri filem Hindi.
Kareena Kapoor sendiri adalah isteri kepada aktor popular, Saif Ali Khan, yang merupakan anak kepada Sharmila Tagore, seorang lagi aktres popular seangkatan Babita. Kini mereka menjadi besan pula.
PELBAGAI gaya manja aktres jelita Babita di zaman kegemilangan sebagai bintang Bollywood.- Kredit foto: India Today.
Mengulas mengenai kenapa perkahwinan yang dipupuk hasil rasa cinta dan kasih sayang itu boleh menyebabkan mereka berpisah walau tidak bercerai, Randhir memberitahu India Today, ia kerana tidak ada persefahaman antara mereka dalam perkara tertentu.
Dia tanpa segan memberi contoh bahawa dia suka minum minuman keras dan balik lewat malam. Ini tidak disukai Babita yang menganggap dia (Randhir) sebagai manusia yang teruk.
Babita mahu dia berhenti minum. Namun Randhir enggan memenuhi kehendak isterinya.
Menurutnya, oleh kerana isu perbezaan sikap yang mana dia tidak dapat memberi apa yang Babita hendak dan Babita tidak mendapat apa yang dia hendak, maka cara terbaik ialah berpisah tanpa bercerai.
Selepas perpisahan pada 1988 itu, Randhir kembali tinggal di rumah keluarganya.
RANDHIR KAPOOR dan Babita dalam satu adegan filem Kaal Aaj Aur Kaal keluaran 1971. Mereka berkahwin selepas filem ini ditayangkan kepada umum. - Kredit foto: Rediff.com
Sekali pun berpisah, perhubungan mereka tetap masih seperti dahulu, cuma bezanya mereka tidak tinggal sebumbung.
Menurut Randhir, tinggal berasingan adalah cara terbaik mengatasi perbezaan antara mereka. Sebagai manusia berfikiran matang, mereka tetap baik dan mesra seperti dahulu dan perpisahan itu sama sekali tidak menjadikan mereka musuh.
Baginya, Babita adalah sebahagian penting dalam hidupnya, dan insan yang memberikannya dua orang anak jelita yang telah mencipta nama di Bollywood.
Kerana itulah kedua-dua mereka kerap bersama dalam majis-majis tertentu, terutama majlis yang melibatkan keluarga Kapoor atau yang melibatkan anak-anak mereka.
RANDHIR KAPOOR dan Babita tetap mesra dan berkawan baik sekalipun sudah berpisah tanpa bercerai sejak 32 tahun lalu. - Kredit foto: India Today.
Kareena Kapoor mengakui bapanya sentiasa ada untuk mereka dan apabila keadaan memerlukan, bapa dan ibunya akan sentiasa ada bersama untuk mereka.
Menurut Kareena, ibunya adalah teman baiknya tetapi dia sangat menghormati dan menyanjung bapanya serta sangat menyayanginya. Dia menyifatkan bapanya sebagai insan yang sentiasa membantu dan memberi dorongan secara senyap tanpa perlukan publisiti.
Kareena memberitahu, hubungan ibu bapanya sangat baik. Oleh kerana kehidupan tidak seperti dirancang, adalah lebih baik mereka hidup berasingan tetapi masih tetap berkawan dan sama-sama membuat keputusan terbaik untuk anak-anak.
Menurutnya, dia dan Karisma sudah menyedari hakikat ini sejak awal dan sudah lali dengannya.
Yang penting kedua ibu bapa mereka tetap berkawan baik dan sentiasa memberi perhatian di atas kebajikan mereka. Bagi mereka itu lebih penting daripada segala-galanya. - KitaReporters
RANDHIR KAPOOR (depan dua dari kiri) dan Babita (depan dua dari kanan) sentiasa bersama dalam majlis melibatkan keluarga dan anak-anak. Karisma depan kiri dan Kareena (belakang tengah).