BAGI masyarakat Islam di Malaysia. kita mampu memiliki naskah al-Quran dan mempelajarinya dengan mudah. Malahan juga dapat membaca atau mendengarnya melalui telefon bimbit. Namun agak berlainan dengan rakan-rakan seagama di negara yang masyarakat Islamnya adalah minoriti serta tinggal di pedalaman yang terpaksa menghadapi kesukaran luar biasa bagi memperolehi kitab suci berkenaan untuk tujuan mempelajarinya. : KitaReporters


Lagi kisah-kisah berkaitan al-Quran:

https://kitareporters.com/search?search=al-quran


Kalau di negara kita ada jabatan atau agensi tertentu yang khusus menjaga hal ehwal Islam bagi membantu menyediakan kemudahan pelbagai aktiviti berkaitan agama termasuk menyediakan kitab suci al-Quran untuk kemudahan pembelajarannya. 

Namun bagi golongan minoriti berkenaan, mereka terpaksa bergantung kepada inisiatif sendiri di samping bantuan badan-badan sukarela serta orang perseorangan yang berperanan memaju atau meningkatkan syiar Islam sekalipun dalam serba serbi kekurangan.


Sebahagian anak masyarakat Islam minoriti di beberapa negara di Afrika terpaksa mengunakan salinan ayat-ayat al-Quran untuk belajar dan membacanya kerana terlalu kurangnya kitab suci berkenaan. - Kredit Foto: Pemikiran Nur (Hayrat Malaysia).


Bagi negara-negara di mana penduduk Islamnya sebagai minoriti, mereka terlalu sukar dan menghadapi cabaran hebat untuk memperolehi bahan-bahan kegunaan pembelajaran asas Islam termasuklah al-Quran.
Mungkin ramai antara kita tidak mengetahui ada anak-anak dan penduduk Islam di beberapa negara di Afrika yang terpaksa menyalin ayat-ayat al-Quran sama ada pada kepingan kayu, pelepah pokok atau sebagainya semata-mata untuk mempelajari kitab suci berkenaan.
Malahan kerana tekad dan semangat untuk mempelajari al-Quran dengan kaedah yang betul serta mereka tidak jemu-jemu berusaha melakukan pelbagai cara termasuk menyalin dan menulis semula ayat-ayat suci itu termasuklah pada pinggan atau atas  pasir untuk tujuan menghafaz. 

Tindakan ini dilakukan kerana terlalu sedikitnya jumlah naskah al-Quran yang ada itu pun warisan daripada generasi terdahulu.


Sekalipun disalin dan ditulis ke atas kepingan kayu, namun keindahan seni ayat-ayat suci al-Quran tetap terselah. Ia dijadikan sebagai alat untuk anak-anak keluarga Islam di beberapa negara Afrika belajar al-Quran.

Seperti mana yang berlaku di kawasan pedalaman Somalia, Kenya, Sudan, Ghana dan beberapa negara lain di Afrika, anak-anak dan keluarga Islamnya terlalu sukar mendapatkan naskah al-Quran hingga terpaksa membuat salinan ayat-ayat suci sama ada dia tas kayu, pasir, pinggan yang mereka namakan sebagai 'loh' bagi memudahkan mereka belajar dan menghafaz al-Quran. 

Sebahagian penduduk di beberapa buah kampung di negara-negara itu membuat salinan ayat-ayat suci berkenaan melalui guru-guru dan mereka yang mahir tentang al-Quran. Salinan dilakukan daripada naskah al-Quran milik turun temurun datuk nenek mereka.

Melalui kegigihan itu, anak-anak minoriti Islam mampu mempelajari al-Quran dengan baik dan bakal menjadi generasi celik al-Quran pada masa akan datang selain sebagai pendakwah berpotensi dalam kalangan masyarakat mereka.
Melihat keadaan yang dialami masyarakat Islam minoriti di seluruh dunia dalam keadaan sukar lagi menyedihkan, sebuah badan sukarela (NGO) dikenali sebagai Yayasan Hayrat yang berpejabat di Turki menjalankan kempen "Dunia Membaca al-Quran" dengan impian menyebarkan sebanyak mungkin naskah al-Quran ke seluruh dunia yang sangat memerlukan terutama kawasan pedalaman termasuk negara-negara di Afrika di mana komuniti Islamnya adalah minoriti.

Salah seorang penduduk Islam Somalia menunjukkan kemahiran menulis ayat-ayat suci al-Quran di atas kepingan kayu bagi kemudahan masyarakat Islam terutama anak-anak disekolah belajar Quran.
Untuk permulaan yayasan ini bermatlamat menyebar dan mengagihkan 1 juta naskah al-Quran kepada saudara-saudara Muslim melalui kempen yang dijalankan dengan harapan mampu melahirkan lebih ramai generasi hafaz al-Quran dalam kawasan masyarakat minoriti Islam di sana.
Sehingga ini sejumlah 300,000 naskah al-Quran telah dihantar dan diagihkan ke beberapa negara terutama Nigeria, Sudan, Togo, Ghana, Somalia, Kenya juga termasuk Bosnia Herzagovina, Utara Macedonia dan Albania serta beberapa negara lain.
Sehubungan itu dalam menjayakan misi murni ini pihak Yayasan Hayrat memohon sumbangan orang ramai daripada seluruh dunia menjayakan impian yang dicita-cita supaya dakwah Islam dapat dipertingkat dengan lebih baik.
Di Malaysia, usaha murni tersebut dibantu oleh sebuah badan NGO, Pemikiran Nur (Hayrat Malaysia) untuk mengurus pemgumpulan dana rakyat negara ini yang berminat membuat sumbangan wakaf kitab suci al-Quran untuk diagihkan kepada masyarakat Islam yang memerlukan khususnya di negara-negara penduduk Islamnya adalah minoriti.

Salah seorang sukarelawan Yayasan Hayrat, Turki mengagihkan naskhah kitab suci al-Quran kepada pelajar anak-anak keluarga Islam di Albania.
NGO ini berpejabat di No. 8A, Prima Samudra, Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor itu boleh dihubungi melalui telefon 019-6024342, Ustaz Abdul Rahman untuk pertanyaan dan tujuan sumbangan. Juga melalui email: [email protected].
Menurut, Setiausaha Agung Pemikiran Nur (Hayrat Malaysia) pada paparan dalam media sosial  pertubuhan itu, al-Quran yang diagihkan merupakan cetakan dan diedar di Turki serta Universiti Al-Azhar, Mesir menggunakan resam Othmani dan ditulis semula oleh Ahmed Husrev Altinbasak.
Al-Quran yang diiktiraf dan mendapat pengesahan Jabatan Urusan Agama Islam Turki versi berwarna dan mudah dibaca juga terdapat di Malaysia dengan pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia juga digunakan oleh masyarakat Islam sekitar negara-negara Arab dan Afrika.
Bagi tujuan menjayakan misi "Dunia Membaca Al-Quran" ini agar berkesan, pihak yayasan berharap mendapat sokongan masyarakat Islam di Malaysia dengan menyumbang dana pembelian naskah kitab suci berkenaan.
Di Malaysia dana sumbangan bantuan naskah al-Quran untuk projek "Dunia Membaca Al-Quran" ini adalah di antara minimum RM10 hingga RM300 untuk satu-satu sumbangan. - KitaReporters

Salah seorang sukarelawan Yayasan Hayrat, Turki menunjukkan isi kandungan naskhah al-Quran kepada beberapa orang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Somalia selepas mengagihkan kitab suci itu melalui program " Dunia Membaca Al-Quran".

Setelah memperolehi sumbangan naskhah al-Quran oleh Yayasan Hayrat, Turki pelajar-pelajar salah sebuah sekolah di negara Afrika lebih yakin dan mudah untuk mereka belajar al-Quran.

Salah seorang sukarelawan Yayasan Hayrat,Turki menunjukkan sekeping papan yang ditulis dengan ayat-ayat suci al-Quran yang digunakan oleh anak-anak Islam minoriti di kawasan pedalaman khususnya di Afrika pada majlis penyamapian naskah al-Quran resam Othmani.

1
0
0
0
0

Copy Link: