Allahuakhbar! 50 penduduk Orang Asli etnik Bateq peluk Islam
Published bySYUKUR dan alhamdulillah. Bertambahlah lagi umat Nabi Muhamad SAW di dunia akhir zaman ini apabila saban masa ada rakan kita daripada agama lain memeluk Islam dengan mengakui keesaan Allah SWT dan rasul-Nya. Ini kerana seramai 50 orang penduduk Orang Asli etnik Bateq telah mengakui keesaan Allah SWT dan memeluk agama Islam sejak awal tahun ini. : KitaReporters
Penduduk Orang Asli etnik Bateq sedang mandi-manda di Sungai Hulu Sat. Mereka sudah menerima hidayah Allah dan merupakan kalangan saudara baharu Islam. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin
Lagi kisah-kisah berkaitan etnik Batek:
https://kitareporters.com/search?search=Batek
Mereka adalah dari Kampung Hulu Sat dan Kampung Bengoi, Mukim Hulu Tembeling daerah Jerantut.
Pegawai dan kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Pejabat Agama Islam Jerantut dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah mengadakan kunjungan di bawah Program Ziarah Dakwah dan Pendaftaran Mualaf di kedua buah penempatan Orang Asli etnik Bateq itu yang terletak di pesisir Sungai Hulu Sat yang berlangsung selama dua hari, iaitu 14 hingga 15 Disember 2020.
Sempena ziarah itu, pegawai Muip serta tetamu turut berasa syukur apabila seorang lagi wanita Orang Asli Bateq yang cuma dikenali dengan nama Senah bersama anaknya turut melafazkan kalimah syahadat yang dipimpin oleh Ketua Unit Pembangunan Modal Insan Muip, Sh. Mohd Firdaus Sh. Othman.
Upacara pengislaman itu turut disaksikan oleh Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Islam, Mohd Ali Mat Dasir serta dua orang guru Briged Dakwah, Mohd Ali Mat Dasir dan Ustaz Fauzan Md Tahib.
Yang turut hadir, iaitu Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Afiq Radzuan; wakil Jakoa negeri, Ridwan Moktar; Timbalan Kadi Jerantut, Ustaz Asri Abdul Rahim; Penolong Pengarah Kanan JAIP, Ustazah Naiemah Jelani dan Pengurus MUIP Jerantut, Nik Tarmiizi Nik Lam.
Manakala saudara baharu lain yang sebelum ini telah memeluk Islam pada awal tahun turut menerima Kad Pemelukan Islam, sagu hati pengislaman, barangan keperluan dapur serta kelengkapan ibadah yang disempurnakan penyampaiannya oleh Mohd Ali Mat Dasir.
Seorang saudara baharu (mualaf) Orang Asli etnik Bateq (kanan) menerima kad pemelukan Islam yang berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) daripada seorang kakitangan majlis tersebut di Kampung Bengoi, Hulu Tembeling daerah Jerantut. - Kredit foto: FB Muip
Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berkata, program itu bertujuan untuk mendekati komuniti Orang Asli etnik Bateq khususnya selari dengan usaha dakwah Islamiah serta menyantuni kebajikan mereka yang ratanya terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
"Muip juga turut membuat pendaftaran pengIslaman (mualaf) berkenaan kerana ada dalam kalangan mereka sudah pun memeluk Islam sebelum ini menerusi usaha aktiviti dakwah Muip dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Jerantut dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar.
"Program ini juga melibatkan kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membuat pendaftaran lewat kelahiran anak Orang Asli, manakala Pejabat Agama Islam Jerantut turut melaksanakan pendaftaran perkahwinan dalam kalangan penduduk berkenaan," katanya menerusi hantaran laman sosial Facebook tersebut pada 15 Disember 2020.
Barang keperluan dapur dipunggah ke tebing oleh kakitangan Muip untuk sumbangan kepada penduduk Orang Asli etnik Batek di Kampung Bengoi, Hulu Tembeling, Jerantut. - Kredit foto: FB Muip
Guru Briged Dakwah, Ustaz Fauzan Md Tahib pula berkata, pengisian program itu juga dipenuhi dengan ziarah ke rumah Orang Asli dengan menyampaikan barang keperluan dapur serta menitip motivasi kehidupan berasaskan ajaran Islam serta acara sukaneka untuk kanak-kanak.
Katanya, berkat kerjasama usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Muip, JAIP dan NGO Islam luar menitip kefahaman Islam sejak beberapa tahun lalu, akhirnya etnik berkenaan terbuka hati untuk memeluk agama Islam pada awal tahun ini.
"Setelah memeluk Islam dan menjalani bimbingan mnerusi usaha dakwah, penduduk di sini beransur-ansur mengubah adat dan kepercayaan lama mereka sekali gus mampu mengamalkan ajaran Islam ketika menjalani kehidupan harian," katanya menerusi laman Facebook tersebut.
Wanita Orang Asli etnik Bateq Hulu Sat yang dikenali sebagai Senah bersama anaknya sedang melafazkan kalimah syahadat selepas menerima tunjuk ajar oleh pegawai Muip. - Kredit foto: FB Muip
Sementara itu, saudara baharu Kampung Hulu Sat, Senah berkata, dia berasa syukur kerana diberi hidayah oleh Allah bersama ahli keluarganya begitu mudah dan selesai mengucapkan dua kalimah syahadat menerusi bimbingan pegawai Muip pada 15 Disember 2020.
"Saya rela hati serta tertarik dengan agama Islam kerana sudah lama melihat cara hidup orang Melayu yang tinggal berdekatan (Kampung Kuala Sat) lebih lagi kerap membantu kesusahan kami (Orang Asli) di sini.
"Ada orang luar (pendakwah) yang datang dan memberitahu hal ini (agama Islam) menyebabkan keluarga saya dan rakan lain tertarik dengan ajaran ini," katanya.
MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, usaha serta komitmen kakitangan Muip dan NGO luar dialu-alukan dan tugas tersebut sangat mulia menyeru orang bukan Islam kepada Islam.
"Usaha ini bukan sahaja dipikul pihak Muip, JAIP dan Pejabat Agama Islam daerah semata-mata malahan kewajiban berkenaan wajar digalas oleh semua orang Islam berdakwah serta menyebarkan ajaran ini (Islam) kepada rakan dari kaum lain.
"Apa yang penting iaitu memastikan mereka saudara baharu ini (Orang Asli) menghayati sepenuhnya segala tuntutan Islam dalam kehidupan baharu mereka sebagai seorang muslim," ujarnya.
Mohd Zakhwan menambah dalam hal ini, hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud,'Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)'. - KitaReporters
Dua orang kakitangan Muip dan Pejabat Agama Islam Jerantut sedang berziarah keluarga Orang Asli Batek dan menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur di Kampung Hulu Sat, Jerantut pada 15 Disember 2020. - Kredit foto: FB Muip