Gelagat anak-anak Abdul Rani Mat yang tidak memahami erti kehilangan ketika menziarahi pusara ibu mereka, Zawiah Mahmud di Tanah Perkuburan Kolam Air, Beserah, Kuantan.


Anak adalah anugerah Allah SWT dan amanah yang dipinjamkan kepada kita. Didikan asuhan dan curahan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pasti membahagiakan anak-anak. 

Ibu bapa  sentiasa berdoa akan kesempurnaan anak-anak yang dilahirkan. Begitupun bukan sedikit yang diuji dengan kehadiran cahayamata yang istimewa dengan segala bentuk kekurangan. Namun, mereka tabah berdepan ujian Allah kerana anak adalah anugerah terindah dalam kehidupan dunia dan akhirat. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anak-anak istimewa

Abdul Rani bersama lima anak istimewanya ketika menziarahi pusara Zawiah.


Bukan satu perkara mudah bagi seorang ibu juga bapa menerima hakikat bayi yang dilahirkan sempurna pada peringkat awal akhirnya didapati tidak sempurna atau normal dalam proses tumbesaran seperti mana dilalui kanak-kanak lain.

Begitu hakikat kehidupan yang dilalui pasangan Abdul Rani Mat dan Zawiah Mahmud apabila lima daripada lapan anaknya tergolong dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Zawiah telahpun meninggal dunia pada 24 April 2022 lalu seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri kerana komplikasi penyakit darah tinggi, jantung dan paru-paru bengkak.

Kini, tinggallah Abdul Rani sendirian menguruskan keperluan anak-anak istimewanya dengan bantuan anak kelimanya yang normal, Nurul Aina Fitrah, 25 .

Mahu atau tidak, kini Abdul Rani yang juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan lelah cuba sebaik mungkin memahami dan memenuhi apa sahaja kehendak anak-anaknya.



Rutin hariannya kini menuruti kehendak anak-anak yang mahu menziarahi pusara ibu mereka.

“Kalau boleh, setiap hari anak-anak hendak ziarah pusara ibu mereka walaupun hanya untuk beberapa minit sahaja...janji pergi.

"Selagi saya tak bawa ke sana, mereka akan mengamuk, merengek dan 'buat perangai' yang bukan-bukan menyebabkan saya tidak sampai hati menghampakan permintaan mereka,“ katanya ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, Kuantan pada 21 Jun 2022.

Abdul Rani berkata, anak-anaknya tanpa mengira waktu akan mengajaknya  ke Tanah Perkuburan Kolam Air, Beserah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya untuk bertemu "mama" yang dirindui.

“Anak-anak menunjukkan wajah yang sangat gembira tiap kali dibawa ke kubur tetapi akan terus diam dan kadangkala menangis ketika mengaminkan doa yang saya baca,“ katanya. 

 Bagaimanapun, Abd Rani berkata, anak-anaknya akan ketawa semula sambil melambai-lambai ke arah kubur sebelum pulang seperti tiada apa yang berlaku.

“Kalau ditanya kenapa nak pergi kubur, dengan menggunakan bahasa isyarat mereka beritahu nak jumpa mama, teringat mama,“ kata Abdul Rani sebak.



Lima anak istimewanya yang kurang upaya  iaitu Mohd Asrul Nizam, 37; Siti Nurul Ashikin, 34; Mohd Iskandar, 30; Mohamad Ikmal Hakimi, 23; dan Mohamad Amir Azwan, 19, tidak mampu mengurus diri sendiri.

Anak sulungnya, Nur Azuraida, 38, (normal) bekerja dan menetap di Kelang, Selangor. Seorang lagi anak lelakinya, Muhammad Faizal meninggal dunia ketika berusia empat bulan kerana demam panas.

“Saya bersyukur sangat kerana dua anak perempuan saya sangat menyayangi dan melayani mereka seperti biasa walaupun ibu mereka sudah tiada.

“Mereka juga sudah berjanji tidak akan berpisah atau menyerahkan abang dan adik kepada orang lain kalau saya sudah tiada nanti,“ kata bekas anggota tentera 12 Melayu Diraja, Kem Batu 10, Kuantan itu.

Abdul Rani berkata, anak-anaknya sentiasa kelihatan gembira. Walaupun tidak mampu bertutur mereka akan menegur melalui cara mereka sendiri dengan bersalam, memeluk dan melambai tangan kepada semua orang yang ditemui.


Abdul Rani reda dan pasrah dengan ketentuan Illahi dengan takdir yang dilalui bersama lima anak istimewanya itu.


Kelima-lima anaknya pernah dihantar ke sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PdK), Seri Cahaya, Balok. Mohamad Ikmal Hakimi dan Mohamad Amir Azwan masih mengikuti aktiviti di PDK berkenaan.

Menurutnya, dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada Nur Azuraida dan Nurul Aina Fitrah yang bekerja di sebuah pasar raya berdekatan.

Menurut Abdul Rani, anak-anaknya adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain beberapa pihak dan orang perseorangan yang menghulurkan sumbangan.

"Saya akan cuba sedaya upaya menceriakan kehidupan anak-anak selepas ketiadaan ibu mereka walaupun pada hakikatnya mereka tidak tahu apa-apa. 

"Cuma satu perkara yang menjadi keutamaan saya sekarang ialah memenuhi kehendak mereka menziarahi pusara dan keluar bersiar-siarsekitar kampung seperti mana yang arwah isteri lakukan sebelum ini," katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu lori.

Semoga Abdul Rani terus tabah dan dan diberi kekuatan demi menjaga serta melindungi anak-anak istimewanya. - KitaReporters


Abdul Rani bersama lima anak istimewanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, Kuantan. 

9
11
1
9
0

Copy Link: