.

Azli Yusof bersama AJK MaRMA


"Usaha murni ini perlu diteruskan dengan lebih gigih untuk memberi kesedaran pada masyarakat agar lebih prihatin pada pesakit mental." 

Itu kata kata semangat daripada Azli Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam kepada sekumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) MaRMA atau Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia yang membuat kunjungan hormat ke pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Shah Alam di World Wide Business Park Shah Alam dalam usaha  menubuhkan pusat rehabilitasi pesakit skizo. 

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai program MaRMA "Virtual Fun Walk" yang akan diadakan pada Februari 2025 ini.


 

Azli Yusof



Perbincangan AJK MaRMA dengan pihak Azli mengenai permohonan dana bagi program MaRMA turut mendapat reaksi positif daripada Ahli Parlimen itu.  

Beliau bersetuju untuk menyokong dan memberi dana kepada program MaRMA "Vitual Fun Walk" yang akan diadakan pada Februari tahun depan (2025).  

Pihak MaRMA, yang diwakili Timbalan Pengerusi, penulis; Bendahari, Ismail Abdul Rahman; dan mantan Pengerusi MaRMA, Rosiah Jantan, juga telah membincangkan secara terperinci mengenai hasrat MaRMA untuk menubuhkan sebuah Pusat Rehabilitasi Pesakit Skizofrenia di Selangor. 


Azli bersama AJK MaRMA


Azli yang diberikan penerangan mengenai masalah penjaga dan pesakit skizofrenia serta harapan MaRMA menubuhkan sebuah pusat rehablitasi yang bersifat holistik, memuji pihak MarMa yang berusaha menubuhkan sebuah pusat sedemikian, yang pada pendapat beliau tidak mudah untuk dilaksanakan. 

Beliau turut memberi sedikit pandangan dan laluan untuk pihak MaRMA bertemu Exco kerajaan Negeri Selangor yang boleh membantu pihak MarMa. 

Beliau menyarankan agar MarMA berjumpa Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dan Exco Kesihatan Awam dan Alam sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin bagi membincangkan lebih lanjut mengenai usaha MaRMA dan program yang dijalankan oleh MaRMA.


Rosiah Jantan.


Sementara itu, Mantan Pengerusi MaRMA Rosiah Jantan memberitahu, hampir dua tahun MaRMA memperjuang hasrat mereka untuk menubuhkan pusat rehabilitasi ini namun sangat sukar untuk mendapat dana apatah lagi mengumpul ahli. 

Beliau yang telah banyak bertemu dengan beberapa pihak sebelum ini untuk memperkenal MaRMA dan memohon dana mengakui sukar untuk meyakinkan masyarakat dan pihak pihak tertentu untuk menubuhkan Pusat Rehabilitasi untuk Pesakit Skizofrenia.  

Namun begitu pertemuan dengan Ahli Parlimen Shah Alam ini sedikit sebanyak memberikan cahaya kepada usaha MaRMA selama ini dan membakar semangat untuk meneruskan usaha yang dijalankan. 

Bendahari MarMA Ismail Abdul Rahman juga bersetuju dengan pendapat Rosiah yang mengatakan pertemuan ini telah memberi satu semangat baharu, yang sebelum ini MaRMA hampir menyerah kalah, untuk meneruskan usaha pusat rehabilitasi berkenaan. 

Selain itu, beliau turut berpendapat memang sukar meyakinkan masyarakat untuk membantu pertubuhan itu walaupun yuran tahunannya sangat rendah iaitu RM20 setahun. 

Beliau mengakui tanpa dana yang cukup, NGO ini tidak boleh bergerak membantu pesakit skizo dan penjaga mereka yang sedang mencari solusi pada masalah tersebut. 

Beliau menyeru orang ramai menyertai NGO MaRMA untuk bantu mereka yang tergolong dalam kategori pesakit skizo yang kurang berkemampuan dan fakir. - KitaReporters


Ismail Abdul Rahman

15
11
0
8
0

Copy Link: