Kongsi kisah dan pengalaman! Breffa didiagnosis kanser lidah tahap 2! Pilih berdamai dengan takdir!

Published by
KitaReporters


Penyakit kanser atau barah adalah penyakit yang makin kerap kita dengar dalam dunia moden ini. Penyakit berbahaya ini dikhabarkan adalah penyebab kedua kematian di seluruh dunia. 

Tahukah anda bahawa kira-kira satu daripada 10 orang di Malaysia menerima diagnosis kanser sepanjang hayat mereka?

Namun, sekiranya anda didiagnosis dengan kanser, janganlah berputus asa. Tidak dinafikan ia berita yang sangat menakutkan. Namun tahukah anda, pengesanan awal kanser meningkatkan kebarangkalian tindak balas positif terhadap rawatan yang berkesan.

Secara tidak langsung ia membawa kepada peningkatan peluang untuk bertahan hidup, morbiditi yang lebih rendah dan intervensi yang lebih efektif bagi mereka yang didiagnosis dengan kanser.


Setiap kali tidur, Breffa akan tergigit lidah tanpa disedari.


Perkongsian oleh seorang Ketua Jabatan Pemasaran, Mohd Yazid Baharudin, 40, atau lebih mesra disapa Breffa, saat didiagnosis kanser lidah tahap dua oleh doktor boleh dijadikan iktibar.

Dia yang kini bertugas di sebuah syarikat agensi pelancongan, Haji & Umrah Harmony Excellence Holiday, berkongsi pengalaman tersebut dalam media sosial. 

Keputusannya untuk berkongsi pengalaman tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada rakan-rakan tentang tindakan segera yang perlu diambil sekiranya ada yang tidak kena dengan anggota badan.

Menurut Breffa, ketika tiba hari yang ditunggu-tunggu kerana keputusan mengenai kesihatannya diumumkan oleh doktor, perasaannya berdebar-debar dan cemas. Dia juga berkongsi perbualannya dengan doktor.



“25 November 2024, tarikh yang saya agak gementar nak tahu keputusan mengenai lidah saya. 25 November 2019, tarikh di mana ayahanda saya pulang ke negeri abadi. Hari ini saya sebenarnya reda dengan keputusan yang keluar.

“En. Yazid, keputusan sudah ada pada saya, Apa jangkaan En. Yazid? Saya jangka kanser namun saya nak tahu tahap berapa je doktor? 

"Ya, mungkin ini berita yang tak berapa seronok untuk diberitahu tapi benar En. Yazid didapati kanser lidah tahap dua. Namun kita ada beberapa proses yang perlu dilalui nanti. Kita cuba segerakan ya,” tulis Breffa dalam Facebook miliknya.



Perkongsian itu mengejutkan ramai kenalannya dalam Facebook. Tidak lama kemudian, ia mula dibanjiri pelbagai komen yang memberi kata-kata semangat kepadanya. 

Merasakan perlu untuk dikongsi bersama agar ramai yang lebih cakna tentang kesihatan, Breffa sekali lagi berkongsi pengalaman tersebut. 

Menurutnya dia reda menerima suratan takdir itu.

“Permulaan hari yang agak sayu, tapi sebenarnya saya benar-benar sudah bersedia dan reda. Saya yakin Allah bagi sakit ini pada yang mampu tanggung dan perancangan Allah adalah sebaik-baiknya.



“Terima kasih Allah kerana masih sayang pada diri ini. Saya jelaskan sedikit kronologi bagaimana ia bermula supaya anda semua cakna dan ambil tindakan segera. Jangan jadi seperti saya tetapi mujur masih awal tahap dua, Alhamdulillah.

“Punca terjadinya daripada tergigit lidah. Saya sudah lama alaminya ketika tidur tanpa sedar. Lama jugalah hampir setahun. Apabila tertidur, saya tergigit dan dalam dua hari ia sembuh dan akan ulang tergigit di tempat yang sama.

“Mula-mula tak rasa apa-apapun, namun makin lama semakin sakit pada bahagian lidah tu. Jadi, seingat saya pada Oktober 2024 saya belilah ubat di farmasi untuk ulser. Pakai hampir sebulan tak baik-baik malah makin besar.



“Kemudian dalam sebulan ia jadi makin besar sikitlah. Jadi, saya terus pergi klinik swasta. Doktor tu cakap lebih baik pergi hospital. 

"Jadi, saya pergilah klinik kesihatan kemudian dirujuk ke klinik gigi. Kemudian klinik gigi rujuk saya ke pakar bedah mulut di Hospital Selayang.

“Kemudian dua minggu lepas mereka ambil sampel lidah dan hari ini dapat jawapannya. Memang sakit sikitlah bila nak makan dan cakap tapi masih teruruslah. 

"Insya-Allah saya boleh laluinya! Mohon doa rakan-rakan semua ya,” ceritanya yang menetap di Taman Bidara Selayang, Selangor.


Breffa dikenali dalam kalangan rakan-rakan seorang yang ceria dan peramah.


Ketika ditemu bual oleh penulis, menurut Breffa dia tidak terkejut sangat kerana sudah menyangka sejak awal. Ini kerana dia mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kanser iaitu arwah ibunya yang menghidap kanser payudara.

Tambahnya lagi, kanser lidah yang dihidapinya itu terjadi apabila sel-sel yang terbina setelah banyak kali ada kesan trauma gigitan dan sembuh. Sungguhpun telah didiagnosis penyakit berbahaya, Breffa tetap bersikap positif.

“Saya reda dan sentiasa bersedia apa sahaja yang telah ditakdirkan. Namun ia bukanlah satu alasan untuk melemahkan semangat saya untuk hidup sebab ramai sahaja yang kanser survivor (sembuh),” ujarnya. - KitaReporters


12
16
0
10
0

Copy Link: