Program “Kem Aspirasi Remaja Madani (KAREM): Raudhah Kepimpinan” merupakan inisiatif pembangunan sahsiah dan kepimpinan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu dengan kerjasama kumpulan Penglibatan Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM).

Program berkenaan bertujuan untuk membentuk pemimpin yang berilmu, berakhlak, serta mempunyai jati diri yang tinggi dalam aspek kepimpinan Islam. Selain itu, ia juga memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kesukarelawan.

Pengerusi PIBKS Daerah Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, berkata ia menumpukan kepada pelajar lelaki yang berumur antara 15 dan 16 tahun membabitkan 23 sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.


Peserta mengikuti kuliah agama antara salah satu aktiviti dalam program berkenaan.


Menurutnya, peserta melalui pengalaman tidur di ruang luas (dewan) dan bangun malam untuk berqiamullail sementara pengisian program menekankan nilai-nilai kepimpinan, tadarus dan tadabbur al-Quran, tazkirah, solat berjemaah serta pelaksanaan ibadah puasa.

Jelas beliau, program berkenaan dilaksanakan pada awal Ramadan dengan harapan supaya peserta dapat mengaplikasikan apa yang diperoleh dalam program itu di sepanjang Ramadan tahun 2025 dan tahun seterusnya.

“Program ini yang berlangsung dua hari di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu disempurnakan perasmian penutup oleh Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang pada 7 Mac 2025,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis perasmian penutup program berkenaan, Pegawai Pedidikan Daerah Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor.


Khairi Mohd Noor (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mahadi Awang.


Armi Irzan berkata, dengan pelbagai aktiviti yang diadakan itu pihak penganjur berkeyakinan objektif melahirkan pemimpin muda berwibawa serta berakhlak Islami berjaya disemaikan dalam kalangan pelajar yang mempunyai ruang untuk mempraktikkannya.

Tambahnya, sepanjang program itu juga ceramah kepemimpinan, aktiviti pengisian rohani dan tazkirah disampaikan oleh penceramah jemputan serta YADIM membuka usaha ke arah memupuk nilai tarbiah dan taqwa dalam kehidupan seharian. 

Jelasnya, sebagai generasi muda yang akan menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan pada masa depan, membina jati diri mereka melalui aktiviti ibadah dan refleksi diri diperdedahkan sebaik mungkin.


Pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong bergambar bersama tetamu kehormat pada majlis perasmian penutup program.


“Ini juga secara tidak langsung memberi galakkan kepada pembentukan komuniti sukarelawan dalam kalangan peserta bagi meneruskan amalan kepimpinan dan khidmat masyarakat di sekolah serta komuniti setempat mereka.

“Ia secara tidak langsung dapat menzahirkan usaha Kerajaan Madani dalam melahirkan generasi muda untuk akan datang yang memelihara semangat perpaduan dan muhibah pelbagai kaum supaya dapat terus membina kehidupan harmoni.

“Penganjur juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini termasuklah pengetua sekolah menengah terbabit, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penaja yang prihatin,” ujar Armi Irzan. - KitaReporters


Peserta Program "Kem Aspirasi Remaja Madani (KAREM)" merakam kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis perasmian penutup. 

25
12
0
12
0

Copy Link: