Kredit foto: Bernama


KERAJAAN Madani akan memastikan Pasar Datuk Keramat  akan berwajah baru apabila projek pembangunan dan menaik taraf kawasan itu akan bermula selewat-lewatnya suku pertama 2025.

Ini berita gembira kepada penduduk tempatan dan mereka yang pernah mengunjungi pasar warisan itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu, sekali gus isu-isu legasi yang membantut pembangunan kawasan berkenaan dapat diselesaikan tahun ini selepas begitu lama tertangguh.

Sebelum ini Perdana Menteri yang melawat pasar berkenaan Julai 2025 mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan kemelut pembangunan semula Pasar Datuk Keramat yang sangat daif dan sudah tertangguh sejak beberapa tahun lalu.


Pertunjukkan Muay Thai oleh penguat kuasa Perbadanan Putrajaya sempena Hari Terbuka Putrajaya 2025.


Masalah di Pasar Datuk Keramat berlaku apabila DBKL memberikan kawasan itu kepada syarikat pemaju untuk menaik taraf pasar berkenaan, namun ia gagal dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Apabila syarikat pemaju tidak melaksanakan projek itu, DBKL tidak boleh meneruskan projek berkenaan disebabkan syarikat pemaju sudah membayar kira-kira 10 peratus nilai tanah di kawasan pasar terbabit.

Selepas desakan pelbagai pihak, DBKL menebus semula kawasan pasar berkenaan dan syarikat pemaju mengembalikan semula kawasan tanah itu. Ini memudahkan pihak berkuasa tempatan itu untuk menguruskan dan menaik taraf pasar berkenaan.


Dr Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada seorang pelajar asnaf sempena Hari Terbuka Putrajaya sambil diperhatikan oleh Shamsul Azri Abu Bakar (dua dari kiri), Noridah Abdul Rahim (kanan) dan TPr Fadlun Mak Ujud.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pembangunan semula pasar tersebut merupakan isu legasi yang perlu segera diselesaikan dan tidak boleh tertangguh lagi.

Beliau sudah mengarahkan DBKL melakukan bancian untuk memuktamadkan bilangan peniaga dalam tempoh dua minggu agar perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan segera.

"Saya mahu melihat Pasar Datuk Keramat ini sebagai sebuah pasar yang lebih selesa, bersih, selamat dan dilengkapi dengan fasiliti yang lebih moden demi kesejahteraan semua dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan peniaga.


Seronoknya membeli belah pelbagai jenis barangan pada Hari Terbuka Putrajaya 2025.


"Saya sudah melawat dan meninjau keadaan pasar berkenaan dan mendapati bangunan pasar itu terlalu lama dan uzur, menginjak ke usia 50 tahun dan turut menimbulkan risiko keselamatan kepada peniaga dan pengunjung.

"Kebakaran juga pernah berlaku, jadi pembangunan semula adalah langkah terbaik bagi memastikan pasar ini lebih selamat dan kondusif untuk semua," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2025. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; dan Presiden Perbadanan Putrajaya, TPr Fadlun Mak Ujud.



Produk kraf turut dijual kepada pengunjung dengan harga berpatutan.


Dr Zaliha berkata, projek pembangunan semula itu boleh dilaksanakan secara teratur dan berfasa-fasa, mengambil kira kepentingan aktiviti perniagaan sedia ada supaya tidak terjejas. 

"Ini adalah fokus utama Jabatan Wilayah Persekutuan tahun ini (2025) dan saya sudah meminta DBKL menyegerakan bancian bagi memuktamadkan bilangan peniaga di kawasan itu dalam tempoh dua minggu.

"Perkara itu penting bagi memastikan perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan sekali gus tidak tertangguh lagi," katanya.

Beliau memberitahu, isu legasi Pasar Datuk Keramat ialah antara usaha reformasi kepada perkhidmatan awam ini, ia bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan. 

jabatan kerajaan, katanya perlu menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi yang sentiasa berubah, ledakan teknologi digital serta keperluan rakyat yang semakin kompleks.


Tourism Melaka turut mengambil bahagian bagi mempromosi pelbagai produk pelancongan di negeri Hang Tuah itu.


"Antara aspek utama dalam reformasi ini adalah pemerkasaan budaya kerja yang lebih terbuka dan kolaboratif.

"Kita tidak boleh terperangkap lagi dalam budaya kerja silo yang menghalang perkongsian maklumat dan kecekapan operasi antara agensi. Sebab itu di Wilayah Persekutuan ini, pada 2024, saya perkenal budaya kerja HARMONI, iaitu singkatan kepada Hormat, Adil, Responsif, Mampan, Orientasi Rakyat, Nilai Empati dan Integriti.

"Dengan tekad politik, kita terus laksanakan perkara yang sepatutnya dilaksanakan sejak sekian lama. Di Wilayah Persekutuan ini, saya beri komitmen bahawa kita ada tekad politik berkenaan," katanya lagi. 

Dr Zaliha berkata, di Putrajaya, jika sebelum ini fokusnya sebagai Leading Smart City tapi mulai 2025, anjakan paradigma perlu untuk mencapai sebagai Visionary Smart City menjelang tahun 2030.

"Begitu juga di Labuan, walaupun penyumbang KDNK per kapita kedua tertinggi di Malaysia, pada 2024 kita beri tumpuan kepada infrastruktur asas tapi tahun 2025, kita beri fokus kepada sektor pelancongan sebagai alternatif kepada sektor "oil and gas" yang sedia ada. Ia memerlukan tekad politik untuk dilaksanakan," katanya.


Polis Diraja Malaysia turut membuka kaunter bagi memudahkan orang ramai membayar saman trafik dengan diskaun 50 peratus.


Sementara itu, Hari Terbuka Putrajaya 2025 adalah sebahagian Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51. Ia berlangsung selama empat hari dan objektifnya bagi membawa komitmen perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.

"Saya sasarkan kehadiran seramai 100,000 pengunjung dengan pembabitan seramai 450 vendor dan pempamer sepanjang empat hari ini. Insya-Allah, Hari Terbuka Putrajaya akan memberi impak yang besar kepada rakyat.

"Penganjuran Hari Terbuka Putrajaya pada dua tahun terakhir, menjana "return on investment" atau pulangan ekonomi yang memberangsangkan dengan kutipan keseluruhan sehingga RM15 juta.

"Ia menjadi wadah utama kerajaan untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat, kita dapat jelaskan dasar-dasar Kerajaan Madani yang dirangka untuk

kesejahteraan rakyat, terutamanya memasuki tahun ketiga pentadbiran di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," kata Dr Zaliha. - KitaReporters


Anda peminat seni khat? Jom ke Hari Terbuka Putrajaya 2025 untuk mendapatkan tawaran istimewa!


Pelajar golongan asnaf yang menerima bantuan balik sekolah bergambar bersama Dr Zaliha, Shamsul Azri, Noridah dan Fadlun sempena Hari Terbuka Putrajaya 2025.

 

19
17
0
15
3

Copy Link: