SELAMA ini penulis hanya membaca melalui media mengenai penipuan atau scam atas talian, membabitkan ramai mangsa dengan jumlah kerugian yang bukan sedikit. 

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memberi amaran dan peringatan mengenai keselamatan dalam talian (online) terhadap jenayah penipuan online ini, selain jenayah siber yang lain seperti jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta gejala membuli dalam alam maya.

Ekoran itu, amat mengejutkan apabila baru-baru ini seorang sahabat karib penulis sendiri menjadi mangsa scammer.

Walaupun kerugian sebanyak RM31,500 yang dialami sahabat penulis itu mungkin dianggap kecil berbanding mangsa lain yang pernah kerugian ratusan ribu ringgit malah ada jutaan ringgit, tapi sebagai pesara kerajaan yang pencennya sekadar mampu menampung kehidupan beliau suami isteri, kerugian itu dianggap besar!

Apatah lagi sahabat penulis itu kini sedang diuji dengan masalah kesihatan. Sejak beberapa bulan lalu, beliau hanya berkurung di rumah kerana diserang strok. 

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kejadian diperdaya scammer itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam ke atas dirinya. Kasihan!!


LAPORAN Khas akhbar Sinar Harian mendedahkan scammer mengaut jumlah wang yang besar hasil pelbagai kaedah penipuan.


Kisahnya, suatu hari sahabat penulis (yang cukup sekadar penulis namakan ‘Y’) menerima satu panggilan daripada nombor yang tak dikenali. Tanpa sebarang rasa curiga, beliau menjawab panggilan itu. Di sinilah 'sandiwara scammer' bermula. 

Ikuti kisahnya seperti diceritakan oleh ‘Y’ kepada penulis:

“Individu yang menelefon itu memperkenal dirinya sebagai pegawai dari sebuah syarikat insurans yang mana saya memang menjadi pelanggannya. Memang sudah lama saya membeli polisi insurans dengan syarikat berkenaan.

“Dia bertanya adakah saya pernah menerima rawatan di sebuah hospital swasta terkemuka di ibu negara dan saya menjawab ‘ya’. Memang saya kerap menerima rawatan di hospital berkenaan terutama untuk rawatan jantung dengan menggunakan insurans saya.

“Pemanggil itu mendakwa saya pernah membuat tuntutan palsu semasa dirawat di hospital swasta itu dan pihak syarikat insurans berkenaan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas saya.

“Bila saya menafikan, pemanggil berkenaan menasihati saya supaya membuat laporan polis bagi mengelak tindakan undang-undang diteruskan oleh syarikat insurans itu.

“Menurut pemanggil itu, saya tidak perlu ke balai polis, cukup membuat laporan secara dalam talian (online) dan dia akan menghubungkan talian dengan seorang anggota polis yang akan membantu saya membuat laporan.


GAMBAR HIASAN... mangsa ditakut-takutkan dengan dakwaan jenayah, kononnya akan ditangkap dan dipenjarakan.


“Apabila talian ‘disambung’, seorang lelaki memperkenal dirinya sebagai ‘Sarjan Zuraidi’. Apa yang memeranjatkan saya, daripada kes tuntutan insurans palsu, ‘hasil semakan’, saya didakwa pula terbabit kes pengubahan wang haram.

“Kemudian, talian ‘disambung’ pula kepada pegawai penyiasat bernama ‘Inspektor Mazlan’. Dia mendakwa, kononnya berdasarkan siasatan mereka, sebanyak RM2.2 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram sudah dimasukkan ke akaun saya dengan RM1.1 juta sudah saya keluarkan.

“Sudah tentu saya sangat terkejut dan panik dengan dakwaan itu apatah lagi bila diberitahu bahawa saya akan ditangkap dan akan didakwa di mahkamah. Pada masa itu apa yang saya fikirkan bagaimanakah keadaan diri saya dan isteri jika ditangkap.

“Talian kemudian disambung pula kepada seorang lagi pegawai penyiasat yang terus menyoal siasat dengan pelbagai soalan sambil mengugut akan memenjarakan saya jika tidak memberi kerjasama.

“Malah, dia mendakwa nyawa saya kini terancam kerana sindiket pengubahan wang haram itu juga sedang mencari saya. Dia juga memberi amaran, kononnya demi keselamatan saya, supaya tidak menceritakan hal itu kepada sesiapa termasuk kepada ahli keluarga saya sendiri. 

“Kemudian talian disambung pula kepada individu yang didakwa sebagai ‘timbalan pendakwa raya’ yang mengarahkan saya supaya mengeluarkan semua wang simpanan dan memasukkan ke satu akaun, kononnya milik ‘juruaudit Bank Negara Malaysia’ bagi tujuan pengauditan. 

“Menurutnya, wang itu akan dikembalikan jika siasatan mendapati saya tidak terlibat kes pengubahan wang haram seperti didakwa.


KERAJAAN akan kaji langkah lebih berkesan untuk menangani isu scammer, lapor akhbar Kosmo pada 8 Januari 2025.


“Memandangkan saya mengalami strok dan tidak mampu memandu, keesokannya mereka menghantar perkhidmatan teksi untuk menjemput saya ke bank bagi mengeluarkan semua wang simpanan saya berjumlah RM20,000 dan dimasukkan ke satu akaun yang mereka beri.

“Saya fikir selepas wang itu dikreditkan, saya sudah selamat tapi mereka mendakwa saya perlu membayar wang ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi mengelak saya dan isteri ditahan oleh polis.

“Apabila saya menyatakan bahawa saya sudah tidak mempunyai wang untuk membayar ikat jamin itu, mereka mengarahkan saya menggadai barang kemas milik isteri saya.

“Hasil gadaian itu saya hanya mampu mendapat RM10,000 dan terus mengkreditkan ke akaun yang diberi. Tapi, mereka terus mendesak saya memasukkan baki RM10,000 yang kononnya wang ikat jamin untuk isteri saya pula.

“Mereka memberi amaran akan memenjarakan isteri saya jika gagal membayar baki bayaran itu. Ketika itu saya benar-benar takut dan buntu kerana tidak tahu lagi mana mahu cari wang sebanyak itu.

“Saya hanya mampu sediakan RM1,500 dan terus masukkan ke akaun mereka. Terdesak dengan keadaan itu, saya mula meminta tolong dengan kawan-kawan dan saudara mara.

“Salah seorang saudara saya yang mengsyaki sesuatu, mendesak saya menceritakan apa yang berlaku dan saya akhirnya terpaksa membuka rahsia itu. Apabila dia memberitahu bahawa saya sudah kena scam, saya terduduk dan seolah-olah baru sedar daripada mimpi.

“Saya tidak pasti bagaimana saya hanya menuruti kehendak mereka tanpa dapat berfikir secara rasional. Saya seolah-olah dipukau,” ujar ‘Y’ mengakhir cerita kepada penulis.


SENIOR Asisten Komisioner Zaldino Zaludin (dua dari kiri) dari Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman menjelaskan mangsa bukan dipukau sebaliknya terperangkap dengan mainan psikologi scammer. - Gambar Sinar Harian.


Ya, memang jika kita fikir secari logik akal, bagaimana begitu mudah scammer itu memperdaya mangsa sehingga percaya bulat-bulat dan menurut saja arahan mereka.

Pukau? Mungkin. Tapi, SAC di Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zaludin berkata, mangsa bukan dipukau sebaliknya ia adalah mainan psikologi scammer.

“Ramai kata mereka seperti dipukau, tapi, sebenarnya sindiket telah mengambil alih pemikiran mereka menyebabkan mangsa terus cemas dan percaya serta ikut apa yang diperkata,” kata beliau pada program Townhall Discussion ‘Cybercrime Threat’ Peringkat Kontingen Negeri Sembilan pada September 2024 lalu.

Niat penulis mendedahkan kejadian ini bukan mahu menjatuhkan maruah sahabat penulis itu tapi lebih untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripada apa berlaku. Apa yang baik kita jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Semoga apa yang berlaku ke atas sahabat penulis menjadi peringatan kepada kita. 

Dalam dunia semakin dipenuhi kaki penipu ini, mungkin ungkapan ‘bersangka baik’ (husnuzon) perlu diganti dengan sikap ‘bersangka buruk’ sebagai langkah berhati-hati agar tidak menjadi mangsa scammer! - KitaReporters

12
15
0
12
1

Copy Link: