Bercinta dan berpisah! Kemudian bertemu dan berkahwin! Tapi akhirnya rumah tangga Affleck-Lopez retak!

Published by
KitaReporters

 


MEREKA bertunang pada tahun 2000 dan dijadualkan berkahwin. Tetapi impian pelakon dan pengarah Ben Affleck, 51, serta Jennifer Lopez, 54, tidak menjadi kenyataan. 

Kedua-duanya membatalkan perkahwinan dan berpisah tidak lama kemudian. Masing-masing membawa haluan hidup sendiri. 

Meneruskan kehidupan selepas itu, Affleck berkahwin dengan pelakon Jennifer Garner, 52, pada 2005. Garner ialah pelakon filem dan TV serta popular melalui siri TV ‘Alias’ (2001-2006).

Lopez, penyanyi dan pelakon, pula berkahwin dengan Marc Anthony, 55, seorang penyanyi dan penggubah lagu, pada 2004. Ini merupakan perkahwinan kali kedua bagi Anthony. Sebelumnya dia berkahwin dengan Dayana Torres. Selepas itu dengan Shannon De Lima dan Nadia Ferreira, isteri terkini.

Perkongsian hidup Affleck dan Garner tidak berkekalan. Mereka bercerai pada 2018. Nasib sama menimpa Lopez. Dia bercerai dengan Anthony pada 2014.


Ben Affleck dan Jennifer Lopez di saat gembira pada hari perkahwinan mereka.


Namun takdir menentukan Affleck dan Lopez kembali bertaut cinta pada 2021 dan berkahwin pada tahun berikutnya. Memang tidak diduga pasangan yang berpisah dahulu akhirnya menyimpulkan kembali hubungan dengan ikatan perkahwinan yang gagal mereka lakukan sebelumnya.

Perkahwinan ini adalah satu momen yang sukar dilupakan oleh Affleck dan Lopez. Sepatutnya rumah tangga yang dibina berkekalan apabila kasih bersemi kembali setelah masing-masing gagal dalam perkahwinan sebelumnya.

Tetapi rupanya kebahagiaan itu hanya sementara. Rumah tangga kedua-dua bintang Hollywood itu kini dikatakan retak. Masing-masing membawa haluan sendiri. Dilaporkan pasangan ini sedang menuju ke arah perceraian.


Ben Affleck dan Jennifer Lopez bertemu kembali dan berkahwin selepas lebih 20 tahun terpisah tetapi kini di ambang perceraian.

Affleck dikatakan telah membawa keluar semua barang miliknya dari rumah agam di Beverly Hills yang diduduki bersama Lopez. Pasangan tersebut juga sedang dalam proses menjual rumah agam tersebut yang bernilai AS60 juta (RM283 juta).

Pada waktu ini, Affleck tinggal bersendirian di di rumah sewa di Brentwood. Dia membawa keluar barang miliknya daripada rumah agam ketika Lopez bercuti ke Itali, tanpa menunggu isterinya pulang.

Bagaimanapun kedua-duanya dilihat bersama baru-baru ini di bangunan yang menempatkan pejabat syarikat perfileman milik Affleck, Artists Equity. Mereka juga bergambar bersama tetapi selepas itu mereka pulang berasingan.

Dalam susana hubungan yang keruh ini, Lopez akan tetap membintangi dua buah filem yang bakal dikeluarkan oleh syarikat milik Affleck dan Matt Demon. Aspek peribadi diketepikan, tidak harus dibiar mengganggu kerjaya professional.



Kisah keretakan rumah tangga Affleck dan Lopez kini menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan industri serta para peminat. Mereka begitu ingin tahu apa sebenarnya terjadi sehingga hubungan kedua-dua pelakon tersebut menuju kehancuran.

Affleck atau Lopez sendiri belum memberi maklum balas status hubungan serta kedudukan sebenar rumah tangga mereka. Adakah memang benar sedang retak menanti belah dan masing-masing bakal kembali membawa haluan berbeza? - KitaReporters 

 

 

11
12
0
15
0

Copy Link: