Kena baca ni! Undang Abdullah Singa Jelebu! Tubuh tak lut dek senjata! Penjajah Inggeris kecut perut!
Published byBUKU Undang Abdullah, Singa Jelebu memperinci kehebatan Dato' Abdullah sehingga digeruni penjajah Inggeris.
KISAH kepahlawanan Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Dato’ Maharajalela dan beberapa orang pahlawan Melayu memang acap kali didendangkan dalam pelbagai bentuk sama ada buku, drama mahupun filem.
Filem ‘Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan’
contohnya menjadi fenomena apabila mencipta rekod sebagai filem Melayu paling
laris dengan mencatat kutipan sebanyak RM97 juta. Malah, ia berjaya
membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak muda.
Namun, di sebalik nama semua pahlawan terbilang itu, tidak ramai yang mengenali Dato’ Abdullah bin Dato’ Penglima Muda Luk. Walaupun beliau tidak pernah didendang selayaknya namun kehebatan lelaki ini tidak boleh dinafikan sehinggakan penjajah Inggeris kecut perut serta tidak berani ‘angkat muka’ bila berhadapan dengan beliau.
Malah, pihak Inggerislah yang memberi gelaran ‘Lion Of Jelebu’ (Singa Jelebu) kepada Abdullah kerana terlalu mengagumi kehebatan pahlawan itu. Ia ekoran beberapa insiden yang berlaku di depan mata mereka sendiri.
Siapakah Dato’ Abdullah dan bagaimana beliau mendapat gelaran Singa Jelebu?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pahlawan-pahlawan
DATO' Abdullah merupakan Undang Luak Jelebu ke-12 selama 43 tahun bermula 1902 hingga 1945.
Beliau sebenarnya adalah Undang Luak Jelebu ke-12 yang memerintah daerah itu selama 43 tahun, bermula tahun 1902 hingga akhir hayatnya pada usia 76 tahun pada 1945.
Sepanjang pentadbirannya, beliau bernaung di bawah dua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhammad Shah (1888-1933) dan Tuanku Abdul Rahman (1933-1957).
Abdullah digambarkan seorang yang bertubuh kecil dengan ketinggian hanya 5 kaki 3 inci namun misainya yang panjang melintang menyerlahkan ketrampilan beliau sebagai seorang pahlawan.
Beliau yang dilahirkan di Mukim Paradong, asalnya hanya seorang pekebun sayur serta pencari rotan dan damar, justeru pelantikannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-12 pada 15 Februari 1902 iaitu selepas kematian Undang Luak Jelebu ke-11, Dato’ Syed Ali sesuatu yang tidak pernah dijangka.
Malah, Abdullah dikatakan hanya menghadiri acara pelantikan itu secara kebetulan ketika baru pulang dari kebun. Beliau langsung tidak menjangka namanya dicalonkan oleh datuk-datuk Lembaga dan seterusnya dilantik sebagai Undang Luak Jelebu ke-12 pada usia 33 tahun.
Namun, diceritakan, Dato’ Syed Ali pernah memberi
bayangan bahawa Abdullah bakal menjadi penggantinya. Pada suatu hari ketika
melalui di kebun lelaki itu, Syed Ali berhenti, lalu menegur Abdullah: “Udahlah,
buat apa menyangkul lagi Dollah, kau nanti kan jadi Dato’ Undang Jelebu ganti
aku.”
Abdullah berhenti menyangkul. Beliau hanya menyambut teguran Syed Ali itu dengan senyuman, tidak menghiraukan kata-kata Undang Luak ke-11 itu walaupun disebut berulang kali. Bagi Abdullah itu hanya gurauan.
Abdullah berjaya mengangkat sebuah meriam lama seberat 15 pikul seorang diri selepas usaha mengangkatnya beramai-ramai gagal.
Bagaimanapun bagi orang-orang tua pada zaman itu, mereka menganggap setiap perkataan dari mulut Undang mengandungi daulat sebagaimana daulat seorang raja. Bermaksud, bila Dato’ Undang sudah menyebut nama seseorang sebagai bakal penggantinya, selalunya ia menjadi kenyataan. Waulahu’alam.
Begitupun pelantikan itu tidak mendapat bantahan malah penduduk Jelebu menerima dengan tangan terbuka kerana mereka sangat mengenali sifat Abdullah yang warak, merendah diri, berbudi bahasa tapi tegas.
Malah, mereka cukup tahu anak muda itu bukan calang-calang orang, cuma beliau lebih mengambil sifat menyimpan kuku dan tidak menunjukkan belangnya. Bagi Abdullah, kehebatan yang dimiliki bukan untuk dipertonton sebaliknya hanya akan digunakan bila diperlukan.
Dalam satu peristiwa kira-kira setahun pemerintahannya, Abdullah menggemparkan penduduk kampung apabila beliau berjaya mengangkat sebuah meriam lama seberat 15 pikul seorang diri selepas usaha mengangkatnya beramai-ramai gagal.
Meriam itu ditemui ketika kerja-kerja pembersihan hutan untuk membina Balai Polis Titi, kemudian dipikul oleh Abdullah lalu dipindahkan ke sebuah kawasan bukit dikenali sebagai Bukit Petai.
RUMAH kedua Dato' Abdullah di Kenaboi dibina khas untuk menyambut keberangkatan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Ibni Al Marhum Tuanku Muhammad. - Kredit foto: Yati Rahim
Beberapa kejadian ‘pelik tapi benar’ yang membabitkan Abdullah selepas itu membuktikan beliau bukan calang-calang orang. Hal ini didedahkan oleh anak sulungnya yang dikenali sebagai Tok Sharif dalam sebuah buku.
Menurut Tok Sharif, pada 1923, ketika kerja-kerja penebangan balak dilakukan, sepohon balak sebesar lima pemeluk telah menghempap Abdullah, tapi anehnya, ia tidak sedikitpun mencalarkan tubuh ayahnya.
Dalam satu peristiwa lain, pada 1935, seorang pengurus
estet berbangsa Inggeris yang dalam perjalanan dari Seremban ke Jelebu
mengalami kemalangan apabila kereta ditumpanginya terbabas ke dalam gaung.
Tapi, kereta itu tiba-tiba terhenti di tengah gaung dan tidak menjunam ke
dasar, seolah-olah ada kuasa yang menariknya.
Apabila kereta itu berjaya ditarik ke tebing, pengurus estet berbangsa Inggeris itu sangat terkejut melihat yang menarik keretanya dari gaung adalah Abdullah sehingga koyak kasut yang dipakainya.
Begitulah sifat Abdullah, beliau akan menolong sesiapa sahaja walaupun pada hakikatnya, sebagaimana pahlawan Melayu lain, beliau seorang antipenjajah dan akan menentang mereka jika penjajah menindas rakyat Tanah Melayu.
Abdullah mengambil pistol dan menembak lengannya sendiri sebanyak tiga das tapi tidak luka, sebaliknya hanya calar dan mengeluarkan asap!
YATI Rahim bangga dapat menghasilkan buka yang menceritakan susur galur serta perjuangan moyangnya, Dato' Abdullah yang merupakan Undang Luak Jelebu ke-12.
"Kalau begitu awak saja ikat tali kasut kawan!" Caldecott tergamam dan terketar-ketar, tanpa berlengah terus tunduk mengikat tali kasut Abdullah.
Malah, menjadi kepantangan beliau apabila penjajah cuba mencabar, memperkotak-katik atau memperlekeh orang Melayu. Ia dapat dilihat dalam satu insiden membabitkan seorang pegawai polis berbangsa Inggeris yang dikatakan mempersenda ilmu kebatinan orang Melayu.
Abdullah terus bersemuka dengan pegawai polis Inggeris itu, lalu mengambil pistol polis berkenaan dan menembak lengannya sendiri sebanyak tiga das. Apa yang memeranjatkan pegawai polis berkenaan dan orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu, lengan Abdullah yang terkena tembakan itu tidak luka, sebaliknya hanya calar dan mengeluarkan asap!
Beliau juga cukup pantang jika ditegur oleh orang Inggeris. Dalam satu mesyuarat di kediaman Pegawai Daerah Jelebu, Sir Andrew Caldecott, Pegawai Kanan Bristish, telah menegur Abdullah apabila tali kasutnya tidak diikat dengan betul.
Teguran itu mencetuskan keberangan Abdullah, lalu menyergah Caldecott: “Kalau begitu, awak saja ikat tali kasut kawan!”
Caldecott tergamam dan terketar-ketar, tanpa berlengah terus tunduk mengikat tali kasut Abdullah. Semua orang yang pada majlis itu tidak berani membuka mulut untuk menegur perbuatan Abdullah ke atas pegawai Inggeris berkenaan.
Sejak peristiwa itu, pegawai Inggeris tidak berani mengangkat muka dengan Abdullah apatah lagi hendak menegurnya. Sebaliknya mereka sangat menghormati lelaki bersosok kecil itu malah memberi gelaran ‘Lion of Jelebu’ kepadanya.
ANTARA peninggalan Dato' Abdullah adalah sebuah perigi yang dikenali sebagai Perigi Undang. - Kredit foto: Yati Rahim
Sebenarnya, banyak lagi sisi lain Abdullah yang bergelar Dato’ Mendika Menteri Akhir Zaman, Undang Luak Jelebu ke-12 yang boleh anda ketahui melalui buku ‘Nostalgia Undang Abdullah, Singa Jelebu’ yang ditulis oleh Yati Rahim.
Agak menarik, Yati atau nama sebenarnya, Norhayati Rahim merupakan cicit kepada Dato’ Abdullah, yang lahir dari generasi isteri keduanya, Jinab binti Saudagar Naam. Selain Jinab, tiga lagi isteri beliau adalah Tok Puan Timah binti Taamin, Dato’ Laksamana Boghdad binti Dato’ Menteri Kassim dan Batiah binti Maaris.
Bagi Yati, selain bertujuan membukukan sejarah Dato’ Abdullah sebagai Undang Luak Jelebu ke-12 untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang, ia juga menjadi bahan rujukan kepada keturunan pahlawan Melayu itu malah secara tidak langsung mereka dapat mengenali antara satu sama lain melalui sulur galur yang dimuatkan dalam buku berkenaan.
“Melalui usaha menerbitkan buku ini, saya sendiri secara tidak langsung dapat menjejak kaum kerabat keluarga moyang saya malah mereka sangat memberi kerjasama dalam membantu saya mengumpul bahan-bahan sehingga ia dapat diterbitkan pada Februari, 2022 lalu ,” ujar Yati. - KitaReporters