Turun padang! 20 pegawai kerja sosial hospital santuni warga emas! Sempena Hari Kerja Sosial Sedunia!
Published bySebahagian pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan bersiap sedia untuk memulakan aktiviti gotong-royong.
DUA puluh pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) turun padang daripada hakiki tugas biasa dalam pejabat ke program komuniti di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, pada 15 Mac 2023.
Walaupun sesetengah pegawai terbabit agak kekok tetapi manfaat daripada program itu kepada mereka amat bernilai dalam mempraktikan selok-belok menyantuni warga emas yang memerlukan perhatian serta terlalu sensitif dan beremosi.
Ketua Bidang Negeri Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Negeri Sembilan, Norizawati Zainol, berkata pembabitan mereka dalam program itu juga bersempena Hari Kerja Sosial Sedunia yang disambut setiap tahun, antara lain sebagai menghargai sumbangan dan jasa mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan
Mohiadin Bahado dan Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial (duduk kiri) merakam kenangan bersama-sama warga emas, pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor pada 15 Mac 2023.
Menurutnya,
kesinambungan daripada melakukan kerja sosial di hospital pegawai terbabit
dibawa keluar dengan mengunjungi pusat jagaan seperti PJNH untuk turut berasa pengalaman
petugas yang setiap hari sabar menyantuni warga emas dengan pelbagai karenah.
Tambah
beliau, pendedahan sebegini amat penting dipelajari dalam mengenali sifat serta
kelakuan warga emas yang tiada waris, disisih keluarga serta menghadapi
bermacam-macam tekanan perasaan dan perlu ditangani dengan baik.
“Di samping bergotong-royong melakukan kerja pembersihan dan sebagainya itu, kesempatan mendampingi warga emas dengan bertanya khabar serta melayani luahan perasaan mereka akan membawa kelegaan kepada penghuni ini.
“Daripada ini pegawai terbabit juga berpeluang membuat penilaian dari segi teori dan pratikal berdasarkan pengetahuan serta pengalaman yang sudah dimiliki untuk menghasilkan suatu perkhidmatan terbaik sebagai pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan kerana mereka sentiasa mendampingi masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia, Pegawai Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Negeri Sembilan (PKSP N9) anjuran PKSP N9 dengan Kerjasama Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di PJNH.
Dr Mohd Syazmin Zuwairy, Mohiadin dan Norizawati Zainol menagihkan cenderahati kepada warga emas.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 2, HTJS, Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial. Turut hadir Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Insan, Mohd Syafiq Mohiadin; Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris), Kedah, Azmi Mat Napiah; dan Pegawai Media Pewaris, Azhar Mohd.
Pada
program berkenaan yang juga bersempena menyambut Ramadan, Pewaris menyumbangkan
100 pek beras pulut untuk diagihkan kepada tiga pusat jagaan iaitu PJNH,
Mahmudah Malaysia dan Insan manakala pegawai kerja sosial melakukan tugasan
gotong-royong menukar cadar baharu tilam warga emas, membersih surau dan
persekitaraan PJHN.
Ceramah motivasi ringkas oleh Ustaz Huzaifah Jalal Asnawi dari Hospital Kuala Pilah turut diadakan dan program berkenaan diakhiri dengan sesi beramah mesra serta berkaraoke bersama-sama warga emas.
Sebagai tanda terima kasih, Dr Mohd Syazmi Zuwairy dan Norizawati menanam dua pokok di halaman mini kebun PJNH.
Mohiadin (duduk) menerangkan sesuatu kepada Dr Mohd Syazmi Zuwairy, Norizawati dan Azmi Mat Napiah (kiri).
Ketika berucap merasmikan program itu, Dr Mohd Syazmi menasihatkan warga emas supaya jangan terlalu melayani emosi apabila berasa amat sedih disisih ahli keluarga atau tiada waris sebagai tempat mengadu serta menumpang kasih.
Menurutnya,
dalam usia yang lanjut dan menghidap pelbagai penyakit seharusnya tetap ceria
serta bersemangat kerana petugas PJNH sentiasa menyantuni mereka dengan baik
ibarat anak melayani seorang ayah sebagai satu ibadah kerana Allah.
“Kita pertingkat amalan harian kerana PJNH menyediakan ustaz yang bersedia memberi bimbingan di samping berdoa bagi kesejahteraan ahli keluarga serta anak semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk datang menziarah,” ujarnya.
Dr Mohd Syazmi Zuwairy menanam pokok sebagai tanda terima kasih kepada PJNH.
Sementara itu Mohiadin berkata, sebagai pusat jagaan tidak berbayar PJNH sentiasa mengharapkan sumbangan dan infak orang ramai termasuk organisasi korporat bagi menampung kos operasi yang mencecah RM30,000 sebulan.
Sehubungan itu, tambahnya, PJNH mengalu-alukan pelbagai pihak untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan di samping menghulurkan sumbangan termasuk barangan makanan asas serta sejuk beku untuk dinikmati warga emas.
“Walaupun
dibebani bermacam-macam masalah termasuk kewangan, warga emas ini kami tidak
abaikan malah diberi keutamaan termasuk menguruskan rawatan susulan mereka di
pusat kesihatan berdekatan dengan mematuhi janji temu ditetapkan.
“PJNH
menerima sumbangan peruntukan dari Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat
untuk setahun, bagaimanapun jumlah ini tidak mencukupi kerana hanya mampu untuk
perbelanjaan sebulan sahaja menyebabkan saya terpaksa mencari sendiri sumber
kewangan,” ujarnya.
Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di pusat jagaan itu boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002 260491. - KitaReporters
Mohiadin menerima sumbangan yang disampaikan Dr Mohd Syazmi Zuwairy sambil diperhatikan oleh Norizawati.
Mohiadin, Dr Mohd Syazmi Zuwairy dan Norizawati (duduk) merakamkan kenangan bersama-sama pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja HTJS, petugas PJNH serta sukarelawan.