Tarikh 25 Ogos setiap tahun adalah hari istimewa untuk wanita Malaysia. Bertahun-tahun sambutan Hari Wanita Kebangsaan diadakan secara besar-besaran. Namun kebelakangan ini tiada lagi perhimpunan meraikan peranan wanita Malaysia. 

Sedangkan Sambutan Hari Wanita Sedunia disambut meriah pada 3 Mac setiap tahun termasuk pada tahun ini dengan tema Kasih Wanita. Adakah ia telah disatukan atau memang Hari Wanita Sedunia diangkat sebagai sambutan Hari Wanita Kebangsaan juga? 
Saya tidak ada jawapannya. 

Usaha mencari sejarah Hari Wanita Kebangsaan juga gagal. Mungkin sudah terpadam. Seingat saya ia bermula dari Pergerakan Wanita UMNO, kemudian Unit Hawa (Hal Ehwal Wanita) sehingga wujudnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

Apapun sebagai bekas orang media yang terdedah dengan pelbagai acara setiap kali sambutan hari wanita sesungguhnya saya amat sedih. 
Betapa sepinya hari ini. Tiada ucapan dari pemimpin untuk wanita Malaysia. Atau saya yang terlepas pandang? Namun saya tetap ingat tarikh keramat  25 Ogos hari istimewa untuk kita sebagai wanita. 


Walau tanpa ucapan dan perhimpunan ia tetap diraikan. Kita reward diri sendiri dengan cara kita. 
Sesungguhnya fitrah wanita sangat unik. Indahnya ciptaan Allah. Wanita atau perempuan insan istimewa di sisi Allah dan amanah terindah daripada Allah untuk kaum lelaki. Juga kepada agama, bangsa dan negara. 
Peranan wanita tidak boleh dinafikan. Menjadi tulang belakang kepada pembangunan keluarga dan negara juga telah dibuktikan. Pelbagai tugas dan kerja wanita buat. Dari darat, udara, laut malah ke gunung turut diredah. Hebatkan kita! 
Dalam rumah tangga juga wanita hebat dan dikagumi. Hadirnya kita dalam hidup lelaki bukan setakat menjadi penyeri dan teman hidup dalam satu hubungan yang sah tetapi juga untuk saling lengkap melengkapi.
Ramai juga yang pendek jodoh dan hidup sendirian dengan anak-anak. Mereka boleh berdikari walau ada sesetengahnya tidak dipedulikan oleh bekas suami yang mengabaikan nafkah anak-anak. Biarpun hati menangis, bibir tetap tersenyum meneruskan kehidupan membahagiakan anak-anak.
Yang berjaya juga ramai, tak terhitung jumlahnya. Yang terus sendirian pun ramai kerana tidak mahu terikat dengan komitmen rumah tangga tetapi lebih suka bersahabat dengan kerjaya.


Apapun syabas dan tahniah kepada semua wanita Malaysia. Kalian hebat. Kita sebenarnya unik. Versatil, dinamik dan positif. Kita sangat tabah dan kuat. Tak pernah patah semangat.
Susah diredah, senang dikongsi...
Yang sedih ketepikan...
Yang bahagia kita kejar...
Yang lepas usah dikenang...
Zaman merintih diceruk dapur sudah berlalu. Sekarang zaman mengejar kejayaan hidup dunia akhirat. Dunia dicari, akhirat tak dilupa. Cukup bekalan, cukup iman, doa yang tak putus, jaminan kehidupan akan bertambah bahagia dan berjaya.
Wanita atau perempuan, insan hebat. Apa sahaja rintangan pasti diredah. Tak takut kalah atau gagal. Kerana hati wanita hanya wanita yang tahu.
Tiada sambutan pun tidak apa. Tidak mencalar hati kita. Sebab Allah tahu siapa kita, fitrah kita kerana Dia yang menciptanya. 

Jom kita teruskan langkah. Kita terus menggoncang dunia. Menggegar seluruh alam maya. Dengan kudrat dan usaha.Tanpa lalai dan leka, sujud kepada Yang Esa. Mencari reda dan petunjuk. Jalan untuk ke syurga!

Wanita hebat tidak putus berharap. Jatuh bangun, berjalan dan berlari. Pemangkin semangat untuk kesinambungan hidup sebagai ibu  isteri dan anak. 
SELAMAT HARI WANITA KEBANGSAAN 2023. - KitaReporters


7
13
0
15
0

Copy Link: