Sembang-Sembang| Lepas sarung cincin, mentua paling muka! Akhirnya kami bercerai! Tiada restu! - Nuri

Published by
KitaReporters


Benarlah jodoh, maut dan pertemuan itu kerja Allah. Kita sebagai hamba-Nya hanya perlu reda dan terus berdoa semoga dipermudah urusan hidup dunia dan akhirat. 

Namun sebagai manusia kita diberi akal untuk berfikir dan memilih yang terbaik dalam menentukan hala tuju hidup. 
Ibarat pepatah jika baik yang dipilih akan baik jadinya begitu juga jika sebaliknya. Semua pada tangan dan hati kita. 
Demikian sedikit mukadimah untuk Sembang-Sembang kali ini. Sedikit kelainan dalam tulisan saya minggu ini untuk renungan dan iktibar kita bersama. 
Kisah kiriman seorang hamba Allah yang hanya mahu dikenali sebagai Nuri seorang janda anak 3 yang berpisah hidup dengan suami gara-gara tidak disukai mentua. 
Kepada saya, Nuri meluah rasa kerana tahu saya pernah menulis dalam ruangan rumah tangga yang juga Sembang-Sembang semasa di Utusan Malaysia dahulu. 
Saya catatkan luahan hati Nuri untuk anda semua. 


"Saya seorang ibu tunggal. Bukan membangga diri tapi saya tergolong cantik. Alhamdulillah famili dan anak-anak merestui perhubungan saya dengan lelaki bernama Hakim (bukan nama sebenar). 
"Majlis pertunangan ringkas diadakan kerana bakal suami anak teruna. Hanya keluarga terdekat yang hadir. 
"Yang peliknya kenapa selepas cincin bertunang disarungkan pada jari manis saya, bakal mentua berpaling muka dan cepat-cepat menarik tangannya sebelum sempat saya menciumnya. 
"Saya tidak kisah selepas kejadian itu kerana mungkin dia malu sebab saya ibu tunggal ada anak 3 orang sedangkan anaknya masih muda. 
"Selepas bernikah baharu saya faham. Rupanya mentua sudah ada calon untuk suami saya. Anak rakan baiknya. Seorang gadis terpelajar yang berjawatan tinggi. 
"Keadaan  menjadi rumit setelah kami bernikah. Hubungan dengan mentua dan ipar duai semakin runcing. Saya dipulau. 
Anak anak tidak diterima sebagai cucu. 
"Saya cuba sedaya upaya menjadi menantu yang baik. Ipar yang sabar dan penyayang tapi keadaan tidak memihak kepada saya. 
"Sikap suami yang memihak kepada ibu dan familinya meruntun hati dan perasaan saya. Setelah setahun hidup bersama saya memilih untuk berundur. 
"Dari terus disakiti saya ambil jalan terbaik. Berundur dan minta cerai. Suami tidak membantah. Keputusan saya mendapat sokongan famili dan anak anak. Inilah Jalan terbaik untuk kehidupan saya dan anak-anak seterusnya.
''Lalu teringat saya akan peristiwa yang terjadi pada majlis bertunang tempoh hari… Semua yang dibuat pada hari itu tidak menjadi. 
"Sepatutnya saya sudah boleh baca apa akan jadi dengan perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa dan keluarga lelaki. 
"Dan sekarang saya sedar perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa tidak akan berhasil dan bahagia. Akhirnya akan bercerai," demikian Nuri menutup ceritanya. 


Membaca kisah Nuri menyedarkan saya bagaimana wanita perlu berfikir dengan matang sebelum mengambil keputusan bernikah dengan pilihan mereka. Tidak kira suami orang, duda atau teruna. 
Soal hati bukan perkara mudah. Soal penerimaan ibu bapa juga sulit dan perlu diberi perhatian serius oleh pasangan. 
Memang betul bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi, namun jika irama yang berbunyi daripada tepukan berdua juga sumbang ia tentunya tidak enak didengar. 
Saya puji tindakan Nuri. Wanita bijak biasanya tidak memerlukan masa yang lama untuk membuat keputusan. 
Semoga Nuri terus kuat dan tabah meneruskan kehidupan. Jatuh bangun dalam hidup lumrah. Jalan terus dan jangan menoleh lagi ke belakang jika kenangannya pahit. 
Kita mara ke hadapan untuk yang manis-manis ya! 
17
11
0
12
0

Copy Link: