Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya datang lagi! 11,500 pek diagihkan! 300 bergotong royong! Syabas PPj!
Published byBUBUR lambuk atau lambut merupakan sejenis hidangan yang amat sedap dimakan pada bulan puasa selain kurma. Ia biasanya dimasak secara bergotong-royong di masjid atau surau untuk diagih-agihkan kepada jemaah sebagai hidangan berbuka puasa.
Setiap negeri ada pelbagai versi bubur lambuk, contoh di Terengganu, ramuannya kadangkala dimasukkan keropok keping mentah dan budu bagi menambah perisa, selain ubi keledek, dan udang kering.
Bubur Lambuk berbeza dengan bubur nasi biasa kerana ia mempunyai rasa rempah dan isinya lebih sedap.
Sebahagian peserta menyiapkan bahan mentah untuk dijadikan menu istimewa bubur lambuk.
Sejarah bubur lambuk dikatakan wujud sejak abad ke-15 ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila Parameswara atau nama Islamnya Sultan Iskandar Shah menerima kunjungan Maharaja Hun Jen dari Kemboja yang membuat permintaan kepada baginda bagi menyediakan hidangan mudah tapi sedap untuk dimakan.
Ada pula yang mendakwa bubur lambuk dibawa ke Kampung Baru, Kuala Lumpur dan sukatan rempah ratus yang digunakan untuk membuat hidangan berkenaan ditulis seorang individu bernama Said Bank sekitar tahun 1950-an.
Berikutan populariti makanan itu terutama ketika Ramadan, Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya 2025, acara tahunan sempena Ramadan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
Fadlun Mak Ujud (kanan) turut bergotong royong bersama peserta dari Bahagian Komunikasi Korporat PPj dan Kelab Media Putrajaya.
Aksi ceria peserta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Putrajaya yang turut mengambil bahagian di Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya 2025.
Program yang bermula jam 8 pagi itu diketuai Cef Roslan Ab Rahman iaitu pemenang Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2023 Kategori Hotel & Restaurant Anjuran Menara Kuala Lumpur.
"Sebanyak 23 periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong selama dua jam yang membabitkan 300 peserta di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.
Peserta bersiap sedia memasukkan bubur lambuk yang siap dimasak dalam bekas untuk diagihkan kepada komuniti setempat, surau dan masjid, anggota keselamatan dan hospital.
"Hasilnya, 11,500 pek bubur lambuk diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau di Putrajaya, anggota keselamatan dan pertahanan serta Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara (IKN).
"Ia adalah program tahunan bertujuan memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan ukhuwah antara agensi terutama JWP PPj bersama-sama komuniti setempat," kata Presiden PPj Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.
Kreativiti Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Putrajaya (MPPWP) Subzon 6 yang menghasilkan corak SZ6 dari bawang goreng dan daun bawang.
Beliau gembira dengan sambutan komuniti daripada pelbagai zon di Putrajaya yang hadir untuk bergotong royong memasak dan mengagih-agihkan bubur lambuk ini bagi memeriahkan bulan yang mulia ini.
"Program berkenaan akan diteruskan pada tahun depan (2026) dengan membuat lebih banyak penambahbaikan," katanya.
Terdahulu, program bubur lambuk itu turut diserikan dengan Jualan Rahmah Madani anjuran MPPWP. - KitaReporters
Sebahagian daripada 300 peserta yang bergotong-royong menjayakan Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.