Bangunan Laman Changkat Jering, di pekan Changkat Jering, Bukit Gantang nampaknya masih terus terbiar sejak 10 tahun lalu.

Hal ini menimbulkan kebimbangan bahawa projek tersebut menjadi gajah putih. Ini mengakibatkan berlakunya pembaziran jika bangunan yang mempunyai lot kedai dan lot gerai masih tidak digunakan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, beberapa lot kedai di bahagian belakang bangunan berkenaan didapati ada yang beroperasi, Namun bangunan tersebut secara keseluruhan masih terabai.

Projek tersebut pada mulanya dibangunkan untuk memindahkan peniaga di pasar minggu Changkat Jering yang berhampiran jalan raya, namun sehingga ke hari ini, mereka masih tidak dipindahkan ke Laman Changkat Jering.



Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir ketika ditemui berkata, pihaknya mencadangkan bangunan Laman Changkat Jering itu diswastakan dan dicadangkan dijadikan sebuah dewan serba guna atau auditorium.

Katanya, dengan pembukaan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) dan pertambahan kenderaan, ini akan memberikan peluang kepada peniaga bagi meningkatkan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan.

“Oleh kerana terbiar, ia telah menyebabkan berlakunya beberapa kerosakan di bangunan tersebut yang tidak dapat digunakan,” katanya.

Khairul Amir berkata, MPT juga dalam perbincangan untuk mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi projek pengurusan bangunan berkenaan. - KitaReporters


9
11
0
13
0

Copy Link: