Masjid Tuminah Hamidi gah 'terapung' di bibir Sungai Perak, Bagan Datuk, dan menjadi kebanggaan penduduk Daerah Bagan Datuk dan tumpuan pelancong luar. 


Satu sisi Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, menampakkan keindahan masjid yang dibina di atas Sungai Perak.


‘TERAPUNG’ gagah di bibir Sungai Perak di pekan Bagan Datuk, Masjid Tuminah Hamidi tersergam indah menjadi kebanggaan penduduk daerah Bagan Datuk.

Pada Isnin 10 Mac 2025 lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat merasmikan masjid terapung itu dalam suasana meriah dan penuh kesyukuran sempena bulan Ramadan mulia.

Ini merupakan detik bermakna kerana masjid yang siap dan digunakan sepenuhnya sejak tahun 2023 selamat dirasmikan. Ia adalah mercu tanda kebanggan Bagan Datuk dan tarikan pelancongan.


Sultan Nazrin berangkat tiba ke majlis perasmian Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk pada 10 Mac 2025. Di sebelah kiri baginda, Ahmad Zahid Hamidi. 


Sultan Nazrin berkenan menanam pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian Masjid Tuimnah Hamidi. Di kanan baginda, Ahmad Zahid dan Saarani Mohamad.


Sebagai simbolik perasmian, baginda berkenan menanam pokok bunga tanjung atau Mimusopselengi dan menandatangani plak perasmian. Baginda juga berkenan melawat pameran yang diadakan sempena perasmian.

Baginda kemudian berkenan berbuka puasa dengan 2,500 jemputan serta menunaikan solat fardu maghrib, dan selepas itu ke majlis santapan. Seterusnya baginda solat isyak berjemaah yang diikuti solat sunat tarawih dan moreh.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.


Sultan Nazrin berkenan melihat pameran yang diadakan sempena perasmian Masjid Tuminah Hamidi.


Masjid Tuminah Hamidi dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid, iaitu Allahyarham Tuminah Abdul Jalil dan Allahyarham Radin Hamidi Abdul Fatah. Pembinannya dibiayai dana Yayasan Al-Falah dan membabitkan kos RM53 juta.

Menurut Ahmad Zahid, masjid berkenaan sangat dekat di hatinya kerana ia merupakan dedikasi serta tanda ingatan kepada arwah kedua-dua ibu bapanya.

Pada majlis itu, beliau turut memberi sumbangan duit raya kepada 300 pelajar tahiz dan anak yatim, melambangkan semangat kemurahan dan keprihatinan masyarakat.

Masjid Tuminah Hamidi yang berkeluasan 8,870 meter persegi, mula dibina pada 2017 dan siap pada 2023. Ia boleh menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa.


Dewan solat utama  Masjid Tuminah Hamidi luas selesa, dan diserikan dengan ukiran khat serta hiasan dalaman cantik menarik.


Selain dewan solat utama, masjid turut dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya dataran terbuka, dewan serba guna, bilik pameran dan bilik persidangan serta ruang parkir yang luas untuk keperluan jemaah.

Kedudukan masjid bersebelahan Dataran Bagan Datuk, tempat warga tempatan bersantai dan berekreasi. Di dataran ini juga ialah jeti Bagan Datuk, yang beberapa dekad lalu merupakan laluan penting turun naik bot termasuk ke Sitiawan. Kini jadi tempat orang ramai memancing.

Hampir kesemua bahagian Masjid Tuminah Hamidi berdiri dalam Sungai Perak, kecuali bahagian hadapan dan pintu masuk yang menghadap jalan.

Kerana itu ia juga dikenali sebagai masjid terapung Bagan Datuk, dan merupakan masjid terapung keempat di negeri Perak. Masjid-masjid lain ialah Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas di Tronoh; Masjid A-Badr di Pulau Pangkor dan Masjid Kampung Telaga Nenas di Ayer Tawar.

Kini Masjaid Tuminah Hamidi bukan sahaja tempat beribadat terbesar di Bagan Datuk tetapi juga tumpuan pelancong luar. Mereka ingin menyaksikan sendiri kehebatan masjid ini dan keindahan seni reka di dalamnya. 

Jika berkelapangan datanglah melawat dan bersolat serta beriktikaf. - KitaReporters


Sebahagian jemputan yang hadir pada majlis perasmian Masjid Tuminah Hamidi serta majlis berbuka puasa.


Antara jemputan wanita pada perasmian Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, dan majlis berbuka puasa.

8
14
0
13
0

Copy Link: