Sebahagian jemaah Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, memenuhi meja sementara menunggu waktu berbuka puasa.


MEMBERI makan kepada orang berpuasa pada bulan Ramadan besar ganjarannya di sisi Allah. Kerana itu banyak masjid dan surau, pertubuhan atau persatuan berbuat demikian setiap kali Ramadan.

Atas kesedaran ini, Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak dan Persatuan Penduduk Danau Kota (PPDK) masing-masing tidak ketinggalan mengadakan program berbuka puasa dan sahur untuk jemaah surau serta membuat bubur lambuk untuk diagih kepada penduduk.

Sepanjang Ramadan, pihak surau mengadakan majlis berbuka dan bersahur di surau dengan anggaran penyediaan 200 pek makanan setiap hari. Sambutan daripada para jemaah sangat menggalakkan sejak hari pertama berpuasa.


Jemaah Surau Al-Falah Danau Kota, ramai daripadanya warga asing, duduk bersila dan sabar menunggu tibanya waktu berbuka puasa.


Menariknya, surau Al-Falah bagai ‘surau antarabangsa’ lantaran ramai jemaah luar negara mengunjungi surau ini untuk solat fardu dan solat Jumaat, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi waktu lain juga. Surau Al-Falah ialah surau Jumaat.

Kebanyakan warga asing ini tinggal di perumahan sekitar kawasan surau. Mereka sama ada pelajar atau bekerja di negara ini. Dalam kalangan mereka ada dari Sudan, Somalia, Iran, Palestin, Bangladesh, China dan negara Arab.

Saban hari kerusi meja yang disediakan dipenuhi jemaah, selainnya duduk di atas lantai. Terdapat juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Balai Polis Danau Kota turut berbuka.

Juadah berbuka setiap hari merangkumi nasi, kurma, air dan kuih. Untuk sepanjang Ramadan tiga pembekal dilantik, dengan setiap pembekal masing-masing membekal juadah berbuka untuk tempuh 10 hari. Begitu juga dengan bersahur.


Menyediakan air minuman untuk jemaah yang berbuka puasa di Surau Al-Falah, Danau Kota. Kelihatan juga bungkusan makanan untuk diagih kepada jemaah.


Perbelanjaan bagi membiaya program berbuka puasa dan bersahur ini ialah hasil sumbangan daripada jemaah melalui tabung Ramadan yang disediakan sebelum puasa bermula.

Selain itu pihak luar juga ada memberi sumbangan dan tajaan, misalnya bank. Alhamdulillah kutipan yang diperoleh cukup untuk membiayai keperluan perbelanjaan berbuka dan bersahur. 

Pihak surau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap daripada mereka yang menghulurkan derma dan bantuan untuk memastikan usaha murni menjamu jemaah dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya.


Petugas menyiapkan pek bubur lambuk untuk diagih kepada penduduk Danau Kota. Sebanyak 200 pek disediakan pada setiap hari kecuali Jumaat, Sabtu dan Ahad, yang mana kru bubur lambuk berehat.


Sementara itu, program memasak bubur lambuk merupakan tradisi tahunan Persatuan Penduduk Danau Kota. Ia telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, yang dikendalikan oleh dua tukang masak, Jamal dan Ramly, dengan kerjasama para penduduk. 

Operasi memasak bubur lambuk diadakan di kabin taman, dalam kawasan taman permainan kanak-kanak. Sejumlah 200 pek bubur lambuk diagih kepada penduduk sehari, kecuali hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada hari-hari tersebut kru bubu lambuk berehat.

Kerjasama dan semangat kejiranan penduduk terserlah dalam penyediaan memasak bubur, daripada proses meyediakan bahan, memasak, sehinggalah memasukkan bubur ke dalam bekas. Mereka yang inginkan bubur perlu mengambil sendiri di kabin. Siapa cepat dia dapat.

Semoga usaha murni pihak Surau Al-Falah dan persatuan penduduk akan mendapat berkat. 

Dengan kemurahan hati penderma dan kerjasama penduduk, insya-Allah program berbuka puasa dan bersahur serta bubur lambuk akan diadakan lagi Ramadan hadapan. - KitaReporters


Kru bubur lambuk berehat setelah selesai kerja memasak bubur lambuk, sementara menunggu penduduk datang mengambil agihan di kabin taman permainan Danau Kota.

 

10
9
0
15
0

Copy Link: