Hampir 22 tahun lalu apabila seorang suri rumah, Norlina Alawi, 52, membuat keputusan membela seorang anak angkat kerana mahu bersama-sama menghidupkan fardu kifayah dalam kalangan masyarakat, ada yang menganggapnya melakukan kerja gila.

Cercaan dan kata nista itu disambutnya dengan senyuman malah saban tahun tidak berhenti menambah bilangan anak-anak malah membesarkan mereka seperti keluar daripada rahim sendiri.

Sehingga kini berpuluh-puluh anak telah membesar dengan baik hasil asuhan aktivis sosial ini dan telah mewujudkan Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) di Cheras Baru, Kuala Lumpur.

Anak pertama yang dibelanya itu kini telah tamat persekolahan menengah, bekerja dan bersama-sama puluhan lagi adik-beradik lain masih tinggal di bawah satu bumbung.


Keluarga besar Norlina Alawi berkumpul.


Begitulah uniknya Norlina mengagihkan kasih sayang sama rata kepada tujuh anak kandung dan anak-anak angkat yang dipanggilnya anak anugerah berlainan latar belakang, agama, status malah ada juga sedang diuji positif HIV dan AIDS sebagai sebuah keluarga besar.

“Konsep yang saya amalkan, berkongsi kasih sayang dengan semua adik-beradik waima kalian berasal dari mana sekali pun kerana tidak ada perbezaan layanan daripada saya sebagai ibu. Kami wujudkan rumahku syugaku dan anggap sebagai rumah sendiri dan anak-anak lain seperti adik-beradik kandung namun terbatas aurat antara mereka.

“Apabila sudah anggap rumah sendiri, maka mereka juga akan memastikan rumah sentiasa bersih, kemas dan elakkan kotor dan bersepah-sepah kerana daripada pengalaman saya memelihara anak-anak ini, jika terasuh sejak kecil menjelang dewasa mereka faham apa yang patut dilakukan,” ujarnya.

Justeru apabila Norlina baru-baru membuat keputusan membangunkan kebun yang diwarisi lima bersaudara anak angkatnya di Kampung Tekir, Labu Negeri Sembilan, semua anak telah diberitahu terlebih dahulu tentang perancangan masa hadapan.


Anak-anak turut membantu melakukan kerja-kerja penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.


“Setiap yang saya rancang, anak-anak akan diberitahu kerana mahu mereka rasa diperlukan dalam keluarga. 

"Apabila saya meminta bantuan dan pertolongan juga mereka tidak pernah menolak malah anak-anak yang telah bekerja juga sanggup datang membantu apabila cuti kerana dalam jiwa mereka sudah dididik ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.

"Tanah kebun di sana sebenarnya milik arwah Noreen, dari suku Orang Asli Temuan yang meninggal kerana barah otak . Lima anak-anaknya diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) kepada saya sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini mereka tinggal di sana,” katanya. 

Beliau ditemui selepas mengadakan majlis kesyukuran dan mengadakan jamuan untuk jiran-jiran tetangga di kebunnya di samping menanamkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anaknya sempena sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-66 baru-baru ini. 


Norlina Alawi (tengah) bersama anak-anak anugerah dan jiran di kampung Tekir, Tabu, Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-66 baru-baru ini.


Norlina menambah, selepas mendapat persetujuan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tok Batin di sana beliau memulakan kerja-kerja pembersihan termasuk menebas kebun di sekeliling rumah dengan bantuan sekumpulan sukarelawan. 

“Tujuan saya membangunkan kebun tersebut untuk menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan apa juga jenis ulam-ulaman yang hasilnya nanti boleh dinikmati anak-anak .

“Beginilah cara saya berfikir sejak dahulu apabila mempunyai anak-anak ramai. Tidak bergantung harap kepada sedekah jariah dan bantuan semata-mata tetapi saban hari berfikir untuk mencukupkan makan pakai mereka dengan langkah penjimatan.

“Selagi saya mempunyai kudrat dan Allah berikan kesihatan yang baik usaha menjaga kebajikan anak-anak anugerah mesti diteruskan. 

"Saya bersyukur kerana kumpulan sukarelawan terlibat termasuk adik-beradik, suami dan semua anak bersama-sama berganding bahu, membanting tulang, berselut, berhujan dan berpanas semata-mata menjadikan kebun tersebut mengeluarkan hasil. Sering saya perkatakan kepada anak-anak tidak rugi berbudi kepada tanah,” ujarnya. 

Katanya sokongan daripada Tok Batin dan jiran-jiran sangat dihargai malah pihaknya juga menerima dengan tangan terbuka lawatan daripada Jabatan Pertanian Seremban baru-baru ini.

“Apabila membuat kerja-kerja pertanian seperti ini sudah pasti  memerlukan modal,  anak benih, baja, sistem saliran dan perparitan mesti diuruskan dengan baik. Saya juga bukan mahir dalam bidang tersebut tetapi demi anak-anak saya berharap  hasilnya akan menjimatnya belanja dapur kami pada masa hadapan.

“Oleh kerana itu,  jika ada pihak-pihak terlibat dengan pertanian dan berkaitan mahu bersama-sama, sangat dialu-alukan kerana sokongan tersebut akan menyegerakan proses penanaman dan penjagaan dengan lebih teratur. 

"Sistem pengurusan yang baik tentulah datangnya dalam kalangan jabatan atau agensi yang terlibat sebab itu kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan jika ada yang sudi datang ke kebun kami,” ujarnya.


Mengadakan jamuan kesyukuran bersama jiran di kampung Tekir, Tabu, Negeri Sembilan baru-baru ini.


Berkat kesungguhannya mengutamakan pendidikan kepada anak- anak, seramai tujuh orang telah bergelar graduan manakala 10 orang masih belajar di pusat pengajian tinggi, 19 orang di sekolah menengah, lapan anak di sekolah rendah manakala empat anak prasekolah dan selebihnya masih kecil. 

“Pendidikan sangat dititiberatkan dalam keluarga besar kami malah saya bersyukur anak-anak lepasan institusi pengajian tinggi meluangkan masa menunjuk ajar, memberi bimbingan dan mengadakan kelas tambahan kepada adik-adik. Kesanggupan mereka itu membuktikan kasih sayang kami sangan erat dan tanpa sempadan. 

“Lebih menggembirakan apabila kejayaan anak-anak dijadikan contoh untuk mereka berlumba-lumba belajar bersungguh- sungguh pula. 

"Misalnya baru-baru ini anak kandung kelima saya, Noor Nabila Roslan, 26, berjaya memperoleh Ijazah Bisnes Antarabangsa  dari UiTM Melaka kelas pertama. 

"Anak-anak sebenarnya adalah pelapis kepada apa yang saya lakukan selama ini, menyantuni anak-anak anugerah selagi terdaya dengan izin-Nya,” ujar Norlina. - KitaReporters


Bersama anak kandung kelima, Noor Nabila selepas majlis konvokesyen UiTM baru-baru ini.

11
12
0
15
0

Copy Link: