Sembang-Sembang| Kampung cara kampung! Bandar cara bandar! Wanita di mana-mana gigih cari kehidupan!
Published by
KitaReporters
--title--
Kampung atau bandar sama sahaja. Hidup mengikut arus. Selebihnya Allah tentukan.
Hidup ini sangat indah. Indah dengan nikmat dan rahmat Allah. Indah dengan rezeki yang Allah kurniakan. Dan indah juga ujian dan kepayahan yang bertujuan mendidik kita. Semuanya kerana Allah sayang kita.
Peluang masuk kampung sedekah telekung membuka mata saya untuk lebih memahami erti hidup dan masa yang semakin singkat untuk kita. Melihat betapa besarnya pengorbanan wanita sebagai anak, isteri, ibu dan macam-macam lagi yang mereka pikul.
Perjalanan saya ke kampung-kampung ke beberapa daerah di Kedah menyedarkan saya bahawa dalam apa juga keadaan, hidup perlu diteruskan. Sama ada seorang diri bersama suami atau isteri, ibu bapa atau siapa sahaja, perjuangan mencari kehidupan perlu terus berjalan.
Mak Lang bahagia dengan kehidupannya di kampung.
Mengambil contoh wanita yang hanya mahu dipanggil Mak Lang saya temui sedang membersih kebun di hadapan rumahnya di Kampung Penyarum Tobiar, Kedah. Leka Mak Lang duduk bersimpuh di atas tanah memilih petai yang baru diturunkan dari pokok.
"Tak juai pun. Nak sedekah sapa mai," katanya tersenyum. Baiknya hati Mak Lang.
"Buah banyak.. Makan tak habis. Kita sedekah kat orang dapat pahala.. Makan sorang sikit," Tambah Mak Lang dalam loghat Kedah yang pekat.
Kisah Mak Lang saya tinggalkan dalam hati. Seronok tengok kehidupan mak Lang yang simple tetapi nampak gembira.
Makcik Halijah seronok dapat menoreh di kebun sendiri setiap hari.
Di Kampung Kolam, Tualang saya bertemu dengan Halijah Md Nor, 66, dan menantunya Shahirah, 27. Menoreh getah sebagai sumber rezeki, makcik Halijah juga kelihatan masih sihat dan cergas.
Semasa ditemui makcik Halijah baru balik dari menoreh. Diajak bergambar dia minta izin nak tukar baju.
"Berbau getah skrap. Nanti kena baju anak," katanya terus menghilang ke dalam rumah. Begitu beradab makcik Halijah. Tersentuh hati saya.
Kata makcik Halijah sehari dia mampu menoreh 30 batang pokok. "Berselang-selang ikut kudrat," ujar makcik Lijah lagi.
Begitulah pengorbanan seorang wanita. Penat lelah ditolak ke tepi. Yang penting hidup perlu diteruskan dengan menggunakan kudrat dan kesihatan yang masih ada.
Bagi wanita di kampung berdikari menjadi amalan. Susah senang sendiri yang tanggung. Selagi bernafas buat apa yang mampu asal boleh mendatangkan sumber rezeki.
Rata rata mereka gembira dengan cara hidup mereka. Tak kacau orang dan orang pun tak kacau mereka.
Di bandar? Banyak yang hendak dihuraikan. Terutama wanita bekerjaya yang menghadapi banyak ujian dalam memenuhi tanggungjawab di rumah dan di pejabat.
Kos menghantar anak ke taska juga menjadi beban. Makin hari semakin tinggi dan membebankan. Itu belum dikira kos persekolahan, makan minum, yuran sekolah dan tambang bas/van sekolah.
Menggaji pembantu rumah juga satu perkara rumit. Sudahlah mahal belum tentu dapat yang betul-betul ikhlas hendak bekerja.
Mahu tak mahu terpaksa ikut arus. Go with the flow kata orang putih. Untung sabut timbul. Untung batu tenggelam.
Sama ada di kampung atau bandar keadaan tetap sama. Semua terletak pada hati kita. Cara macam mana kita berhadapan dengan situasi juga hak kita.
Kampung cara kampung. Bandar cara bandar. Komitmen sangat penting. Ujian Allah datang dalam pelbagai cara. Begitu juga rezeki.
Ingatlah… Doa wanita yang bergelar ibu dan isteri sangat mujarab. Berdoalah…mohon reda Allah untuk sebuah kehidupan yang bahagia dunia akhirat. - KitaReporters
Projek Wakaf Telekung Siti Aishah.
10
17
0
10
0