Bila ABAH Bersuara| Ada macam-macam jenis ulat! Kisah ulat parkir merimaskan! Bilalah nak selesai?

Published by
KitaReporters

 


GOSTAN pelan-pelan. Pusing kiri sikit. Jalan terus…” Tiba-tiba sahaja dia muncul entah dari mana. Sebelumnya tidak kelihatan. Apabila kenderaan hendak keluar dari parkir dia terpacul, kononnya memberi panduan kepada pemandu keluar dari parkir dengan selamat.

Tetapi maksud sebenar ialah mahu duit tip. Inilah gelagat ulat parking atau ulat parkir yang banyak berkeliaran di kawasan parkir, atau kawasan lapang yang dijadikan kawasan parkir, di merata tempat terutama di bandar besar.

Di ibu negara Kuala Lumpur, masalah ulat parkir sudah lama merimaskan warga kota. Sekalipun kenderaan diletakkan di kawasan parkir awam, dan membayar caj parkir, ada saja ulat yang muncul meminta duit.  

Selepas tamat tempoh bayaran parkir di kawasan parkir awam berbayar pada sebelah petang, ulat parkir lagi aktif. Setiap kenderaan yang diletak di kawasan parkir perlu membayar. Selalunya pemandu akan memberi di luar kerelaan kerana bimbang kenderaan dirosakkan.



Ulat parkir ini ligat beroperasi ‘menjaga’ kawasan parkir dari petang sehingga tengah malam. Malah ramai yang terus mengawal kawasan sehingga ke pagi walau pun setelah waktu berkuat kuasa bayaran parkir bermula. Pendek kata mengutip tidak berhenti!

Di kawasan-kawasan lapang yang dijadikan tempat parkir sementara sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan, ulat parkir menjadikan kawasan tersebut milik sendiri. Kenderaan dipakir dengan bayaran ditetapkan oleh ulat-ulat tersebut, bukan ikut ikhlas hati pemandu.

Pemandu biasanya tidak terlalu berkira memberi. Tetapi yang menyakitkan hati ialah apabila bayaran ditentukan sedangkan kewasan berkenaan milik orang lain. Ulat-ulat ini bagai ada sindiket yang beroperasi di lokasi parkir, terutama tempat tumpuan awam.

Kerap kali orang ramai tidak ada pilihan tetapi terpaksa meletakkan kenderaan di tempat tertentu kerana tiada kawasan lain berhampiran. Oleh itu terima sahajalah gangguan daripada ulat parkir haram.



Apa yang diharap ialah pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi muka kepada ular parkir yang dalam keadaan tertentu mengancam orang ramai. Ini berlaku apabila ada pemandu yang tidak mahu membayar, atau tidak membayar menurut jumlah ditetapkan.

Kegiatan mereka memang wajar dikekang dan dibanteras. Kita memuji usaha pihak berkuasa, misalnya pasukan penguat kuasa DBKL, yang selama ini sentiasa memantau kawasan yang kerap menjadi sasaran ular parkir dan bertindak terhadap mereka yang terlibat.

Ramai daripada mereka ditahan dan dihadapkan ke mahkamah serta menerima hukuman atas kesalahan dilakukan. Namun mereka tidak pernah serik. Walau pun pernah dihukum, tetap kembali dengan kegiatan tersebut setelah selesai menjalani hukuman.

Menjadi ular parkir memang cara mudah memperoleh wang. Tiada kudrat diperlukan. Hanya tunggu sahaja mangsa meletak kenderaan. 

Lagi banyak kenderaan diletak, lagi banyak duit dapat. Kerana itu mereka juga suka jika kenderaan diletak untuk tempoh singkat. Dengan itu lebih cepat ruang kosong untuk diisi kenderaan lain.

Pihak DBKL tentunya ada kekangan dalam melaksanakan penguatkuasaan kerana banyaknya kawasan parkir awam di seluruh pelosok ibu kota. Agak sukar untuk mengawasi banyak kawasan secara serentak. Tambahan pula, penguat kuasa pun ada banyak kerja lain perlu dilakukan.

Oleh itu orang ramai boleh membantu. Laporkan kegiatan ulat parkir kepada pihak berkuasa. Dengan cara ini tindakan lebih pantas dan bersepadu dapat dijalankan. Alang-alang memerangi mereka, lakukan habis-habisan.



Ulat ada bermacam-macam. Ada ulat buku. Ini sifat baik kerana rajin belajar atau membaca. Ada pula ulat bulu, gelaran bagi yang suka menggatal. Kalau nampak wanita cantik mulalah pasang jarum untuk memikat.

Ulat tiket pun ada, membeli tiket wayang atau pengangkutan awam pada kuantiti banyak dan menjual semula pada harga mahal apabila tiket habis dan orang ramai perlukan tiket. Gejala ini sekarang mungkin berkurangan kerana tiket dibeli secara online. 

Yang pasti ulat bulu, ulat tiket sama buruk seperti ulat parkir. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

16
13
0
9
0

Copy Link: