Video| Kalau masuk, lembu dikira hilang! Nak tuntut, bayar RM3k! Seminggu tak tuntut jadi lauk! Okey?
Published byNak bela haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, anda bukan sahaja bertanggungjawab memberi mereka makan tetapi lebih penting, menjaga keamanan kawasan sekitar terutama di kawasan perumahan atau kebun milik penduduk setempat.
Malah, haiwan ternakan yang tidak dijaga dan dibiarkan
lepas bebas, mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Sudah ramai
pengguna jalan raya menemui ajal kerana kemalangan melibatkan haiwan ternakan.
Tidak tahu apa yang ada dalam fikiran penternak yang tidak bertanggungjawab ini.
Tidakkah anda terfikir kerosakan dan kematian yang terhasil sekiranya membiarkan haiwan ternakan dibiarkan bebas tanpa pengawasan?
Apabila berlaku kemalangan dan kerosakan tanaman di kebun milik penduduk setempat, tuan lembu atau kambing akan ‘menikus’. Mereka tidak berani tampil mengaku bahawa haiwan ternakan itu milik mereka.
Namun sebaliknya terjadi kalau haiwan ternakan hilang atau dicuri, mereka pantas tampil mengaku kerana tidak mahu mengalami kerugian besar.
Bagi orang awam dan pemilik kebun-kebun tanaman, mereka sedaya upaya berusaha mencari jalan penyelesaian.
Kaedah paling biasa, membina pagar agar haiwan ternakan seperti lembu dan kambing tidak masuk ke kebun mereka. Tapi itulah, orang lain yang bela lembu, orang lain pula yang terpaksa keluarkan modal untuk membina pagar.
Cara lantang dan kreatif seorang lelaki mencari kaedah
penyelesaian kepada masalah tersebut, menarik perhatian ramai. Dia berkongsi
kaedah tersebut dalam TikTok miliknya. Caranya itu mendapat sokongan ramai
netizen.
Tidak memerlukan modal besar, hanya memacak papan
tanda (signboard) memberi amaran kepada pemilik haiwan ternakan. Papan tanda
tersebut tertulis ‘kalau masuk dikira hilang’ disertakan simbol lembu dan
kambing.
Ramai netizen berkongsi cerita yang sama kerana masalah ini bukanlah perkara baharu. Pelbagai kaedah digunakan untuk mengajar pemilik haiwan ternakan agar lebih bertanggungjawab.
“Makcik dulu buat macam tu juga lembu masuk makan dalam kebun. Apabila nak pergi jual lembu tu, kalut tuan dia datang ambil. Makcik tanya nak bayar ganti rugi atau ganti dengan lembu,” tulis salah seorang netizen.
Ada juga netizen seakan-akan geram dengan pemilik
haiwan ternakan yang tidak bertanggungjawab ini.
“Dia yang bela lembu, orang lain pula kena buat pagar,” ujar seorang netizen.
Manakala seorang lagi netizen memberitahu di
kampungnya, akan diedarkan notis pemberitahuan dan papan tanda berkenaan haiwan
ternakan. Sekiranya masih terjadi haiwan ternakan dibiarkan bebas tanpa
pengawasan, mereka perlu membuat pembayaran untuk menebus kembali haiwan
tersebut.
“Kampung kami dulu, edar notis yang sudah disahkan dari pejabat daerah. Signboard pun dah ada.
"Kalau masuk kawasan kampung dan kebun, tuan lembu nak tuntut kena bayar RM3k. Seminggu tak tuntut lembu jadi lauk. Baru ada akal owner lembu,” jelasnya.
Justeru, buat pemilik haiwan ternakan, jadilah
penternak yang bertanggungjawab. Dalam Islam sendiri sangat menitikberatkan hal
ini. Jangan kita ambil mudah dan tak cakna. - KitaReporters