Warga emas dan penduduk kampung bergotong-royong memasak macam 'kenduri kampung' memeriahkan Program Khidmat Masyarakat.


‘KENDURI kampung’ mencetus hubungan erat antara warga emas, penduduk Kampung Lahar, Mukim Malau di Jitra, Kedah dengan kakitangan Unit Fisioterapi dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dalam program khidmat masyarakat bertemakan ‘Tangan Dihulur, Kasih Disemai’.

Program dengan kerjasama Persatuan Fisioterapi Negeri Kedah itu diadakan di Asrama Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka Kubang Pasu (Pewaris) yang disertai warga emas pusat berkenaan dan lebih 30 penduduk kampung yang rata-rata dalam kalangan wanita pada 3 Ogos 2024. 


Warga emas, penduduk kampung dan kakitangan HSB yang terbabit dalam Program Khidmat Masyarakat merakam kenangan pada 3 Ogos 2024.


Pengurus Pewaris, Azmi Mat Napiah, berkata program itu menyerlahkan kerjasama erat antara penduduk kampung termasuk mereka dalam kalangan warga emas yang hadir dengan kakitangan HSB untuk menyertai aktiviti gotong-royong membersih kawasan dalam dan luar asrama pusat berkenaan.

Menurutnya, warga emas dan penduduk kampung juga tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam khidmat saringan kesihatan, mengikuti ceramah penjagaan kesihatan serta latihan jasmani bagi mengekalkan kecergasan.


Warga emas dan penduduk kampung menunggu giliran untuk saringan kesihatan di samping mendengar taklimat penjagaan kesihatan serta kecergasan.


Tambahnya, usaha murni HSB menerusi kakitangan unit terbabit bukan suatu yang senang untuk diperoleh kerana mereka juga sentiasa sibuk dengan tugas hakiki menyantuni pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat.

“Walaupun dalam masa yang singkat, namun kemesraan, kesepakatan dan kerjasama yang ditunjukkan itu menjadi lebih bermakna apabila mereka bersama-sama dalam suasana riuh rendah bergotong-royong memasak hidangan tengah hari dengan pelbagai lauk pauk bagaikan berlaku ‘kenduri kampung’. 

“Saya tidak terfikir langsung akan berlaku sedemikian rupa malah berasa amat berbangga apabila suasana itu dizahirkan oleh warga emas, penduduk kampung dengan kakitangan HSB ibarat dalam kalangan adik-beradik dan saudara-mara seperti mengadakan majlis kenduri pulak,” ujar Azmi lagi.


Kakitangan HSB dari unit terbabit dalam program itu menunjukkan senamrobik ringan kepada warga emas dan penduduk kampung.


Sementara itu, Ketua Unit Fisioterapi HSB, Mohd Helmi Hashim, berkata program berkenaan adalah antara usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan kecergasan dalam kalangan warga emas yang menghuni asrama pusat berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun program melalui Pewaris itu turut mempelawa warga emas dan penduduk kampung berdekatan bagi menyertai pelbagai aktiviti diadakan terutama dalam usaha memberi pendedahan mengenai penjagaan kesihatan serta kecergasan.  

Tambahnya, menerusi aktiviti yang diadakan itu ia memberikan sokongan kesihatan dan fisioterapi bukan sahaja kepada penghuni asrama pusat jagaan berkenaan tetapi juga kepada penduduk yang akan mendapat ilmu mengenai senaman yang boleh dilakukan di rumah bagi meningkatkan mobiliti serta kesejahteraan. 


Demonstrasi senaman ringan yang boleh dilakukan warga emas dan penduduk kampung di rumah.


Jelas Mohd Helmi, berikutan itu pelbagai aktiviti dijalankan termasuklah senamrobik ringan iaitu yang mudah dan sesuai untuk semua tahap kesihatan di samping saringan kesihatan membabitkan pemeriksaan tekanan darah, 'Fall Prevention Screening'- TUG dan ‘5 times Sit to Stand Test’.

“Saringan berkaitan kekuatan kaki dan keseimbangan pergerakan dalam kalangan warga emas juga diberi tumpuan di samping demonstrasi senaman menerusi sesi pendidikan serta khidmat nasihat diikuti tazkirah untuk pengisian rohani dan motivasi,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Ahli Lembaga Pelawat HSB, Noorzanarudin Syah Zakaria (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Pewaris sambil diperhatikan oleh Mohd Helmi Hashim (kanan) dan Azmi Mat Napiah (dua dari kiri).

17
12
0
14
0

Copy Link: