IR Malaysia lakukan Ziarah Kemanusiaan! Santuni usahawan GRAP 2.0! Lihat sendiri kemajuan dicapai!
Published bySyed Saleh Syed Abdul Rahman menunjukkan produk sandwic yang diusahakan oleh usahawan GRAP 2.0, Husna (kiri).
Sempena Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) mengadakan aktiviti Ziarah Kemanusiaan bagi menyantuni tiga keluarga penerima manfaat di sekitar Bangi dan Kajang pada 22 Ogos 2024 lalu.
Aktiviti tersebut bertujuan untuk mendekati, mendalami dan memahami keperluan komuniti yang dibantu serta memperteguh komitmen Islamic Relief dalam membantu golongan rentan.
Ketiga-tiga penerima manfaat yang diziarahi merupakan usahawan IR Malaysia yang dibantu melalui program Growth Entrepreneurship Assistance Programme (Program Bantuan Pertumbuhan Keusahawanan) atau GRAP 2.0 tajaan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank).
Kesemua mereka mengusahakan perniagaan makanan seperti sandwic, tortilla, roti jala, brownies, pulut, nasi kerabu, nasi lemak dan nasi berlauk.
Syed Saleh membantu Hasnyfalina menyiapkan tempahan pelanggan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang mengetuai rombongan ziarah tersebut berkata, aktiviti yang dilakukan adalah satu ziarah yang cukup bermakna kerana IR Malaysia dapat membuat satu kajian dan pengukuran terhadap keberkesanan program GRAP 2.0 yang dilaksanakan.
“Kita sendiri turun ke padang, turun ke medan dan menziarahi peserta-peserta untuk melihat sendiri kejayaan dan juga kemajuan yang telahpun dicapai.
“Saya dapat melihat bahawa apa yang telahpun dimanfaatkan oleh peserta-peserta ialah, di samping pihak Islamic Relief memberi peralatan-peralatan yang sewajarnya untuk mereka melaksanakan perniagaan, mereka juga dapat mempelajari bagaimana mengurus dan mentadbir perniagaan mereka dengan lebih baik dan lebih tersusun.
“Kedua, mereka dapat meningkatkan lagi pendapatan dan memperluas perniagaan mereka dengan mengadakan promosi dan pemasaran melalui media sosial yang sebelum ini, kebanyakan mereka tidak begitu mahir dan selesa.
"Jadi, dengan adanya program bimbingan, mereka lebih yakin dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini.
“Yang ketiga adalah apabila mereka bersama-sama 50 peserta lain duduk bersama, mereka dapat bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mereka dalam perniagaan dan ini juga satu usaha yang baik untuk mereka dapat memperbaiki perniagaan mereka,” katanya.
Hasnyfalina dan suaminya mengusahakan Gerai Che Na dengan menjual nasi kerabu, nasi lemak dan nasi berlauk.
Sementara itu, salah seorang penerima manfaat yang diziarahi, Hasnyfalina berkata, dia bersyukur apabila terpilih menjadi peserta GRAP 2.0 kerana program tersebut banyak membantu dia sekeluarga sehingga dia dapat menambah jumlah pendapatan.
“Sebelum ini, kami berniaga secara kecil-kecilan dengan menggunakan seratus peratus modal sendiri. Bila dapat bantuan daripada IR Malaysia dan MBSB Bank ini, alhamdulillah banyak membantu kami.
"Kami dapat beli periuk besar, dapat tambah dapur masak dan tambah blender yang lebih besar,” kongsi Hasnyfalina yang berniaga nasi kerabu, nasi lemak dan nasi putih berlauk bersama suaminya di Taman Bukit Kajang Baru.
Aktiviti Ziarah Kemanusiaan itu turut dimeriahkan dengan sumbangan barangan keperluan asas untuk setiap keluarga penerima manfaat.
Turut serta dalam ziarah tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Siti Fadilah Mohd Hood; Pengurus Kanan Bahagian Program, Nurbazilah Sulaiman bersama beberapa kakitangan lain.
Syed Saleh (tengah), Mohd Shukor Tahir (dua dari kiri), Siti Fadilah Mohd Hood (tiga dari kanan) dan Nurbazilah Sulaiman (kiri) menziarahi rumah Farizah, salah seorang usahawan GRAP 2.0.
Dalam pada itu, Syed Saleh menegaskan, pihaknya akan mempertingkat lagi usaha-usaha untuk mendapatkan dana supaya dengan dana yang lebih banyak ini, IR Malaysia dapat melaksanakan lebih banyak program termasuk program-program lanjutan daripada yang sedia ada.
“Kami berharap bahawa kami dapat menambah kerjasama dengan pihak-pihak korporat.
"Dengan pendanaan daripada pihak korporat ini, ia dapat membantu IR Malaysia mengadakan lebih banyak program untuk membina kapasiti dan keupayaan peserta-peserta, insya-Allah,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media