Keperibadian Nabi SAW teladan terbaik! Contoh dalam santuni warga emas terbiar di pusat jagaan!
Published byPengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman (kanan) bersama-sama sebahagian petugas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor selepas menyampaikan cenderamata sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.
KESABARAN dan ketabahan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah agama Islam menjadi contoh terbaik untuk disemaikan kepada petugas pusat jagaan dalam menyantuni warga emas yang memerlukan perhatian setiap masa.
Sikap sedemikian perlu dimiliki setiap petugas tanpa mengira usia kerana warga emas terbiar khususnya mereka tanpa waris yang menghuni pusat jagaan mendambakan layanan mesra dan penuh kasih sayang seperti daripada seorang anak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan
Pengerusi PJMM, Ruslan Saidin (tengah) dan Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado (kanan) berselawat bersama-sama warga emas sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul di PJMM.
Pengerusi Persatuan
Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman, berkata petugas juga tidak
seharusnya berasa jemu atau bosan melayan karenah warga emas terbabit kerana
mereka memikul tanggungjawab yang sungguh mulia dan tidak termampu dilakukan
oleh sesetengah orang.
Menurutnya,
beliau sendiri kadang-kadang berasa terharu serta tersentuh hati apabila warga
emas yang dijaga serta dibantu dengan ikhlas oleh petugas melahirkan rasa
gembira dan seronok menjadi penghuni di pusat jagaan.
“Rata-rata warga emas yang berusia antara 60 tahun dan 80 tahun yang menghuni pusat jagaan bukan sahaja uzur malah sesetengahnya memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana ada yang tidak mampu seperti untuk bergerak atau berdiri sendiri.
Sebahagian petugas PJMM berasa terharu apabila jasa dan bakti mereka menjaga serta mengurus warga emas dihargai.
“Mereka ini
perlu diangkat atau dipapah kalau hendak ke bilik air selain memerlukan bantuan
disorong dengan kerusi roda kerana kaki dan tangan gagal berfungsi dengan baik,”
katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Pusat Jagaan
Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Beliau yang juga Penasihat 1 PJMM berkenaan melahirkan rasa gembira apabila petugas yang diberi tanggungjawab membantu mengurus warga emas di pusat itu berjaya mewujudkan hubungan baik antara penghuni yang memiliki pelbagai latar belakang berbeza.
Penceramah bebas, Alias Ahmad dijemput untuk menyampaikan ceramah ringkas sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul di PJMM.
Menurutnya,
kesan daripada itu penghuni yang sihat akan membantu rakan mereka seperti
menyorong kerusi roda ke dewan makan dan mengagihkan makanan ketika makan
tengah hari dan minum petang sambil diawasi petugas.
“Hubungan antara mereka erat ibarat seperti adik-beradik yang menagihkan kasih sayang dalam keadaan usia semakin uzur serta kurang bertenaga sebaliknya menunjukkan wajah yang tenang ketika menghadap hidangan dan berada di surau untuk menunaikan solat,” katanya.
Sebahagian warga emas di PJNH berselawat beramai-ramai sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul di pusat itu baru-baru ini.
Sementara
itu dalam majlis berasingan sempena Sambutan Maulidur Rasul, Pusat Jagaan Nur
Hasanah (PJNH), di Beranang, Selangor, turut menghargai jasa petugas dan sukarelawan
yang banyak membantu pusat jagaan berkenaan.
Pengerusinya,
Mohiadin Bahado, berkata pusat itu sentiasa berhubung rapat dan bekerjasama
dengan PJMM dalam berkongsi banyak perkara khusus berkaitan mengurus serta
menjaga warga emas terbiar tanpa waris selepas beroperasi beberapa tahun lalu.
Menurutnya,
seperti PJMM, pusat itu juga hanya menerima warga emas yang terbiar tanpa waris
dan sesetengah daripada mereka menghidap pelbagai penyakit yang memerlukan
penjagaan rapi serta rawatan ulangan di hospital.
“Ada antara mereka tidak mampu mengurus diri, malah ada yang hilang ingatan dan buat hal sendiri menyebabkan petugas terpaksa memberi perhatian kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya, kami masih mengharapkan pelbagai bantuan sokongan operasi disamping sumbangan dana untuk membaik pulih bangunan demi keselesaan warga emas ini,” katanya.
Pengurus PJNH, Khairul (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Azman sebagai penghargaan dalam melaksanakan tugas di pusat berkenaan.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada PJMM boleh salurkan ke Akaun CIMB Islamic -8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic -562384521053 (Pusat Kebajikan Mahmudah Malaysia).
Maklumat lanjut boleh menghubungi Pengurus PJMM, Sazali Mohiden 019-368 8142.
Manakala sumbangan kepada PJNH boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002260491 (Pusat Jagaan Nur Hasanah) atau menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 untuk pertanyaan. - KitaReporters
Alias membantu mengagihkan cenderamata kepada warga emas di PJMM sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul.