PKUF RAYU BANTUAN BANTU WARGA 'TERKURUNG'
Published bySETIAP kali bunyi deringan telefon, mereka menjadi takut untuk menjawab. Bukan panggilan dari bank atau along tetapi sayup di hujung telefon ada suara sayu meminta bantuan. Bekalan makanan di dapur sudah putus, seharian mereka mencari beras segengam untuk masak bubur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). : KitaReporter
Begitu juga apabila sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF) membuka WhatsApp setiap pagi penuh dengan debaran yang adakalanya `sesak nafas` kerana penuh dengan pelbagai permintaan dari beras, susu bayi, pampers dan wang untuk membeli ubat demam.
Malah ada perayu itu sanggup memuat naik gambar tong beras yang hanya tinggal beberapa gengam saja.
Pengerusinya, Murniati Usman berkata perasaan itu berlaku kerana PKUF tidak mempunyai bekalan yang mencukupi bagi menampung permintaan itu terutama susu dan pampers sebab semua sumbangan wang diterima digunakan sepenuhnya membeli keperluan dapur.
Murniati menyifatkan tugasan memberi bantuan yang bermula dengan membantu empat orang dengan sayur dan sedikit barangan basah kini berdasarkan fisabillah dan rahmat Allah SWT kerana PKUF tidak ada dana, sebaliknya penderma yang datang membantunya pada saat-saat dia kehabisan keperluan asas untuk diberikan.
"Setiap pagi saya rasa sangat sebak, sedih dan kami kadang menangis sendirian dengan aduan yang diterima.
"Pernah ada pengadu sudah seminggu tidak makan malah menyara keluarga dengan meminta sedekah daripada jiran tetangga yang juga kesempitan hidup.
"Kami pula tak cukup bekalan untuk memberikan pada mereka," katanya.
Gambar anak perempuan itu demam. Ibunya merayu untuk duit membeli ubat.
Murniati berkata, setakat ini PKUF sudah membantu hampir 700 keluarga sebahagian besar penghijrah, penduduk tempatan dan mereka dari pelbagai kaum datang bersemuka, WhatsApp dan panggilan telefon.
Beliau menyifatkan penduduk negara ini yang sangat bertuah mendapat pelbagai bantuan kerajaan dan PKUF turut menumpang tuah kemurahan hati warga Malaysia yang menderma pelbagai keperluan untuk disalurkan kepada pendatang asing yang sudah berpuluh-puluh tahun merantau ke sini mencari rezeki.
Bila saat genting begini mereka yang sebahagian besar bergaji hari tidak sempat mengambil wang upah, simpanan juga tidak banyak dan paling sedih tidak menerima gaji.
Mereka sangat terkesan kerana tidak tahu tempat merayu bantuan makanan terutama yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
"Melihat mereka yang kelaparan membuatkan saya lebih suka berpuasa kerana tidak sanggup untuk menjamah makanan di rumah sedangkan dari pagi hingga senja ada yang datang dari sekitar Rawang untuk meminta beras, ikan sardin, susu dan gula.
"Malah ada dari setinggan yang tinggal di dalam hutan berhampiran Bandar Country Homes," cerita Murniati.
"Kami mulanya didatangi salah seorang setinggan ni. Tetapi kami perlu mengumpulkan maklumat keluarganya.
"Esoknya kami turun padang untuk menyampaikan sumbangan dan semua penghuni setinggan yang menyewa bilik dan rumah di sekitar keluar beramai-ramai.
"Macam tak percaya ada ramai penduduk di situ," katanya.
Selain itu, kata Murniati, ada penduduk yang sudah seminggu kehabisan bekalan dan ketika sukarelawan sampai, mereka sedang meminta makanan dari tetangga kerana sudah berhati-hari menahan kelaparan.
"Pada hari ke-22 turun padang, paling sebak kerana pagi-pagi lagi kami dapat WhatsApp daripada seorang ibu memohon wang untuk membeli ubat anaknya yang sedang demam dan susu.
"Seorang bapa ini menunjukkan wang RM1 yang ada dalam saku. Kami pula tidak mampu kerana bantuan diberikan seadanya termasuk barang asas saja," tambahnya.
Bantuan dari kedutaan Indonesia di Malaysia.
Sebahagian daripada bantuan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia yang telah diedarkan.
Sebelum ini pada 6 April 2020, Kedutaan Besar Republik Indonesa turut menderma 347 bungkusan derma kepada PKUF untuk diagihkan kepada rakyat Indonesia yang terkandas di negara ini.
"Memang kami tidak mampu untuk membantu sebab permohonan derma melebihi kewangan.
"Akhirnya kami hanya mampu mendiamkan diri, sayu dan sedih sehingga tak mampu memberi jaminan untuk membantu," katanya yang terpaksa memohon sumbangan kepada orang ramai yang ada lebihan susu, makanan dan pampers.
Prihatin... Wakil kedutaan Indonesia membantu rakyatnya yang terkandas.
Murniati berkata, semua bantuan perlu diteliti kerana bimbang ada penipuan apabila ada rumah sudah bertukar menjadi macam kedai runcit kerana mereka menerima banyak bantuan.
Apabila ada pemohon baharu, PKUF akan menyenaraikan penerima dan menghantar sukarelawan ke rumah bagi mengumpul maklumat.
Murniati (kiri) dan pembantunya, Herlina turun padang hantar bantuan kerana warga tidak ada kenderaan dan anak yang tiada penjaga.
Seorang sukarelawan Herlina Abdul Samad, berkata setiap kali bertemu dengan penerima bantuan itu, hatinya sangat sedih kerana ada ibu datang membawa anak-anak kecil yang mungkin terdedah kepada wabak Covid-19.
"Sebak bercampur marah bila kita tanya kenapa heret anak sekali, jawab mereka tiada orang yang menjaga anak kalau ditinggalkan di rumah.
"Masa buat agihan itu semua diminta beratur dengan jarak 1 meter dan ada yang tidak patuh. Adakalanya mereka berebut dan tidak terkawal, akhirnya kami terpaksa batalkan agihan.
"Kasihan semua lapar dan bimbang bantuan tidak cukup dan akhirnya kami meminta mereka datang ke pejabat PKUF untuk mengambil bantuan berkenaan," kata Herlina yang juga bertindak sebagai kakitangan pentadbiran, guru dan warden untuk anak-anak gadis Daurah PKUF.
Herlina Abdul Samad
Herlina bersyikur kerana dapat membantu Murniati membantu golongan miskin itu sampaikan rasa tersangat penat dan mengantuk menguruskan kelas, bantuan, pendaftaran penerima bantuan serta mengunjungi rumah yang disahkan menerima bantuan.
Weznah Marbi... berehat sebab terlalu penat.
Sementara itu seorang lagi sukarelawan, Weznah Marbi yang turut membantu pengagihan sumbangan berkata dia terpaksa menutup semua pintu untuk berehat sekejap kerana orang ramai datang bertali arus pada hal agihan awal sudah selesai dilakukan.
"Saya tahu mungkin ramai yang marah apabila tidak menjawab WhatsApp atau panggilan telefon.
"Tetapi hari ini ramai sangat pemohon yang serbu rumah ini membuatkan sukarelawan bukan saja keletihan akibat tiada rehat, kami juga lemah kerana tidak sempat makan," katanya.
Beliau yang berniaga terpaksa membahagikan kerja sukarelawan dan membuat kuih muih sebagai mata pencarian kadangkala tertidur sambil duduk saja, kepenatan menguruskan pembungkusan dan penghantaran sumbangan bergilir-gilir dengan Herlina.
"Selalu kami merancang jumlah sumbangan tetapi masa PKP permintaan luar biasa membuatkan kerja pembungkusan terpaksa dibuat pada hujung minggu dan sepanjang minggu adalah kerja penghantaran," katanya bangga dapat membantu meringankan beban kehidupan penerima bantuan itu.
Semua bangsa dapat bantuan PKUF, kata Murniati ((kanan).
Sementara itu, Murniati merayu bantuan kerana sepanjang Ramadan, PKUF dijangka menyediakan masakan untuk 200 penerima derma dan berharap semoga misi berbuka puasa itu berjalan lancar dengan keajaiban rezeki di luar jangkaan. - KitaReporters.com
Pada yang ingin membantu boleh menghubungi PKUP melalui www.wasap.my/60166535632/0143921060/
atau salurkan terus sumbangan kewangan kepada tabung PKUF BANTUAN MCO
NAMA BANK : AMBANK ISLAMIC BERHAD
NO. AKAUN : 8881018446376
NAMA AKAUN : PERTUBUHAN KEBAJIKAN UKHWAH FILLAH
Jazakumullahu Khairan Kathira kepada sahabat yang menyumbang dan menyokong usaha ini. Moga-moga usaha kita diredai Allah, dan digantikan dengan rezeki yang berkat, berganda dan lebih baik. AMIN.
Ada penderma menghantar makanan dan bersampul duit
Terima kasih.. rezeki dikongsi bersama.