Terima kasih Kuan Chee Heng! Tiga hari tidur di koridor flat sebelum dibantu Uncle Kentang!
Published byWANITA warga emas terpaksa bermalam di laluan koridor rumahnya di sebuah flat di Kepong, Kuala Lumpur selepas dihalau. - Kredit foto: Facebook Kuan Chee Heng.
SEHARI sebelum Tahun Baharu Cina sepatutnya menjadi kenangan indah bagi mereka yang menyambut perayaan berkenaan kerana akan berkumpul bersama ahli keluarga dan menikmati hidangan makan malam bersama.
Namun tidak bagi seorang warga emas berbangsa Cina, dia terpaksa melalui detik menyedihkan apabila dihalau keluar dari bilik sewanya di sebuah flat di Kepong selepas tidak mampu membayar sewa selama tiga bulan.
Lebih menyedihkan wanita yang tinggal sebatang kara itu terpaksa tidur sambil ditemani barang-barang peribadi di laluan koridor tepi bilik sewanya itu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Kuan Chee Heng:
https://kitareporters.com/search?search=Chee+Heng
Penderitaan yang dilalui wanita berkenaan ‘sampai’ ke pengetahuan aktivitis sosial, Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng yang terus bergegas bertemu dengan wanita malang berkenaan.
Menurut Uncle Kentang selepas dihalau keluar oleh pemilik rumah berkenaan wanita itu terpaksa melelapkan mata di laluan koridor selama tiga hari kerana tiada hala tuju memandangkan dia tidak mempunyai ahli keluarga selain tinggal sebatang kara.
Lebih menyedihkan ketika itu dia hanya memiliki wang sebanyak RM12.
Mendengar luahan sebelum membantu mencari rumah pelindungan sementara kepada wanita berkenaan.
“Aunty kena kunci dan barang beliau diletak di
koridor selepas tak mampu bayar sewa. Tak mengapa aunty, kita akan bantu.
“Aunty dah tak tidur 3 malam. Sedih sangat. Muka
cengkung. Dan duit dalam poket hanya ada RM12. Sebatang kara. Kita akan bantu.,” kongsinya
dalam Facebooknya pada 9 Februari 2021 lalu.
Uncle Kentang kemudian terus membawa pulang wanita berkenaan ke rumahnya dan menyertai keluarganya meraikan makan besar yang menjadi acara tahunan bagi kaum cina yang menyambut Tahun Baharu Cina.
Uncle kentang memberitahu, penderitaan yang dialami wanita berkenaan dikesan selepas ada pihak menghubungi Hotline yang baru dilancarkan baru-baru ini.
"Bila kita mula gunakan hotline melalui talian 03-80656666, panggilan pertama yang diterima adalah mengenai wanita ini yang diusir dari bilik sewanya. Semua barang dikeluarkan dan diletakkan di laluan koridor.
"Dia tidak berdaya dan hanya mempunyai RM12, sebelum ini dia pernah mencuba mendapat bantuan daripada orang lain tetapi gagal, dia kata tak mandi sejak tiga hari lalu dan kelihatan letih dan tak bermaya," ujarnya lagi.
Allahu kesiannya! nasib baik tak lama dia hadap 'penderitaan' tersebut.
Uncle Kentang kemudian memberikan sedikit wang dan cuba mendapatkan penginapan untuknya . Malah aktivis itu juga memberi jaminan akan memberi bantuan kepada wanita berkenaan.
"Kami beritahu dia kami akan membantu dan pada usianya pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaaan lagi-lagi ketika pandemik melanda negara kita," kongsinya lagi.
Menurutnya wanita itu dihalau keluar selepas dia gagal menjelaskan bayaran sewa bilik sebanyak RM250 sebulan selama tiga bulan. Maklumlah dah PKP…ramai yang terjejas.
Akhir usaha Uncle Kentang membantu warga emas itu berjaya.
Terdahulu Uncle kentang baru melancarkan hotline untuk memudahkan orang ramai berkongsi maklumat jika mengenali sesiapa yang berdepan masalah.
"Talian hotline baru saja dilancarkan dan terus ada panggilan ini bermaksud Tuhan menghantar pesanan kepada kita bahawa ada seseorang di luar sana yang memerlukan pertolongan," katanya.
Bersyukurlah rakyat kita yang masih ada hati dan perasaan untuk membantu pada kala negara sedang berdepan musibah besar.
Terima Kasih Uncle Kentang jasamu akan dikenang pasti pahala menunggu di hadapan! - KitaReporters