Kena kencing tikus! Larangan berkunjung ke tempat air terjun
Published byBELUM pun reda dengan penularan wabak COVID-19 yang mengancam nyawa
manusia, tiba-tiba rakyat Terengganu dikejutkan pula dengan berita sedih kerana
kematian seorang lelaki yang meninggal dunia ekoran dijangkiti Leptospirosis atau kuman air kencing tikus. : KitaReporters
Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu. - Gambar hiasan
Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen Leptospira yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.
Bakteria Leptospira boleh
terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing,
lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.
Penyakit ini boleh berpunca di kawasan air seperti tempat air terjun terutama musim kemarau, di mana air sedikit yang menyebabkan tikus akan cari air di anak-anak sungai dan air boleh tercemar dengan kencing tikus yang mengandungi kuman.
Kebetulan pula orang ramai mandi dan terkena jangkitan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, mangsa pertama lelaki berusia 30 tahun dari Dungun dimasukkan ke HSNZ pada Ahad, 14 Jun 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 Jun 2020.
Menurutnya, dua rakannya dimasukkan ke HSNZ dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil.
Dr Alias berkata, berdasarkan laporan ketiga-tiga
mangsa bersama satu kumpulan seramai 12 orang telah melakukan aktiviti rekreasi
di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut di Pahang pada minggu lepas dan mula mengalami
demam serta sakit badan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi mana-mana kawasan air terjun atau hutan lipur pada ketika ini bagi mengelak insiden sama berlaku apatah lagi pada saat wabak COVID-19 belum selesai.
“Jadi kita minta orang ramai tidak pergi mandi manda di
kawasan air terjun buat masa ini apatah lagi dalam tempoh PKP ini,” katanya.
Berikutan kes berkenaan kerajaan Terengganu melarang
orang ramai melakukan aktiviti riadah dan mandi manda di pusat pelancongan air
terjun dan hutan lipur negeri ini bagi mengelak penularan penyakit berkenaan.
Poster yang melarang orang ramai berkunjung ke air terjun dan huran lipur di negeri Terengganu
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan empat individu berumur 30 hingga 32 dari Dungun dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, semua pesakit berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.
"Semua pesakit menunjukkan gejala menyerupai gejala penyakit leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah.
"Namun begitu, pihak JKNT masih lagi menunggu pengesahan ujian makmal.
Kenyataan Media Pengarah JKNT berhubung kes kencing tikus
"Hasil siasatan mendapati semua pesakit dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 sehingga 4 Jun lalu bersama sembilan individu lain.
"JKNT masih lagi menjalankan siasatan dan pengesanan kes bagi individu lain yang menyertai aktiviti rekreasi berkenaan," katanya melalui satu kenyataan baru-baru ini.
Kenyataan Media JKNT
Dr Nor Azimi berkata, beliau turut mengesahkan kematian lelaki berusia 29 tahun pada 15 Jun 2020 pada jam 1.20 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.
"Mangsa turut mempunyai gejala leptospirosis dan turut sama menyertai aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut bersama empat pesakit yang sedang menerima rawatan,” katanya. - KitaReporters
Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut: - Gambar hiasan