Tahniah Pemuda Kampung Tok Has! Projek bina rumah untuk OKU!
Published bySEPAKAT membawa berkat, peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan semangat kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Kampung Tok Has, Jertih, Terengganu yang berjaya menyiapkan sebuah rumah untuk didiami seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang dibuat melalui konsep gotong-royong oleh komuniti setempat. : KitaReporters
ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada OKU Ismail Ibrahim sambil diperhatikan oleh ADUN Hulu Besut, Nawi Mohammad (dua dari kiri).
Lagi kisah-kisah berkaitan orang kurang upaya:
https://kitareporters.com/search?search=OKU
Projek pembinaan rumah atas konsep Tanggungjawab Sosial (SR) tersebut dibina atas inisiatif anak-anak muda Kampung Tok Has bagi membantu seorang pemuda OKU, Ismail Ibrahim, 39, yang tidak mempunyai rumah kediaman sendiri dan hidup sebatang kara sejak 10 tahun lalu.
Ismail atau lebih dikenali dengan nama Mat Ije seorang OKU (lembam) sebelum ini tinggal menumpang di rumah majikan beliau seorang penjual ubat dikenali sebagai Pok Aziz yang juga berstatus OKU.
Ismail Ibrahim
Bersimpati dengan nasib malang yang menimpa OKU tersebut, pemuda-pemuda kampung berkenaan bermufakat mencari jalan penyelesaian untuk membina sebuah rumah bagi keperluan tempat tinggal Ismail.
Penyelaras Projek, Wan Najmuddin Wan Mohd Yusoff berkata, hasil perbincangan dalam kalangan Pemuda kampung itu, mereka membuat keputusan berusaha membantu Ismail untuk mendapatkan sebuah rumah kediaman yang dibina secara gotong royong.
Wan Najmuddin Wan Mohd Yusoff
Katanya, kebetulan OKU terbabit ada mempunyai sebidang tanah pusaka peninggalan orang tuanya dan memudahkan usaha untuk membina rumah kediaman di tanah miliknya.
Beliau berkata, proses menggerakkan pembinaan rumah tersebut dilakukan oleh pihak penganjur dengan berusaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai, ahli korporat dan pemimpin setempat.
Beberapa pemuda Kampung Tok Has, Jertih bergotong royong membina rumah untuk OKU
"Alhamdulillah usaha itu berjaya menarik perhatian pelbagai pihak yang tampil memberi sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, barangan dan tenaga kerja,” katanya.
Wan Najmuddin berkata, pembinaan rumah berukuran 18 kaki kali 20 kaki persegi mengandungi satu bilik tidur, dapur, bilik air dan ruang tamu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Kerja-kerja awal pembinaan rumah secara gotong royong oleh pada pemuda Kampung Tok Has, Jertih
“Kami membinanya secara kerja gotong royong dan kebetulan dalam
tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, ia
dapat diteruskan tanpa halangan kerana tidak dapat bergerak ke mana-mana,” katanya.
Beliau berkata, jika mengambil kira kos keseluruhan pembinaan rumah tersebut ialah RM13,000 kerana kerja pembinaan dilakukan secara gotong royong.
Rumah yang dibina secara gotong royong untuk seorang pemuda OKU.
“Saya bagi pihak Pemuda (Pemuda UMNO Kampung Tok Has) ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kewangan, peralatan, bahan binaan dan tenaga kerja,” katanya.
Majlis penyerahan kunci rumah kepada pemuda OKU terbabit dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada 27 November 2020. Hadir sama ADUN Hulu Besut, Nawi Mohammad yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut. - KitaReporters
Penduduk mengadakan majlis doa selamat sempena penyerahan kunci rumah kepada OKU Ismail Ibrahim pada 27 November 2020