Video| Save Press 4 Gaza! Solidariti wartawan Malaysia-Palestin! Kutuk Israel bunuh petugas media!
Published byLEBIH 100 wartawan yang mewakili 26 persatuan dan kelab wartawan Malaysia bertindak mengutuk dan memohon agar tindakan pihak tertentu yang menyasarkan wartawan dan keluarga merekadalam perperangan di Gaza sekarang perlu dihentikan dan gencatan senjata hendaklah dilakukan segera.
Dalam satu bantahan senyap pada perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) yang menyaksikan peserta dan pengamal media itu berkumpulan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 November 2023 dengan menyuarakan kebimbingan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku mengorbankan lebih 11,000 warga Palestin termasuk 42 wartawan dan anggota keluarga mereka yang membuat liputan di zon perang berkenaan.
Mereka juga melancarkan gerakan Save Press 4 Gaza (SP4G) yang menyatukan semua suara pengamal dan pengiat media Malaysia, yang menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap jumlah kematian wartawan yang membuat liputan konflik itu sejak berlaku konflik di Semenanjung itu sejak 1992, demikian menurut badan Committee to Protect Journalists (CPJ). - KitaReporters
Kenyataan CPJ berbunyi:
"Dalam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza, Save Press 4 Gaza (SP4G), suara bersatu media Malaysia, menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap jumlah kematian wartawan yang membuat liputan konflik itu.
"Sebagai suara media Malaysia, berdiri dalam solidariti dengan rakan-rakan kami di Gaza, SP4G mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera dan kerajaan Israel menyasar wartawan dan keluarga mereka.
"Sebagai wartawan dan pekerja media, kami menyeru pemimpin bilik berita Barat untuk memastikan liputan yang jelas mengenai tindakan Israel terhadap rakyat Palestin, serta mengakui kekejaman yang telah berlaku.
"Serangan dan pengepungan oleh rejim Zionis sejak empat minggu yang lalu telah mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin, antaranya 42 wartawan - angka yang menandakan konflik paling teruk bagi pekerja media sejak 1992, menurut badan Committee to Protect Journalists (CPJ).
"Penemuan CPJ itu menekankan keperluan mendesak untuk menamatkan keganasan di Gaza, termasuk terhadap wartawan. Wartawan berdepan bukan sahaja cabaran dalam melaporkan konflik, tetapi juga risiko dari faktor lingkungan termasuk gangguan bekalan elektrik, kekurangan makanan dan air, serta sistem perubatan yang runtuh.
"Ini telah mengakibatkan kehilangan tragis wartawan, editor, jurugambar, dan penerbit yang bekerja tanpa jemu untuk membawa realiti konflik ke hadapan kesedaran global.
"Menyasarkan wartawan secara sengaja telah menjadi perkembangan yang membimbangkan. Ia terbukti dalam penyiasatan Reporters Without Borders ke atas serangan 13 Oktober Israel di Selatan Lubnan.
"Juruvideo Reuters Issam Abdallah kehilangan nyawanya dalam serangan itu, manakala enam wartawan lain mengalami kecederaan. Insiden sedemikian menyerlahkan lagi keperluan mendesak agar tindakan antarabangsa diambil bagi melindungi wartawan yang beroperasi di zon konflik.
"Seruan Palestinian Journalists Syndicate agar wartawan sedunia mengecam penyasaran rakan sekerja mereka sangat bermakna buat kami. Kami bersatu menyokong usaha berani mereka untuk melaporkan di tengah-tengah huru-hara dan kemusnahan di Gaza.
"Usaha mereka memainkan peranan penting dalam membawa realiti pahit konflik ke hadapan kesedaran awam, menjadikan mereka aset yang tidak ternilai kepada landskap media global.
"Save Press 4 Gaza (SP4G) bergabung tenaga dengan persatuan akhbar, termasuk Wartawan Tanpa Sempadan, Persatuan Wartawan Arab dan Timur Tengah, dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa, dalam menuntut komitmen yang jelas daripada Israel untuk menamatkan keganasan terhadap wartawan dan orang awam.
"Bilik berita Barat, yang mendapat manfaat besar daripada kerja wartawan Gaza, mesti mengambil langkah segera untuk memastikan perlindungan mereka dan mengutuk sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan mereka.
"Lebih-lebih lagi, kami menganggap bilik berita media Barat bertanggungjawab atas sebarang retorik yang tidak berperikemanusiaan yang mungkin menyumbang kepada mewajarkan penghapusan etnik rakyat Palestin.
"Media antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan integriti kewartawanan, memastikan liputan yang adil dan tepat tentang konflik yang sedang berlaku.
"Seruan untuk liputan yang adil dan penamatan penindasan telah diulangi, dan kami menggesa rakan sekerja kami di media Barat untuk menyahut seruan ini.
"Kami juga menuntut Badan Antarabangsa untuk menggesa gencatan senjata serta-merta dan menyalurkan bantuan segera bagi penduduk Gaza dan kawasan lain yang terjejas.
"Save Press 4 Gaza (SP4G) turut bersama dalam suara memperjuang keselamatan dan perlindungan wartawan, menegakkan prinsip kebebasan akhbar, dan memupuk landskap media global yang menghargai kebenaran dan keadilan di atas segala-galanya.
"Dunia sedang memerhati, dan sejarah akan mengingati tindak balas kolektif kita oadxa masa genting ini."
SP4G ini disokong oleh:
1. National Union Journalist (NUJ)
2. Gerakan Media Merdeka (Geramm)
3. Crime Journalist Association (CIJA)
4. Foreign Correspondent's Club Malaysia (FCCM)
5. Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM)
6. Kelab Wartawan KL & Selangor (KLS)
7. Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)
8. Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM)
9. Kelab Media Prima
10. Kelab Media Putrajaya
11. Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA)
12. Persatuan Pengamal Media Perak
13. Kelab Media Johor (KMJ)
14. Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS)
15. Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi)
16. Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT)
17. Pengamal Media Melaka (PENDIKA)
18. Kelab Media Pahang
19. Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (KERISEMAS)
20. Kelab Komunikasi Pahang
21. Persatuan Wartawan Perlis
22. Kelab Media Elit Kedah (KMEK)
23. Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA)
24. Kafebuzz Media
25. Kelab Met Harian Metro
26. Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (MMJA)