PUSPANITA KKR dukungi Malaysia Madani! Santuni warga emas Nur Hasanah! Manfaatkan sumbangan rakyat!
Published by.
Mohiadin Bahado memberi taklimat ringkas mengenai PJNH.
HAK rakyat kita kembalikan kepada rakyat terutama mereka yang memerlukan sokongan dan pembelaan untuk meneruskan kelangsungan hidup khususnya warga emas disisihkan oleh ahli keluarga dan dibiarkan terdampar di pusat jagaan.
Wang yang diinfak penyumbang kepada tabung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) seharusnya dimanfaatkan semula untuk mereka yang memerlukan bantuan sebagaimana diuar-uarkan Kerajaan Madani.
Pengerusi PUSPANITA Kementerian Kerja Raya (KKR), Datin Seri Rosmawati Hassan, berkata saranan yang disuarakan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan, Datin Sri Maheran Jamil dalam satu majlis baru-baru ini wajar diberi perhatian semua pucuk kepemimpinan PUSPANITA kerana masih ramai insan yang memerlukan pembelaan.
Rosmawati Hassan (empat dari kiri) melakukan gimik penyerahan barangan keperluan asas kepada Mohiadin.
Menurutnya, Yang Dipertua mahukan PUSPANITA bergerak aktif membantu masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum kerana mereka berhak menerima sumbangan yang diinfak penyumbang kepada PUSPANITA.
“Bagi pusat jagaan warga emas adalah tidak mampu untuk kita menjaga atau mengurus mereka, maka adalah bermanfaat jika PUSPANITA menghulurkan sumbangan yang diperlukan pihak pengurusan sebagai meringankan bebanan kos operasi,” ujarnya ketika menyuarakan saranan Yang Dipertua PUSPANITA.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Tanggungjawab
Sosial Korporat (CSR) Ziarah Kasih anjuran PUSPANITA Cawangan KKR di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 12 Disember
2024.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; dan wakil serta ahli PUSPANITA cawangan dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pesara.
Rosmawati (duduk kiri) bersama-sama Ahli PUSPANITA Cawangan KKR, JKR dan CIDB merakamkan kenangan dengan warga emas Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor.
Program CSR berkenaan dimulakan dengan sesi suai kenal
bersama pengurusan PJNH, warga emas, aktiviti permainan menyantuni penghuni
yang dikendalikan oleh Setiausaha PUSPANITA Cawangan JKR, Normawati Mohamad, menukar
cadar tilam dan diakhiri dengan makan tengah hari serta penyampaian sumbangan barangan
keperluan asas disamping wang derma.
Rosmawati berkata, program CSR berkenaan merupakan usaha
biro kebajikan PUSPANITA itu dalam merealisasikan kerja amal kebajikan serta
menunjukkan keprihatinan KKR menjalinkan hubungan dengan masyarakat luar termasuk
mereka yang memerlukan pembelaan dan bantuan sokongan.
Menurutnya, usaha itu menepati saranan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan yang menyarankan supaya wang sumbangan orang ramai digunakan atau dipulangkan semula kepada masyarakat menerusi program SCR termasuk di pusat jagaan warga emas sebagaimana diuar-uarkan Kerajaan Madani sekarang.
Rosmawati bersama-sama ahli PUSPANITA bekerjasama menukar cadar tilam baharu untuk katil warga emas.
Justeru itu, tambahnya, program CSR berkenaan juga menjadi platform
untuk PUSPANITA cawangan KKR meneruskan jalinan hubungan silaturahim dengan
PJNH di samping sebagai penghargaan kepada pengurusan serta petugas yang jujur
dan bertanggungjawab menjaga warga emas.
“Saya juga amat berharap program SCR ini turut membuka minda dan kesedaran serta memupuk semangat kepada ahli untuk bertanggungjawab menjaga ibu bapa selagi mereka masih hidup,” ujarnya.
Mohiadin menerima sumbangan daripada Rosmawati.
Sementara itu, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pula dikunjungi Kumpulan Ummu Azwar yang juga mengadakan program Ziarah Kasih Berkongsi Rezeki dengan menghulurkan sumbangan kewangan dan cenderahati kepada warga emas pada 15 Disember 2024.
Wakil Kumpulan itu, Azizah Awang, berkata sumbangan yang dihulurkan itu akan menjadi pendorong kepada ahli kumpulan berkenaan untuk berkunjung sekali lagi bagi mengadakan pelbagai aktiviti termasuk menyediakan makanan yang dimasak sendiri untuk warga emas.
Jelasnya, kumpulan itu yang baru sahaja ditubuhkan sembilan
bulan lalu kini bergerak dalam kelompok yang kecil dan didapati amat berkesan melaksanakan
program amal kebajikan untuk membantu pusat jagaan, rumah anak yatim, asnaf dan
keluarga miskin.
“Program di PJMM adalah aktiviti kedua selepas ditubuhkan dan kami berharap warga emas yang disantuni ini sentiasa menjaga kesihatan diri disamping saling menghormati dan membantu antara satu sama lain,” katanya. - KitaReporters
Azizah Awang (dua dari kiri) meramah mesra dengan seorang penghuni PJMM.