Dulu kereta berhias, kini ada bot berhias! Perarakan 30 bot berhias di laut! Sempena Hari Malaysia!

Published by
KitaReporters

Mohamad Zul Ikhwan Mohamad (tiga kanan) yang memenangi tempat pertama bergambar dengan ahli keluarga yang menyertai pertandingan bot berhias di jeti Sungai Kerang, Bukit Gantang.


Perarakan Bot Berhias yang diadakan sempena Hari Malaysia meriah apabila pertandingan bermula di jeti Nelayan Sungai Kerang, Bukit Gantang itu melakukan perarakan di laut.

Ia disertai nelayan yang bertungkus lumus menghiaskan 30 bot mereka dengan pelbagai kreativiti hiasan seperti membeli dan memasang bendera Malaysia berwarna warni di setiap bot yang menyertai perarakan itu.
Perarakan bot berhias ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal selepas kali pertama diadakan pada 2022.
Inisiatif Ahli Parlimen Bukit Gantang ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan nelayan tempatan.
Menurut beliau, dia mendapat idea untuk mengadakan pertandingan di laut kerana perarakan seperti ini tidak pernah diadakan di laut berbanding pertandingan berhias di darat.

Suasana yang menarik itu, bagi Syed Abu Hussin, pengunjung juga boleh berehat, makan dan bermalam di kelong-kelong (rumah terapung) di laut.


Pemenang pertandingan bot berhias bergambar dengan hadiah yang dimenangi masing-masing.


“Pelancong juga boleh menempah kelong dan saya mahu nelayan dapat menambahkan pendapatan mereka.
“Saya berhasrat menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong ini sebagai kawasan agropelancongan yang menarik berlandaskan sungai, laut dan hasilnya,” katanya kepada media di jeti nelayan Sungai Kerang pada 16 September 2024 lalu.
Syed Abu Hussin menjelaskan pihaknya akan menarik pelancong untuk datang ke Bukit Gantang bagi menikmati pemandangan matahari terbenam (sunset) pada waktu petang di kawasan laut.
Beliau berkata, kawasan ini akan membangun dan nelayan boleh menjual produk masing-masing seperti menyewa bot dan umpan untuk memancing.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, pembangunan di kawasan ini akan memberikan nelayan pulangan pendapatan yang baik demi masa depan mereka,” katanya.
Sementara itu, nelayan  Mohamad Zul Ikhwan Mohamad memenangi tempat pertama perarakan dengan meraih hadiah wang tunai RM5,000; kedua Mohd Hafiz Saad (RM3,000); ketiga Mohd Aman Ibrahim (RM 2,000), keempat Mohd Syukur Saedin (RM1,000) dan kelima Ramli Saleh (RM 500). - KitaReporters

11
16
0
9
0

Copy Link: