Diari Mama Masscom| Laporan Khas| Sakit mental tak dapat dijangka! Pesakit, famili perlukan bantuan!
Published bySakit mental adalah sesuatu yang tidak dapat dijangkakan. Adakala seseorang itu normal masa remaja tetapi mendapat sakit mental apabila menjangkau usia dewasa. Ada juga mendapat sakit mental selepas mengalami trauma dalam kehidupan.
Banyak faktor yang menyebabkan sakit mental ini terjadi, antaranya gangguan pola kehidupan, gangguan pada fungsi otak kerana cedera, kekurangan nutrisi, stres yang melampau, faktor genetik, kerisauan melampau, trauma kehidupan dan banyak lagi.
Mereka yang menderita sakit mental akan terganggu fungsi kehidupan mereka, Dari yang boleh bekerja tidak lagi dapat menjalankan pekerjaan. Adakalanya untuk bangun tidur juga sangat sukar mereka lakukan.
Kehidupan mereka menjadi tidak teratur dan akan membebankan keluarga untuk menanggung mereka dan menjaga mereka yang adakalanya boleh menjadi agresif dan tidak terkawal tingkah laku mereka.
Menurut Dr Aida Harlina Abdul Razak, Pakar Perubatan Psikiatrik Hospital Cyberjaya antara tanda-tanda awal sakit mental adalah delusi iaitu mempercayai sesuatu yang tidak benar umpamanya percaya ada orang meletak racun dalam makanannya. Halusinasi mendengar bisikan suara suara ghaib yang menyuruh membuat sesuatu.
Perasaan sedih dan cemas yang melampau atau over thinking, gangguan makan, iaitu makan yang terlalu sikit, tidak ada selera sehingga badan menjadi kurus atau makan terlalu banyak.
Gangguan tidur, marah berlebihan, mengamok, perlakuan yang kurang normal seperti menjerit-jerit, mengamok, bercakap sendirian gelak sendirian.
Jika ada tanda-tanda sedemikian pada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, bawalah mereka berjumpa pakar untuk mendapat bantuan awal supaya pesakit boleh dirawat dengan segera dan membantu pesakit supaya tidak menjadi lebih teruk.
Dr Aida Harlina juga memberitahu, jika pesakit dapat makan ubat dengan teratur, mengikut aktiviti yang diatur mereka ini boleh baik. Ini tidak mustahil katanya.
Dalam kaitan yang sama penulis mempunyai seorang anak yang disahkan menghidap skizofrenia, sejenis sakit mental sejak 18 tahun yang lalu. Ketika disahkan sakit mental anak penulis baru beruisa 24 tahun sekarang dia sudah berusia 42 tahun.
Apa yang boleh penulis luahkan ialah, bukan mudah untuk mengurus pesakit mental. Mereka perlu makan ubat setiap hari, mereka perlu berjumpa pakar, mendapat kaunseling dan rehab yang bersesuaian dengan diri mereka.
Bukan mudah untuk menjaga pesakit mental, kerana mereka ini sangat sukar diramalkan. Mereka telah hilang kefungsian hidup di mana mereka tidak lagi dapat menjalankan aktiviti harian kerana kegagalan otak berfikir secara normal.
Mereka nampak seperti malas tetapi hakikatnya mereka sudah tidak boleh menjalankan fungsi hidup seperti mandi, buat kerja rumah, bersigat simpati dan empati serta mereka menjadi manusia yang kurang perasaan.
Adakalanya pesakit mental ini sangat sukar diramalkan. Mereka boleh menjadi agresif dengan tiba-tiba. Oleh yang demikian, keluarga dan masyarakat setempat perlu sama-sama membantu mereka yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental supaya dapat menjalani kehidupan normal secara perlahan-lahan dengan bantuan semua pihak.
Jangan diletakkan beban menjaga pesakit mental hanya kepada keluarga, masyarakat sekeliling juga harus cakna dengan masalah ini dan memberi bantuan secara tenaga, nasihat atau apa juga yang boleh membantu pesakit mental dan keluarga mereka.
Masalah pesakit mental adalah masalah bersama, masyarakat tidak boleh menyisihkan mereka sebaliknya bantu pesakit untuk lebih yakin menghadapi hidup. - KitaReporters
Pesakit mental sering menjadi anti sosial. Kembalikan mereka pada masyarakat.