Banyakkan amalan walaupun disisih! Uniti Consultants santuni warga emas Nur Hasanah sambut Ramadan!

Published by
KitaReporters

Nazemi Mat (kanan) bersama warga emas dan kakitangan Uniti Consultants Sdn Bhd membaca surah Yasin.


Bulan Ramadan adalah masa untuk kita umat Islam berfikir dan bermuhasabah diri sendiri, mempertingkat amal ibadat termasuklah bersolat, membuat kerja amal kebajikan serta meluangkan masa dengan keluarga, sanak saudara di samping sahabat handai.

Selain itu, dengan berpuasa kita umat Islam mengharapkan dapat meningkatkan disiplin diri serta menjadikan seseorang bersikap pemurah apabila mengingati kesusahan hidup sebahagian mereka yang tidak berkemampuan.

Pengarah Urusan Uniti Consultants Sdn Bhd, Ir Ts Nazemi Mat, berkata namun bagi sesetengah warga emas yang menghuni pusat jagaan, seharusnya berasa bertuah kerana disantuni dengan baik serta sempurna untuk menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan. 

Menurutnya, sehubungan itu mereka seharusnya berazam untuk tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan ibadat puasa bersama rakan-rakan penghuni lain dengan menganggap Ramadan itu yang terakhir walaupun tersisih daripada keluarga tersayang.


Kakitangan Uniti Consultants Sdn Bhd menyediakan sarapan untuk diagihkan kepada warga emas PJNH.


Tambahnya, sepanjang menunaikan ibadat puasa itu semaikan dalam hati untuk melakukan tiga perkara iaitu memohon keampunan serta keberkatan hidup dengan bersungguh-sungguh daripada Allah SWT serta untuk rajin berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya, warga emas di pusat jagaan tidak perlu terlalu bersedih apabila saban tahun terpaksa berpuasa tanpa ditemani orang tersayang seperti anak atau saudara mara, sebaliknya manfaatkan bulan mulia itu untuk memperbaiki diri serta meningkatkan amalan.

“Justeru Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) contoh sebagai tempat terbaik untuk warga emas yang menjadi penghuninya memperbaiki dan bermuhasabah diri semoga dosa lampau diampuni Allah SWT,” ujarnya kita berucap pada majlis penutup program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ziarah Kasih dan Semarak Ramadan 2025 bersama penghuni PJNH, Beranang, Selangor, pada 22 Februari 2025.


Kakitangan Uniti Consultants Sdn Bhd bergotong-royong membersih persekitaran dalaman PJNH.


Pada program itu Nazemi bersama-sama kakitangan syarikat berkenaan mendahulukan aktiviti dengan menyantuni penghuni bersarapan kemudian disusuli bacaan Yasin serta doa selamat, dan diikuti acara mengunting rambut warga emas, bergotong-royong membersih persekitaran luar dan dalam PJNH sempena menyambut bulan Ramadan serta diakhiri makan tengah hari. 

Beliau berkata, syarikat itu menganjurkan program CSR di PJNH adalah untuk berkongsi rezeki dengan menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas serta menyampaikan zakat perniagaan yang akan dapat membantu menampung kos perbelanjaan harian dan sebagainya.

Tambahnya, langkah itu juga sebagai pendedahan kepada kakitangan syarikat mengenai amalan membayar zakat dan bersedekah di samping menyedarkan mereka akan tanggungjawab untuk turut membela nasib warga emas yang tersisih di pusat jagaan.

“Kami turut berasa gembira apabila melihat perubahan persekitaran PJNH semakin baik dan selesa untuk dihuni oleh warga emas berbanding tujuh tahun lalu pada awal beroperasi apabila kakitangan syarikat sudah berganding bahu bersama-sama dalam program CSR di pusat ini,” ujarnya


.

Nazemi menyampaikan zakat perniagaan dan barangan keperluan asas kepada Mohiadin Bahado sambil diperhatikan oleh Ir Ahmad Hilmi (kanan).


Sementara itu, Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan, Ir Ahmad Hilmi, menzahirkan rasa gembira dapat mengunjungi semula PJNH untuk melaksanakan program CSR yang menjadi tanggungjawab setiap organisasi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Jelasnya, sempena kedatangan bulan Ramadan tidak berapa lama lagi, syarikat ingin berkongsi kegembiraan dengan warga emas di PJNH serta suntikan semangat untuk mereka menunaikan ibadat puasa walaupun tanpa ahli keluarga di sisi.

“Kami di syarikat akan sentiasa mengingati warga emas di pusat ini dan akan sedia membantu serta menghulurkan bantuan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan seperti ibu bapa yang dijaga anak di rumah,” ujarnya lagi.


Ahmad (kiri), Nazemi (empat dari kiri) dan kakitangan Uniti Consultants Sdn Bhd berbual mesra dengan warga emas PJNH.


Nazemi dan Mohiadin merakamkan kenangan bersama warga emas dan kakitangan Uniti Consultants Sdn Bhd selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ziarah Kasih dan Semarak Ramadan 2025.

17
18
0
10
0

Copy Link: