REMAJA yang terbabit gejala sosial mendapat peluang kedua di bawah bimbingan Raudhatus Sakinah. - Kredit foto: Raudhatus Sakinah.


KETIKA Rosmawati Zainal mula membabitkan diri bersama Raudhatus Sakinah (RS) pada 1998, badan NGO yang diasaskan oleh kaunselor terkenal waktu itu, Fauziah Salleh (kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), ia lebih berfungsi sebagai rumah perlindungan kepada remaja perempuan yang terlanjur dan hamil luar perkahwinan.

Tapi, kini selepas 27 tahun, beliau, yang kini bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, mendapati RS perlu memainkan peranan lebih besar bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus terjebak dan hanyut dalam gejala sosial yang makin menggila.

Ini kerana rumah perlindungan dan didikan itu hanya mampu menampung seramai 35 orang pada satu masa sedangkan jumlah remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial sudah berada pada tahap kronik.

Menurut Rosmawati atau lebih mesra dengan panggilan Ummi Ros, sejak ditubuhkan, RS sudah membimbing hampir 2,000 remaja perempuan untuk kembali ke pangkal jalan dengan 80 peratus berjaya dipulihkan.


UMMI Ros menubuhkan Raudhatus Sakinah demi menyelamatkan anak-anak gadis yang terbabas dari landasan hidup.


Namun, statistik menunjukkan, jumlah remaja terbabit gejala moral meningkat dari setahun ke setahun sehingga rumah perlindungan dan pemulihan seperti RS tidak lagi mampu menampung.

"Raudhatus Sakinah sentiasa full house. Malah ramai yang masih dalam senarai menunggu untuk mendaftar masuk ke sini.

"Ada ibu bapa yang merayu untuk menempatkan anak mereka di sini tapi kami terpaksa menangguhkan atau menolak kerana kuota sudah penuh.

"Rumah ini hanya mampu menampung seramai 35 penghuni pada satu masa. Setiap penghuni perlu menjalani pemulihan selama dua tahun.

"Kadang-kadang memang saya simpati dengan ibu bapa yang mengharap tapi apakan daya, kami tak mampu membantu. Selalunya, jika mahu segera, saya sarankan mereka cuba cari rumah bimbingan lain," kata Ummi Ros.


PENGHUNI dipimpin kembali ke pangkal jalan menerusi sesi kaunseling, motivasi dan bimbingan agama.


Menurut Ummi Ros, situasi itu jelas menunjukkan ramai ibu bapa hari ini sedang berdepan dengan cabaran yang besar dalam mendidik anak-anak mereka.

"Setiap hari, saya menerima panggilan daripada ibu bapa mengadu hal mengenai anak mereka, meminta nasihat dan panduan.

"Kes yang diadu pula bukan biasa-biasa tapi membabitkan isu moral yang kronik terutama berkaitan gejala seks," katanya.

Ummi Ros berkata, berdasarkan kes yang mereka terima, juga menerusi kajian dilakukan, kecenderungan remaja hari ini bukan saja membabitkan keterlanjuran sebaliknya sudah melarat kepada kes seks bebas dan seks sesama jenis atau LGBT.

"Dulu, kebayakan kes dirujuk kepada kami adalah kes terlanjur sehingga hamil anak luar nikah tapi sekarang ramai yang terbabit seks bebas dengan ramai pasangan, seks sesama jenis (lesbian dan gay).

"Ia seolah-olah jadi budaya dan dianggap satu keseronokan sehingga mereka tidak punya rasa takut akan risikonya, jauh sekali berasa bersalah atau berdosa," ujar Ummi Ros lagi.


ADA antara mereka tidak percaya wujudnya Tuhan, syurga dan neraka. Di manakah iman mereka? - UMMI ROS.


Beliau berkata, pengalaman mengendalikan RS menunjukkan anak-anak yang terbabit dengan gejala tidak bermoral berpunca daripada tiada didikan agama.

"Ada anak-anak yang masuk ke sini tidak tahu bagaimana mengerjakan solat sedangkan ia perkara asas dalam agama. Jangan cakap soal lain seperti berpuasa dan sebagainya.

"Malah, dalam soal akidah, ada antara mereka tidak percaya wujudnya Tuhan, syurga dan neraka. Kalau begitu, di manakah iman mereka? Jadi, tak hairan jika mereka tidak dapat membezakan dosa dan pahala. Mereka tidak ada pegangan.

"Bila kita selidik, rupa-rupanya, mereka bukan saja tidak pernah dididik, malah ibu bapa mereka sendiri tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah."


TEKANAN antara punca remaja terjebak gejala negatif. - Gambar hiasan


Selain itu, menurut Ummi Ros, ledakan teknologi tanpa kawalan, persekitaran, masalah keluarga dan tekanan hidup juga menjerumuskan remaja kepada gejala sosial.

"Anak-anak hari ini mudah terdedah pada bahan pornografi sehingga mempengaruhi mereka untuk mencuba. Akhirnya mereka jadi ketagih sehingga sanggup menggadai maruah diri.

"Keluarga yang berantakan, berlaku perceraian dan tekanan hidup seperti masalah kewangan juga mudah menjerat remaja kepada gejala maksiat.

"Ada remaja sanggup melacur diri untuk hidup mewah. Mereka menggunakan hasil pendapatan itu untuk membeli barangan berjenama, berhibur dan bercuti," katanya.


ABDULLAH Omar Muhamad Fuad, antara pembimbing di Raudhatus Sakinah.


Menurut Ummi Ros, untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan, RS perlu membimbing penghuni di situ berasaskan acuan Islam.

"RS bantu mereka secara spiritual, fizikal, emosi, mental dan sosial. Kami bimbing mereka kembali mengenal dan menghayati agama. Di sini, selain bimbingan kaunseling, penekanan diberi kepada asas agama seperti rukun iman, bimbingan fardhu ain, membaca dan menghayati Al Quran, hadis, bahasa Arab dan sebagainya.

"Kami juga tidak mengabaikan ilmu dunia seperti mempelajari Bahasa Inggeris. Malah, bagi penghuni yang bakal menduduki peperiksaan SPM, kami sediakan kelas tuisyen.

"Selain itu, ilmu asas kehidupan seperti memasak tidak dilupakan. Malah, kini kami membimbing mereka dalam kelas bakeri. Hasil air tangan mereka kami jual sebagai usaha menambah dana RS.


PENGHUNI Raudhatus Sakinah turut dibimbing dalam kelas bakeri.


"Alhamdulillah, setakat ini, 80 peratus penghuni RS berjaya dipulihkan, malah ada alumni yang berjaya dalam kerjaya. Ada antara mereka menjadi pensyarah, guru, jururawat dan ahli perniagaan.

“Tapi, kejayaan RS memulihkan mereka turut dibantu oleh komitmen keluarga. Selain menyokong, mereka juga mengambil inisiatif memperbaiki kelemahan diri sendiri kerana jika mereka tidak turut berubah, sukar untuk merubah anak mereka,” katanya.

Begitupun kata Ummi Ros, RS hanya mampu membantu sebahagian remaja sedangkan di luar sana terdapat ribuan remaja yang perlukan bimbingan. Sudah sampai masanya semua pihak memainkan peranan untuk menangani masalah ini.


RAUDHATUS Sakinah mengambil pendekatan mencegah menerusi program yang dianjurkan bersama sekolah dan pusat pengajian tinggi.


Justeru RS sendiri, selain membimbing remaja di pusat bimbingan, mula mengorak langkah di luar dengan menganjurkan pelbagai program kesedaran dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah dan penuntut pengajian tinggi.

“Kami aktif bergerak menerusi program motivasi bersama sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi. Usaha ini lebih bersifat untuk mencegah dengan memberi penerangan serta kefahaman kepada pelajar dan penuntut risiko ke atas masa depan mereka jika terjebak dalam gejala negatif itu.

“Saya yakin usaha pencegahan sebegini lebih berkesan. Kata orang mencegah lebih baik daripada merawat. Tapi, untuk mencapai matlamat, semua pihak perlu memainkan peranan.

“Keadaan makin kronik. Ayuh! Kita sama-sama berganding bahu mencegah sebelum lebih parah,” kata Ummi Ros.

Pada masa sama, Raudhatus Sakinah juga memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pengurusan. Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan sama ada secara peribadi atau syarikat boleh hubungi terus talian 019 3451922  - KitaReporters

15
15
0
13
1

Copy Link: