Siti NorKhayati Rabani (berdiri) menyantuni warga emas di Bait Al-Mawaddah


Wanita punya naluri dan jiwa yang halus, cepat kasihan dan penuh dengan kasih sayang. Sifat-sifat wanita yang mudah memahami dan senang untuk diajak berbual dan penuh keprihatin, menjadikan mereka ini sangat sesuai untuk mengurus rumah-rumah kebajikan, menjalankan aktiviti amal sama ada untuk warga emas, anak-anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. 

Ramai wanita telah membuktikan mereka mampu membantu golongan yang tidak bernasib baik dan menjaga kebajikan golongan yang memerlukan. 

Pengurus dan Ketua Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani dan Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi adalah dua wanita yang menguruskan Pusat Warga Emas yang agak ramai penghuninya. 

Kedua-dua wanita ini berwajah lembut dan terserlah sifat kasih sayang daripada cara mereka menyantuni penghuni di kedua-dua Pusat Penjagaan Warga Emas berkenaan. Mereka mempunyai beberapa kakitangan dan pembantu dalam menguruskan rumah jagaan ini.


Pengurus dan Ketua Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah


Siti Norkhayati Rabani adalah Pengurus dan Ketua Bait Al-Mawaddah sebuah Pusat Penjagaan Warga Emas di bawah penyeliaan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Beliau telah berkhidmat dengan LZS selama 26 tahun dan di Pusat Penjagaan Warga Emas ini, beliau telah berbakti selama 8 tahun. 

Beliau yang berasal dari Klang dan mendapat pendidikan dalam Sarjana Muda Pengurusan dari Open University Malaysia memberitahu, pengalaman menjadi pengurus di sini banyak mengajarnya menjadi seorang yang penyayang dan sabar serta memahami jiwa orang yang telah melalui fasa tua. 

Bagi Siti Norkhayati menjaga orang tua perlu disertakan dengan sifat kasih sayang dan keprihatinan yang mendalam. 

"Anggaplah warga emas ini sebagai ibu dan ayah kita, layan mereka dengan baik, prihatin kepada mereka kerana mereka ini sangat memerlukan kasih sayang dan perhatian kita," katanya.  

Menurutnya lagi, warga emas yang mendapat perlindungan di situ terdiri daripada mereka yang tidak punyai waris, sebatang kara, dibuang oleh saudara mara dan hidup terbiar. Jika dikaji latar belakang mereka memang menyedihkan kata Siti Norkhayati lagi. Ada yang dulunya pernah hidup senang tapi pada usia tua mereka hidup sendirian dan terbiar. 


Siti Norkhayati Rabani


Siti Norkhayati berusia 50-an ini, mempunyai 4 orang anak dan dua orang cucu memberitahu, antara cabaran utama pihaknya ialah dalam mencari dan mengenal pasti waris-waris warga emas di sini. 

Ini kerana kebanyakan yang masuk ke Bait Al-Mawaddah ini tidak ada waris kerana selama ini mereka hidup bersendirian dan ada yang tinggal bersama rakan. Ada antara mereka juga sudah lupa asal usul tak ingat alamat dan keadaan mental yang kurang sihat akibat tua.  

Beliau berkata, waris amat penting kerana apabila berlaku kematian, atau kemasukan ke wad hospital untuk pelbagai prosedur, hospital biasanya mencari waris terdekat. Begitu juga dalam hal kematian umpamanya apabila nak keluarkan jenazah, hospital cari waris terdekat.

Cabaran seterusnya bagi beliau ialah semua penghuni mempunyai latar belakang yang berbeza, cara hidup yang berbeza, sifat diri yang berlainan dan bermacam-macam perangai. 

Untuk menyatukan hati hati mereka bukan mudah, maka tugas beliau dan kakitangan di Bait Al Mawaddah ialah menyatukan penghuni-penghuni ini dengan menyuntik sifat kasih sayang sesama mereka serta memberikan penghuni keselesaan dalam pebagai bentul fizikal dan emosi. 

Menurutnya kakitangan di Bait Al Mawaddah adalah mereka daripada golongan muda yang terlatih dalam menangani warga emas.

Bagi Siti Norkhayati, menjaga warga emas di pusat jagaan ini adalah sebagai satu kesinambungan menjaga arwah ibu dan bapanya sendiri yang sudah meninggal dunia. 


Nurul Atikah Mohd Azmi


Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi, 36 tahun, mengambil alih tugas sebagai pengurus dan Pengerusi Al-Fikrah Malaysia setelah arwah bapanya Pengerusi Al Fikrah, Mohd Azmi Md Zain meninggal pada bulan Ogos 2021. 

"Pusat Jagaan Al-Fikrah telah beroperasi selama 12 tahun dan selama itu saya hanya bertugas sebagai penyelia pusat jagaan sahaja. Namun begitu selepas ayah meninggal, baru saya mengambil alih sepenuhnya. Sehingga kini sudah hampir 3 tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia," katanya.

Bagi Nurul Atikah cabaran yang paling utama adalah bagaimana beliau dapat meneruskan untuk menjaga dan melengkapi keperluan penghuni Al-fikrah jika tiada sokongan daripada masyarakat luar. 



Menurutnya lagi masalah besar yang beliau hadapi selepas mengambil alih Pusat jagaan ini adalah apabila mendapat notis arahan supaya mengosongkan premis pusat jagaan dalam beberapa bulan.

"Masa tu saya memang sangat sedih dan sumber kewangan kami hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai. Dalam keadaan ekonomi negara sekarang yang semakin meningkat, semua kos sara hidup terlalu tinggi. 

"Tidak mudah untuk mencari dana atau sumbangan buat ayahanda bonda Al-Fikrah, kami memerlukan minimum RM70,000 untuk seramai 70 penghuni yang terdiri daripada 50 lelaki dan 20 perempuan," katanya lagi.

Nurul Atikah yang sudah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak bersyukur mempunyai suami yang menyokongnya meneruskan kesinambungan Rumah Jagaan Warga Emas ini setelah diserahkan kepada beliau oleh arwah ayahnya. Baginya tanpa sokongan dan bantuan suaminya seorang peniaga pasti sukar untuk beliau meneruskan Pusat Penjagaan ini. 

Bagi Nurul Atikah untuk menguruskan pusat penjagaan warga emas dan OKU ini beliau dan kakitangannya perlu banyak bersabar dan menyantuni semua penghuninya dengan baik. 

Baginya orang tua dan warga OKU memang banyak karenahnya, tapi jika boleh diurus dengan baik mereka pasti gembira sebab kita telah memberi mereka tempat perlindungan dan berkongsi kasih sayang dengan mereka. 

"Mereka sudah tidak ada sesiapa lagi, jadi kamilah keluarga mereka di sini" jelas Atikah. - KitaReporters


Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia

 

17
10
1
14
0

Copy Link: