Datuk Bandar MBDK, Noraini Roslan melihat sendiri kerja-kerja tundaan kenderaan berat


Kesesakan lalu lintas di bandar raya Klang kerana kenderaan berat diparkir di kawasan tertumpu dan kawasan perumahan menyebabkan ramai penduduk membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). 

Ekoran daripada banyak aduan yang diterima daripada penduduk, MBDK telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan menunda kenderaan berat yang parkir di kawasan berkenaan. 

Menurut Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz tindakan menunda kenderaan berat berkenaan telah dilaksanakan pada bulan Julai 2024 ini selepas menerima banyak aduan daripada penduduk yang tidak puas hati kerana kenderaan berat yang diparkir di kawasan tumpuan dan perumahan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kesukaran untuk masuk ke kawasan perumahan.


Penguatkuasa memeriksa kenderaan yang diparkir di tepi jalan


“Tindakan penguatkuasaan ini adalah untuk mendidik pengguna lalu lintas terutama pengusaha atau pemilik kenderaan berat agar lebih berdisiplin dalam mematuhi undang-undang dan berhemah dalam mengendalikan kenderaan berat,” kata Norfiza.

Norfiza juga menjelaskan, kewujudan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Selatan dan Pelabuhan Barat adalah antara faktor penyumbang kemasukan kenderaan berat yang banyak setiap hari. 

Ini ditambah dengan sikap tidak berdisiplin pemandu kenderaan berat yang meletakkan kenderaan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dikawal.

“Kewujudan pelabuhan ini menyebabkan kadar pengangkutan terutama kenderaan mengangkut kontena dan lori perdagangan amat tinggi di bandar ini sehingga MBDK kerap menerima aduan daripada penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-23826 atau talian pejabat Jabatan Penguat Kuasa MBDK menerusi talian 03-3374 8845. - KitaReporters


Kerja-kerja menunda dilaksanakan.

13
11
0
13
0

Copy Link: