Pemilih berdaftar pasti tidak sabar menanti tarikh keramat 19 November 2022 untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan baharu Malaysia. 

Sejarah bakal tercipta apabila buat pertama kalinya golongan berusia 18 hingga 20 tahun akan merasai pengalaman keluar dan melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Kebenaran untuk mereka mengundi adalah susulan pindaan kepada Perlembagaan, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik yang diwartakan serta berkuat kuasa pada Disember 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hari mengundi

  


Jom kongsi keterujaan pengundi muda untuk memangkah calon pilihan dan pendapat mereka terhadap kriteria calon wakil rakyat :


Darwishah Nordin,19


Pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kota Bharu, Kelantan, Darwishah Nordin, 19, ternyata teruja selepas mendapati namanya tercatat sebagai pemilih selepas membuat semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Walaupun tidak begitu mengenali bakal-bakal calon wakil rakyat, Darwishah belum buat keputusan sama ada memangkah calon bersandarkan parti atau individu yang bertanding, namun dia tetap teruja untuk membuang undi.

Pada pengamatannya, calon mestilah individu yang boleh memberi ‘servis’ terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. 

“Pilihan saya sudah semestinya calon yang jujur dan ikhlas melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan tidak memilih ‘bulu’ dalam menyalurkan bantuan.

“Saya begitu teruja untuk balik mengundi kerana inilah peluang yang ada untuk saya memilih wakil rakyat yang sedia mendengar suara anak muda dan membantu menyelesaikan masalah penduduk,” katanya ketika dihubungi pada 27 Oktober 2022.


Mahirah Fasehah Ahmad Termizi,20


Mahirah Fasehah Ahmad Termizi, 20, pula berkata, dia lebih mengutamakan latar belakang calon bakal dipilih dan bukan hanya bersandarkan parti.  

“Bagi saya, sama ada calon itu muda atau tua biarlah dia bertanggungjawab dalam menggalaskan tugas dan memiliki aura kepimpinan yang tinggi.

“Saya mahukan calon yang mempunyai wawasan, tidak memainkan isu perkauman melampau dan anak tempatan yang memahami situasi tempat yang akan diwakilinya,” kata pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu. 

Insyirah Iszarizal, 19, juga nyata teruja kerana peluang diberikan kepada orang muda membuat pilihan.

“Calon pilihan saya mestilah yang bertangungjawab, mesra rakyat dan mudah diakses. Kalau orang muda lebih baik, mudah faham kehendak orang muda,” kata pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan itu.


Muhammad Mirza Mikail,20


Tiga beradik, Muhammad Mirza Mikhail Mohd Mahathir, 20; Muhammad Mirza Mukhriz, 19; dan Siti Shameera, 18, pun tidak sabar menanti tarikh keramat berkenaan.  

“Kami sangat teruja untuk mengundi bersama ibu dan ayah.

“Semangat nak mengundi berkobar-kobar kerana sebelum ini, kami hanya menemani mereka sahaja dan seronok melihat suasana di pusat membuang undi,” kata Muhammad Mirza Mikail yang juga pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ditanya mengenai kriteria calon, Muhammad Mirza Mikhail lebih suka memilih calon muda, berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman bekerja dan wawasan untuk berkhidmat. 

“Sudah pasti saya akan memilih calon yang benar-benar layak, bekerja untuk rakyat dengan cekap, jujur dan amanah. 

"Saya yakin calon UMNO/Barisan Nasional (BN) memiliki ciri-ciri sebenar seorang pemimpin,” katanya.


Muhammad Mirza Mukhriz


Muhammad Mirza Mukriz pula mengakui tidak sabar untuk mengundi kerana berpeluang memilih pemimpin yang komited mengenai pembangunan dan kemajuan kawasan yang diwakilinya.

“Sebagai pengundi muda, sudah pasti saya mahukan calon yang berwibawa, berwawasan, muda, cekap dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

“Andai calon itu orang lama tetapi penuh pengalaman dan keazaman membantu rakyat, kita perlulah membuat pilihan tepat,“ kata pelajar Kuantan itu.

Siti Shameera yang baru mencecah usia 18 tahun pada September 2022 lalu mengakui perasaannya bercampur baur untuk mengundi.

“Saya baru sahaja habis duduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan masih belum faham sepenuhnya mengenai iklim politik negara dan proses pilihan raya.

“Mengenai calon pula, kalau boleh biarlah orang muda yang boleh bekerja dengan baik dan calon berumur pun tidak mengapa asalkan boleh jaga rakyat,“ kata pelajar Kolej Matrikulasi Gambang itu.

Jangan silap pilih calon ya adik-adik. Pilihlah calon yang selayaknya. Jangan dipersiakan peluang yang diperoleh. Undi anda penentu menang atau tewas calon bertanding. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

12
9
0
11
0

Copy Link: