Mahasiswa hampir putus asa hadir majlis konvokesyen! Selepas rumah kediaman dilanda banjir besar!
Published byBANJIR besar luar biasa yang melanda Hulu Terengganu pada penghujung Februari 2022 lalu amat meruntum hati graduan Sarjana Muda Pengurusan Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ashikin Alias @ Abdul Latiff, 26 tahun.
Rumah pusaka peninggalan arwah ibu dan ayah yang didiami bersama suami dan adik bongsu di Kampung Menerong, Hulu Terengganu tidak terkecuali daripada dilanda bencana tersebut.
Asyikin hampir berputus asa untuk membuat persiapan sempena majlis konvokesyen ke 19 universiti tersebut kerana semua barangan penting di rumah tersebut juga lenyap dihanyutkan bah besar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan konvokesyen
Asyikin merakam gambar kenangan bersama suami selepas menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 UMT.
Menurutnya, pakaian konvokesyen bersama suami turut dihanyutkan oleh air banjir yang tidak disangka-sangka melanda kampung kediaman mereka.
"Fail sijil-sijil saya juga tidak sempat diselamatkan dan rosak ditenggelami banjir," katanya.
Beliau berkata, dia memang sedih dan terkejut kerana sepanjang hayat tidak pernah berlaku banjir besar sebegini.
Namun, katanya dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dan sempat menyelamatkan diri di kawasan yang lebih tinggi berikutan air naik secara mendadak.
Katanya, barangan lain juga tidak dapat diselamatkan.
Ashikin membersih lumpur selepas rumahnya dilanda banjir pada Februari 2022
"Sedih melihat barangan peninggalan arwah musnah namun saya kuatkan hati dan ditenangkan oleh suami. Insya-Allah selepas ini kami akan bangkit dan bina hidup baru," ujarnya.
Ashikin yang kehilangan ayah pada usia 18 tahun dan ibu pada usia 21 tahun hanya menumpang kasih adik-beradik sebelum mendirikan rumah tangga bersama suami Fahkrul Adli, 30, pada Disember 2021.
Berbekalkan semangat dan restu arwah ibu ayah, graduan Sarjana Muda Pengurusan (Polisi dan Sekitaran Sosial) itu terus melangkah kegarisan penamat menghabiskan pengajiannya di UMT untuk menggapai impian arwah ibu ayah.
Bertemu jodoh usai menamatkan pengajian, Ashikin amat bertuah kerana memiliki pasangan yang memahami minatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. - KitaReporters