INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROJIUN.... Dia bukan hero filem-filem Hindustan tetapi hanyalah seorang pelakon watak komedi. Namun nama Jagdeep tidak kurang popular dibandingkan dengan aktor-aktor ternama Hindustan seperti Amitabh Bachchan, Shashi Kapoor, Dharmendara, Rajesh Khanna  dan lain-lain. : KitaReporters

JAGDEEP meninggal dunia pada usia 81 tahun di Bandra, Mumbai pada 8 Julai 2020 lau. - Kredit foto: Net Worth Room


Pemergian Jagdeep, atau nama sebenarnya Syed Ishtiaq Ahmed Jaffry yang menyahut panggilan Ilahi pada 8 Julai 2020 lalu pada usia 81 tahun diratapi oleh keluarga dan para peminat. 

Dunia Bollywood kehilangan seorang lagi anak seni selepas pemergian aktor popular Irfan Khan dan Rishi Kapoor pada April 2020 lalu.

Jagdeep telah mengabdikan dirinya dalam seni sejak lebih enam dekad lalu, bermula pada 1951 dengan kemunculannya sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem Asfana arahan BR Chopra.

Memetik laporan Pinkvilla, Jagdeep meninggal dunia di rumahnya di Bandra, Mumbai akibat komplikasi sakit tua. Dia memang tidak begitu sihat sebelum kematiannya. 

Antara yang berada di sisi ketika dia menghembuskan nafas terakhir ialah anaknya Javeed dan Naved serta cucunya Meezan.

JENAZAH Jagdeep diusung ke tanah perkuburan Shia Kabristan di Mazgaon, Mumbai. - Kredit foto: Indian Film History.


Jagdeep berkahwin tiga kali dan mempunyai enam orang anak. 

Dengan isteri pertama, Naseem Begam dia dikurniakan tiga orang anak,  Hussain Jaffry dan dua anak peremuan, Suraiya Jaffry serta Shakira Shafi.

Dengan isteri kedua, Sughra Begum, dia mendapat dua anak lelaki, Javeed Jaffry dan Naved Jaffry, kedua-duanya penerbit dan produser TV.

Dia kemudian berkahwin dengan Nazeema dan mendapat seorang anak perempuan, Muskaan Jaffry.

Bapa Jagdeep, Syed Yawar Husain Jaffry meninggal ketika Jagdeep berusia lima tahun. Hidupnya sukar dan terpaksa mencari kerja pada usia muda untuk menyara diri dan keluarga. 

Dalam proses mencari kerja dan merayau-rayau di jalanan Mumbai inilah dia ditawarkan bekerja dalam filem dan diperkenalkan sebagai pelakon kanak-kanak dalam Afsana.  

Memang ditakdirkan dia menjadi orang filem kerana sejak filem itu dia terus dipilih membintangi filem demi filem selama enam dekad.

JAGDEEP pada usia muda merupakan seorang pelakon komedi yang berkebolehan dan diminati ramai.-Kredit Duncan Herald.


Para peminat filem Hindustan sekarang mungkin tidak mengenali Jagdeep. 

Ini kerana Johny Lever banyak melakonkan watak komedi dalam kebanyakan filem Hindustan masa kini. Johny sendiri menghadiri majlis pengkebumian Jagdeep.

Jagdeep, yang dilahirkan di Datia, Madhya Pradesh pada Mac 1939 begitu popular khususnya dalam tahun-tahun 60-an hingga 90-an. 

Dia seangkatan dengan pelakon komedi lain seperti Mehmood, Rajendranath, Johny Walker, Asrani dan Keshto Mukerji.

Sepanjang kariernya, Jagdeep membintangi lebih 400 buah filem, hampir kesemuanya membawakan watak komedi

Lakonan komedinya sangat bersahaja dan natural  bukan sahaja berjaya mencuit hati penonton tetapi ‘memahat’ watak lakonanya dalam minda.

Peranan yang paling diingati dan menjulang namanya ialah membawa watak Soorma Sharma dalam filem blockbuster Sholay  (1975) yang dibintangi oleh Amitab Bachchan, Dharmendara, Hema Malini, Jaya Bhaduri, Amjad Khan dan Sanjeev Kumar.

Watak yang dibawanya begitu berkesan dan dianggap sebagai satu watak legenda dalam filem Hindustan sehinggakan ramai peminat memanggil namanya Soorma Sharma, sebagai mengimbau watak yang dibawanya dan betapa watak itu begitu meresap dalam jiwa peminat.

Selain itu peranannya sebagai Bankelal, bapa kepada Salmah Khan dalam filem Andaz Apna Apna juga memberi kesan kepada penonton.

Antara filem lakonannya yang lain ialah Ab Dilli Door Nahin, Munna, Do Bigha Zameen, Aar Parr, Jeene Ki Raah, Darpan, Gora Aur Kala, Insaaniyat, Jaggu, Chal Murari Hero Banne  dan banyak lagi.

JAGDEEP (tengah) dalam satu adegan filem blockbuster 'Sholay' bersama Dharmendra (kiri) dan Amitab Bachchan. Wataknya sebagai Soorma Sharma sangat mengesankan di hati penonton. - Kredit foto: Free Press Journal


Bintang Bollywood melahirkan rasa sedih dengan pemergian Jagdeep dan menyifatkannya sebagai kehilangan besar bagi industri perfileman Hindustan.

Aktor Anil Kapoor menyifatkan Jagdeep sebagai antara bintang hebat di Bollywood, sementara Ajay  Devgan menganggap Jagdeep adalah watak yang sangat menghiburkan di layar perak.

Aktor Sanjay Mirsha dalam Istagramnya pula menulis, beliau sangat sedih kerana Jagdeep telah meninggalkan mereka semua. Kehilangannya sangat dirasai oleh peminat dan dunia filem Bollywood.

Sesungguhnya Bollywood kehilangan seorang pelakon komedi yang berbakat dan disayangi peminat. 

Jagdeep telah dikebumikan di tanah perkuburan Shia Kabristan di Mazgaon, Mumbai pada 9 Julai 2020. - KitaReporters

Kredit foto: headlineenglish.com

2
0
1
0
0

Copy Link: