Keluarga Malaysia: Terima kasih Yakult, Islamic Relief! Edar minuman probiotik sempena Ramadan!
Published byPenerima manfaat di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima
SERAMAI 1,310 buah keluarga di sembilan buah negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sarawak telah menerima sumbangan minuman probiotik Yakult menerusi program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia.
Setiap keluarga dibekalkan dengan dua pek minuman Yakult Ace dan Yakult Ace Light selain menerima bantuan khusus pek makanan Rezeki Ramadan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, kurma, gula, uncang teh dan lain-lain.
Sumbangan yang tentunya menepati aspirasi Keluarga Malaysia telah diedarkan sejak 27 Mac sehingga 17 April 2022 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aspirasi Keluarga Malaysia
Kakitangan Islamic Relief Malaysia mengedarkan sumbangan minuman Yakult kepada penerima manfaat pek makanan Rezeki Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Mukim Repek, Bachok, Kelantan
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Sains dan Perhubungan Awam Yakult, Lim Siew Ling, Yakult sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat dan pengguna meningkatkan tahap kesihatan mereka agar menjadi lebih baik.
“Memandangkan Islamic Relief Malaysia sentiasa aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu golongan memerlukan, kami lihat ia selari dengan falsafah korporat Yakult yang juga ingin membantu masyarakat, namun kami lebih khusus kepada sudut kesihatan.
“Pemilihan edaran dibuat ketika bulan Ramadan kerana kebanyakan orang cenderung untuk mengalami gangguan penghadaman seperti sembelit disebabkan oleh perubahan corak pemakanan.
"Jadi, probiotik Yakult ini dapat membantu untuk mengelakkan ketidakhadaman, sembelit dan kembung perut yang biasa dialami semasa bulan Ramadan, seterusnya melengkapkan lagi sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan yang sedia ada diedarkan oleh Islamic Relief Malaysia,” tambah Lim Siew Ling dalam satu kenyataan media pada 25 April 2022.
Inisiatif ini juga dilihat secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada golongan rentan untuk turut sama menikmati dan mendapatkan khasiat baik daripada setiap barangan yang diberikan.
“Anak-anak saya rasa seronok sangat bila dapat tahu sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan hari ini turut disertakan dengan sumbangan minuman Yakult. Kalau kami nak beli sendiri susah sikit.
"Biasanya kami akan dahulukan pembelian barangan asas lain. Jadi, bila dapat air Yakult hari ini, rasa seronok sangat,” kata salah seorang penerima manfaat di Sebuyau, Sarawak.
Edaran minuman probiotik Yakult di SMK Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap, Pulau Pinang
Menurut Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, seperti yang diketahui umum, sejak pandemik COVID-19 melanda disusuli dengan bencana banjir yang menjadi penutup tirai tahun 2021 dan pembuka tahun 2022, terlalu ramai penduduk yang terjejas dari segi pendapatan.
Sehubungan itu, Islamic Relief Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam membantu mereka yang memerlukan seperti mana yang telah dilaksanakan dengan pihak Yakult.
“Kami percaya, kehadiran Yakult dan sumbangan yang disertakan bersama pek makanan Rezeki Ramadan yang telah diedarkan pastinya memberi banyak nilai tambah serta membawa kegembiraan berganda kepada para penerima manfaat yang semuanya daripada golongan B40 dan ke bawah,” tambah Zairulshahfuddin.
Secara keseluruhan, program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan pek makanan kepada lebih 6,000 keluarga di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur pada bulan Ramadan serta bekerjasama dengan pelbagai badan korporat dan penyumbang individu untuk menjayakan program bermusim ini. - KitaReporters
Edaran minuman probiotik Yakult di Masjid Darul Iman, Sebuyau, Kuching, Sarawak