Keluarga, ayah Khabib UFC kena Covid-19! Ada yang meninggal!
Published byHAMPIR 9 juta penduduk dunia disahkan positif dan 500,000 nyawa terkorban akibat dijangkiti wabak Covid-19 dan tidak ketinggalan daripada jumlah itu, turut menjejaskan 20 nyawa keluarga Juara Lightweight UCF, Khabib Nurmagomedov. Ini termasuk ayahnya, Abdulmanap Nurmagomedov, 57, yang dilaporkan telah dibiuskan sampai koma sebanyak dua kali dan sekarang dilaporkan bernafas menggunakan mesin bantuan hayat. : KitaReporters
Khabib dan bapanya pada saat meraikan kemenangannya. - Kredit foto: Getty image
"Kami menempuh detik yang sukar ketika ini, lebih daripada 20 ahli keluarga saya turut menderita Covid-19. Ada yang masih dalam Unit Rawatan Rapi dan sesetengahnya sudah meninggal dunia.
"Kini bapa masih lagi koma dan bernafas dengan bantuan mesin di hospital tentera di Moscow, " kata Khabib.
MMA News melaporkan Khabib berterima kasih kepada orang ramai yang bertalu-talu bertanyakan kesihatan bapanya.
Katanya: "Bapa saya masih di hospital, berjuang melawan wabak Covid-19 dan keadaannya agak teruk kerana dia menghadapi radang paru-paru dan komplikasi jantung.
"Dia telah dua kali dibedah jantung tahun lalu dan tahun ini. Masih dalam keadaan tidak baik (koma), itu saja dapat saya katakan.
"Apapun terima kasih kepada sokongan semua pihak yang mendoakan, solat hajat untuk bapa dan doakan semua terbaik.
"Kami berdoa Allah kembalikan bapa pada kami semula. Jaga diri dan kekal sihat, Terima kasih."
Khabib juara bertahan UFC sepatutnya mengadakan perlawanan dengan juara interim, Justin Gaethje yang sebelum merangkul juara dalam pertarungan UFC 249, menumbangkan persaingnya, Tony Ferguson dengan kiraan TKO.
Pertemuan mereka sepatutnya dijadualkan pada September depan.
Kata Khabib, lebih 500 orang kampungnya, Dagestan jatuh sakit akibat radang paru-paru sekali gus. Dan 11 orang meninggal dunia di hospital bandar itu, adalah dari kampungnya.
Di kejiranan dia juga, 14 orang meninggal dunia serentak pada satu malam membuatkan penduduk jadi kelam kabut untuk menguruskan jenazah.
Kes itu kemudian terus merebak ke dalam keluarganya apabila bapanya kemudian diserang radang paru-paru sehingga terpaksa diterbangkan ke hospital tentera di Moscow.Ini dilakukan kerana bapanya dikatakan tidak mendapat rawatan yang baik di hospital kampungnya.
Keadaan Abdulmanap, 57, mulanya sudah menunjukkan semakin pulih tetapi serangan kali kedua, dia terpaksa dibiuskan kepada koma apabila kesihatannya membimbangkan.
Abdulmanap, jurulatih dan mentor serta bapa Khabib. - Kredit foto: Getty Image
Sementara itu, Presiden UFC, Dana White dalam mesej sokongan kepada Khabib berkata, ayahnya seumpama obor yang menyinari dan berjaya menyerapkan nilai hidup yang terbaik pada Khabib sejak usia muda lagi dan sentiasa berada di sisi juara itu dalam setiap pertandingan.
Menyifatkan Abdulmanap seorang jurulatih dan mentor anaknya yang hebat kerana berjaya melahirkan ramai jaguh termasuk Khabib.
Dalam pada itu, `musuh' Khabib, Conor McGregor pula berharap jurulatih itu segera sembuh dan keluarga Khabib itu bertabah.
"Saya tahu betapa akrab Khabib dengan ayahnya dan saya sedih mendengar khabar begini. Saya bersimpati dan semoga Abdulmanap dan keluarganya terus berjuang dan bertahan," katanya.