``JAGA diri baik-baik.’’ Itulah ucapan yang terakhir daripada seorang suami, Md Rajihan Mohd Junaidi, 28, kepada isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 25, yang sedang mengandung enam bulan sebelum mayat suaminya ditemukan pada 5.15 petang tadi, Isnin 4 Januari 2021 selepas hilang dibawa arus banjir di Batu 18, Jalan Kluang-Kahang, Johor sejak 2 Januari 2021 lalu. : KitaReporters


KHAIRUNNISA IBRAHIM (tengah) menangis apabila melihat mayat suaminya, Md Rajihan Mohd Junaidi dibawa oleh anggota SAR pada 4 Januari 2021. - Kredit Foto : Transfomasi


Arwah suaminya berkata sedemikian apabila dia memecah cermin keretanya supaya Khairunnisa keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan dirinya manakala mangsa berada di keretanya. 

Kejadian itu berlaku pukul kira-kira 5.30 petang pada  2 Januari 2021, ketika mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari Mersing untuk pulang ke kampungnya.


 

MD RAJIHAN MOHD JUNAIDI


Khairunnisa berkata, apabila tiba di Batu 18, Jalan Kluang-Kahang kenderaan mereka terpaksa meredah air banjir di atas jalan raya tersebut bagi meneruskan perjalanan mereka. 

Bagaimanapun, katanya, beberapa minit kemudian kereta Proton waja yang dinaiki itu tanpa diduga mengharungi air yang agak dalam sebelum ia dihanyut ke sebelah kanan jalan.


ANGGOTA SAR sedang mengangkat mayat Md Rajihan yang berada di dalam bot penyelamat untuk dibawa ke hospital. - Kredit Foto : Transfomasi


``Tanpa membuang masa dalam keadaan cemas akibat air banjir yang deras, arwah memecah cermin kereta menyuruh saya keluar dahulu dari kereta bagi menyelamatkan diri saya sambil dia berkata jaga diri baik-baik. 

``Sebaik sahaja saya keluar dari kereta itu, suami saya masih berada lagi di keretanya dan selepas itu saya melihat kenderaan itu hilang dibawa arus deras,’’ katanya yang baru melangsungkan perkahwinan mereka pada Julai 2020 lalu.


 

PERSANDINGAN antara Md Rajihan dan Khairunnisa pada Julai 2020 lalu kini tinggal kenangan.


Semasa mayat Md Rajihan ditemukan pada petang tadi Isnin 4 Januari 2021, Khairunnisa hampir pengsan serta menangis apabila melihat mayat suaminya terbunjur kaku itu dibawa oleh anggota Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR). 

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Daerah Kluang, Akob Sidek berkata mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi kereta Proton Waja yang dijumpai petang semalam, Ahad 3 Januari 2021. 

Beliau berkata, anggota SAR melakukan operasi tersebut dengan cara menggodak di kawasan yang dipercayai mangsa berada di situ sebelum mayat mangsa timbul di permukaan air. 

``Mayat mangsa kemudian dinaikkan ke bot penyelamat untuk diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah  Khalsom untuk dibedah siasat,’’ katanya.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Md Rajihan Mohd Junaidi semuga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. - KitaReporters

2
8
67
0
2

Copy Link: