Wanita hebat! Shamzana Mahasan tinggalkan bank untuk hartanah
Published byAGAK jarang kita temui wanita berkerjaya dengan jawatan bertaraf eksekutif selain mendapat gaji lumayan dan bekerja di pejabat berhawa dingin tetapi sanggup meninggalkan kemewahan yang dinikmati sebaliknya menukar kerjaya bekerja sendiri berada di lapangan dengan meredah hutan dan bukit bukau. : KitaReporters
Shamzana Mahasan (kanan) berbincang dengan dengan dua pembantunya di pejabat beliau di Jertih.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan wanita hebat:
https://kitareporters.com/search?search=wanita+hebat
Berbekalkan semangat dan keyakinan diri seorang wanita dari Jertih, Terengganu, sanggup menghadapi risiko meninggalkan pekerjaan tetap yang disandangnya kemudian berusaha melayari kehidupan dengan bekerja sendiri.
Wanita tersebut, Shamzana Mahasan, 35, boleh dijadikan contoh kepada kaum Hawa lain kerana rela berkorban jawatan dengan sebuah bank terkemuka semata-mata ingin bebas dan memulakan kehidupan baharu dengan bekerja sendiri.
Usahawan hartanah wanita Shamzana Mahasan
Shamzana atau lebih senang dengan panggilan “Na Hartanah” yang pernah menjawat jawatan sebagai timbalan pengurus bank nekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas tiga tahun menyandang tugas tersebut.
Selepas berhenti dengan bank berkenaan pada 2014, beliau
mencuba nasib bekerja dengan sebuah syarikat insurans mulai tahun 2014 hingga
2016.
Bagaimanapun, kerja di tempat baharu tersebut juga tidak kekal lama yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan bekerja sendiri.
Shamzana bersama penasihat perniagaan dan juga suami, Wan Nazizi Wan Nawi meninjau projek pembinaan rumah yang diusahakan syarikat beliau.
Bekas siswasah jurusan seni halus dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu, sememangnya pelik kerana memilih kerja di luar bidang pengajiannya tetapi dia kini sudah berjaya membina kehidupan selepas terbabit dalam bidang keusahawanan hartanah.
Wanita tiga anak itu kini menubuhkan syarikat
hartanah sendiri dikenali One Empire Properties Sdn Bhd beribu pejabat di bandar
Jertih, Terengganu memberi fokus kepada bidang hartanah.
Dia memulakan perniagaan sendiri disebabkan minat mendalam dalam bidang hartanah selain jarang golongan wanita yang terbabit dalam bidang tersebut.
Poster projek pembinaan rumah yang disediakan oleh syarikat Shamzana Mahasan
Bermula dengan modal menjual tanah milik sendiri dia memulakan penubuhan syarikat tersebut pada Disember 2016 sehingga sekarang.
“Saya sememangnya tidak mempunyai pengalaman dan
kelulusan akademik dalam bidang hartanah tetapi sedia melakukan kerja yang banyak dilakukan golongan lelaki kerana
inginkan cabaran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Katanya, jika sebelum ini beliau bertugas di pejabat dan berurusan dengan pelanggan di tempat yang selesa dan berhawa dingin tetapi sekarang saya terpaksa turun ke lapangan dan masuk ke kawasan hutan.
Rutin harian Shamzana meneliti fail di pejabatnya sebelum turun ke lapangan
Ketika ini, katanya dia mempunyai dua pembantu yang
kedua-duanya wanita juga sering turun ke lapangan bersama beliau apabila ada
urusan jual beli tanah dan pembinaan rumah.
Mengenai cabaran ketika keluar masuk ke hutan beliau menceritakan pengalaman yang menakutkan apabila beliau pernah diganggu oleh makhluk halus dan pelbagai mimpi ngeri, malah pernah muntah akibat tubuh lemah.
“Itulah cabaran ketika berada di lapangan terutama di kawasan hutan yang dianggap panas dan jauh dari penempatan penduduk,” katanya.
Shamzana berbincang dengan Wan Nazizi
Malah, dalam bidang perniagaan, beliau tidak terlepas ditipu oleh pelanggan yang tidak membayar wang hasil urus niaga jualan tanah dan pembinaan rumah.
Na Hartanah adalah antara usahawan wanita paling berjaya di Terengganu terutama dalam bidang hartanah kerana tidak ramai wanita menyertai bidang tersebut.
Dalam urusan perniagaan beliau mendapat khidmat dan bimbingan suami sendiri Wan Nazizi Wan Nawi, 40, selaku penasihat. - KitaReporters
Shamzana bersama pembantunya ketika berada di hutan